13 September 2012

ISU UMUM : IKTIRAF PSM BADAN BERAUTORITI RUJUKAN SEJARAH NEGARA


Rencana ini ditulis oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad dan Ahli Majlis Persatuan Sejarah Malaysia


Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) perlu mencari jalan supaya menjadi badan yang diiktiraf sebagai tempat rujukan atau mempunyai autoriti bagi menentukan kesahihan sebarang isu yang berkaitan sejarah tanah air." Demikian salah satu usul tergempar yang dikemukakan oleh perwakilan dalam Mesyuarat Tahunan Majlis, Persatuan Sejarah Malaysia Ke-57 yang berlangsung di Anjung Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 6 September yang lalu. Tambah perwakilan tersebut, baru-baru ini telah timbul isu siapakah individu yang sebenarnya bertanggungjawab membuka dan membangunkan Kuala Lumpur? Adakah Raja Abdullah atau Kapitan Yap Ah Loy atau Sutan Naposo@Sutan Puasa?

Ini disebabkan terdapat dalam dokumen sejarah di mana nama ketiga-tiga tokoh ini pernah dikaitkan dengan orang yang bertanggung jawab terhadap peristiwa penting itu. Satu lagi isu yang menggemparkan baru-baru ini ialah ada pihak yang mempertikaikan kesahihan kewujudan pahlawan tersohor Laksamana Hang Tuah. Pandangan ini seolah-olah menolak peristiwa sejarah yang telah dikisahkan sejak turun temurun. Fakta melalui tulisan dalam Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan dokumen-dokumen tempatan yang lain nampaknya tidak mencukupi. Kewujudan nama Hang Tuah yang pada nama orang, jalan, bangunan atau institusi bukan sahaja di negara kita malah di Indonesia dan selatan Thailand nampaknya masih diragui kewujudannya oleh pihak tersebut.

Timbulnya isu sebegini boleh mendatangkan keresahan dalam masyarakat. Malah boleh mengelirukan murid yang sedang berusaha mengenali sejarah tanah air. Oleh itu saranan perwakilan untuk menjadikan PSM sebagai badan yang mempunyai autoriti dalam memberikan pendapat, pandangan atau menentukan kesahihan sesuatu isu sejarah sudah sampai masa dan ketikanya. Pengiktirafan kepada PSM akan dapat menyelesaikan persoalan sejarah yang mungkin lebih banyak dibangkitkan pada masa akan datang. Mesyuarat Tahunan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapannya, beliau menyatakan kerajaan sedang merangka kandungan baharu kurikulum Sejarah sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Pendekatan tersebut adalah selari dengan keputusan kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan. Sementara itu keputusan telah dibuat untuk memperkenalkan Sejarah sebagai satu mata pelajaran pada peringkat sekolah rendah mulai 2014. Rangka kandungan kurikulum baharu Sejarah peringkat sekolah menengah dibuat berpandukan perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Tan Sri Omar Mohd Hashim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM bersama 10 orang anggota yang merupakan pakar dalam bidang sejarah.

Perubahan kandungan kurikulum Sejarah itu bertujuan untuk membolehkan generasi muda lebih memahami dan menghargai warisan sejarah dan budaya negara. Ia merupakan penentu utama pembinaan satu identiti nasional yang kukuh dan jitu. Untuk menjayakannya perlu ditingkatkan tahap profesionalisme guru yang mengajar subjek tersebut. Ini disebabkan mereka berperanan membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual di kalangan murid. Anggapan Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran telah berlalu. Ia perlu diberi nafas baru, dimartabat, diberi perhatian serius dan diajar oleh guru yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam mengenainya.

Cadangan pihak kerajaan untuk merangka semula kandungan kurikulum Sejarah itu sangat dialu-alukan dan telah mendapat reaksi positif daripada orang ramai. Pelbagai pendapat telah dikemukakan melalui akhbar, majalah, memorandum dan dalam blog di talian maya. Ramai berpendapat Sejarah perlu diajar oleh guru yang terlatih dan mempunyai opsyen dalam mata pelajaran berkenaan. Pandangan yang menganggap sejarah adalah subjek yang membosankan perlu dihindarkan. Sejarah tidak seharusnya diajar melalui pendekatan sehala dalam bilik darjah tetapi perlu menggalakkan pelajar membuat kajian pelbagai bahan seperti buku, akhbar, majalah, jurnal atau artifak tertentu.

Selain itu kaedah temu duga dengan tokoh tertentu boleh mendekatkan murid dengan peristiwa yang dialami. Lebih menyeronokkan sekiranya sesuatu topik itu diajar dengan memberi peluang kepada murid terlibat melalui aktiviti lakonan, kuiz, forum, syarahan atau perbahasan yang sekali gus akan mencabar minda mereka. Dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran akan menjadikan mata pelajaran itu lebih menarik, hidup dan memberi kemahiran sampingan kepada murid.Terdapat juga pandangan supaya kerangka sejarah Sarawak dan Sabah diawalkan lagi tidak hanya menjelaskan peristiwa yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Sejarah kedua-dua negeri itu perlu dihuraikan lebih awal iaitu sebelum kedatangan kuasa penjajah Inggeris ke negeri tersebut.

Jika kita melayari internet terdapat beberapa blog yang memberikan pendapat supaya subjek Sejarah turut memberi penekanan kepada gerakan golongan kiri dalam memperjuangkan kemerdekaan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Komunis Malaya (PKM) dan lain-lain. Sementara itu tokoh seperti Ibrahim Yaakub, Abu Bakar Albaqir, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestaman dan Chin Peng diberikan tempat yang lebih luas dalam konteks kemerdekaan tanah air. Menurut mereka, peranan golongan kiri ini juga seharusnya ditonjolkan dalam penulisan buku teks Sejarah peringkat sekolah. Pelbagai bentuk pendapat dan pandangan itu elok dikaji dan beri perhatian supaya tidak menjadi polemik berpanjangan. Jika peranan itu diberikan kepada PSM maka ia dijangka akan dapat menyelesaikan isu itu. Pendapat dan padangan PSM sebagai pakar rujuk berautoriti diharap dapat memantapkan kurikulum Sejarah yang digunakan di sekolah. Sekiranya ini berlaku maka objektif PSM perlu ditambah '… sebagai badan berautoriti dan tempat rujukan sebarang isu berkaitan sejarah tanah air!'

Sumber :
Utusan Malaysia
13 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails