09 September 2012

ISU UMUM : HUKUM DERMA ORGAN


Rencana ini ditulis oleh :
NOOR AINUL YAKIN MOHAMAD ISHAK


Pernahkah terfikir di fikiran masing-masing untuk mendermakan organ kepada pihak yang memerlukan sekiranya anda meninggal dunia ataupun masih hidup? Mungkin ada antara kita, pernah mendengar mengenai pemindahan organ atau derma organ yang kini semakin diperlukan untuk tujuan kesihatan. Namun ada yang masih tertanya-tanya sama ada pemindahan organ atau derma organ tersebut dibolehkan dalam Islam atau tidak kerana ada yang mengatakan ia haram dilakukan dan ada juga yang dibolehkan mengikut beberapa keadaan. Penceramah bebas, Zaharuddin Abd Rahman berkata, bagi menjawab persoalan berkaitan pemindahan organ, berikut disertakan ringkasan Fatwa Majlis Majma Fiqh terhadap isu derma dan pemindahan organ:

1. Pemindahan organ

a) Memindahkan organ seseorang pesakit daripada satu bahagian daripada tubuhnya ke bahagian lain tubuhnya juga.

Hukumnya : Harus, dengan syarat :

Kepastian manfaat yang bakal diperoleh adalah lebih tinggi daripada mudarat yang mungkin menimpa hasil pemindahan.

Pemindahan tersebut tidak menyebabkan mana-mana anggota yang diambil, hilang upaya daripada menjalankan fungsi asalnya.

b) Memindahkan organ seseorang pesakit kepada pesakit lain.

Hukumnya : Harus , dengan syarat :

Ia terdiri daripada anggota yang akan pulih dan boleh tumbuh semula seperti darah dan kulit.

Mestilah penderma mempunyai keahlian dari sudut umur dan akal dalam membuat keputusan tersebut.

c) Memanfaatkan sebahagian anggota yang dipisahkan dari tubuh kerana keperluan akibat sakit tertentu, lalu didermakannya untuk orang lain. Seperti kornea mata

Hukumnya : Harus dengan syarat manfaat melebihi mudarat.

d) Memindahkan organ yang boleh menyebabkan kematian penderma seperti jantung

Hukumnya : Haram

e) Memindahkan organ yang boleh menghilang upayakan fungsi anggota tersebut daripada tugas utamanya dalam keadaan tidak mengancam nyawa penderma. Seperti derma kornea mata kedua-duanya, kedua-dua tangannya.

Hukumnya : Haram, 

sekiranya didermakan hanya sebelah kornea, terdapat khilaf di kalangan fuqaha, yang lebih kuat adalah haram kecuali kiranya tersangat diperlukan.

f) Memindahkan anggota mayat kepada seorang yang hidup yang hidupnya bergantung kepada anggota itu.

Hukumnya : Harus

Dengan syarat mendapat keizinan si mati (sebelum matinya) atau warisnya selepas matinya atau izin pemerintah kiranya si mati tidak diketahui warisnya.

g) Memindahkan organ binatang kepada manusia

Hukumnya : Harus

Dengan syarat haiwan yang halal dimakan dagingnya.

h) Menjual organ-organ yang ingin dipindahkan atau penderma mengambil bayaran yang ditetapkan hasil organnya

Hukumnya : Haram

kecuali jika si penerima atau mana-mana pihak ketiga memberi hadiah secara sumbangan penghargaan tanpa ditetapkan sebelumnya.

Maklumat tambahan:

Organ tisu yang boleh didermakan - Jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, pankreas,

Tisu - Injap Jantung, mata, tulang, kulit, usus, membuluh darah, muka

Jenis Penderma/Penderma Hidup

Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati dan sum-sum tulang saja.

Terhad kepada  mereka yang mempunyai  pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri saja.

Pendermaan ketika hidup terbahagi kepada dua jenis iaitu:

Pendermaan ada pertalian saudara
Pendermaan tiada talian saudara

Pendermaan kadaverik:

Penderma Kadaverik ialah penderma yang sudah meninggal dunia.
Pendermaan jenis ini amat digalakkan dan diutamakan:
Ia tidak memberikan risiko kepada penderma

Penderma kadaverik terbahagi kepada dua kategori:

Kematian otak penderma adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital. Mati otak ialah satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti kehidupan seperti pernafasan dan degupan jantung mati.

Ini boleh berlaku akibat kecederaan otak yang menyebabkan otak membengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan seumpamanya. Hanya penderma yang kematian otak boleh mendermakan otak organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), mata (kornea), tulang dan kulit. Kematian normal di mana seseorang itu disahkan mati kerana jantung berhenti berdegup dan penderma ini hanya boleh mendermakan tisu sahaja.

Hanya mereka yang meninggal di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu. Bagi mereka yang meninggal di rumah, mereka hanya boleh mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu berkenaan di rumah.

Sumber: 
Pusat Sumber Transplan Nasional
Sinar Harian, 7 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails