22 September 2012

ISU SOSIAL : TANGANI KENAIKAN HARGA RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi. Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan praktikal. Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.

Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012. Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit. Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun. Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000 unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.

Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat mendukacitakan. Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak berbuat demikian adalah tidak benar. Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. "Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit. Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula. Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat. "Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas beliau. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat. "Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu Selangor tidak mendapat sambutan," katanya. Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia. "Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya. Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara-perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.

Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA. Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura. Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu. Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan. Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.

Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah. Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi. Antara syarat-syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai. Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan sahaja.

Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat. "Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya. Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan mereka. Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi. Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails