14 September 2012

ISU SOSIAL : LINDUNGI GENERASI MUDA DARIPADA JENAYAH SIBER



Beberapa ibu bapa telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan anak-anak muda kepada fantasi siber melalui permainan komputer atau computer games yang terdapat di kafe siber yang mereka kunjungi. Menurut ibu bapa tersebut, bukan ketagihan dadah yang dihadapi anak-anak muda ini tetapi sebaliknya ialah ketagihan kepada permainan siber. Tidak lama dulu terdapat laporan yang meluas dalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah didapati berada di dalam kafe siber tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh ketika dilakukan pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.

Inilah hakikatnya pada hari ini. Semakin ramai anak-anak muda telah menjadi penagih kepada fantasi siber. Dan ini adalah masalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu bapa dan pihak-pihak yang berkenaan. Tidak ada salahnya permainan komputer ini digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan. Apa yang lebih buruk lagi ialah apabila ketagihan terhadap “computer games” ini membawa kepada perjudian yang merupakan punca utama kepada banyak keburukan. Walaupun saya tidak memusuhi kafe siber, tetapi peraturan yang mengekang operasi mereka terutamanya bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan bagi mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial lain.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis di depan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk. Kafe siber telah tumbuh bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diwujudkan oleh operasi kafe siber ini. Untuk mengharapkan para pengusaha kafe siber ini beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat remaja yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki kafe siber ini adalah mustahil kerana pengusaha mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara tersebut.

Semua penguat kuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat yang dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti menghadkan operasi kepada waktu yang tertentu dan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur memasuki premis mereka. Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini. Dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi. Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik. Dengan kemajuan maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai-nilai moral dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.

SUMBER
Utusan Malaysia
14 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails