16 September 2012

ISU SOSIAL : BUDAYA KITA MANGSA GLOBALISASI


Rencana ini ditulis oleh :
Mohamad Abdullah
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia


Muzik video Gangnam Style oleh penyanyi rap Korea Selatan dikatakan mencapai lebih 130 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu. Malah lagu itu dikatakan menjadi satu kejutan apabila berupaya menembusi pasaran dunia termasuk negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan dalam segala bentuk budaya hiburan dunia. Selama ini kita percaya bahawa budaya Barat adalah segala-galanya dalam hidup kita walaupun dalam banyak keadaan ada yang marah dan membencinya. Budaya Barat sering dilabelkan sebagai mengancam budaya murni dan merosakkan nilai tradisional dalam kehidupan.

Apabila media melalui proses globalisasi dan langit terbuka, budaya Barat sering dipersalahkan dalam apa juga permasalahan. Malah apa saja yang datang dari Barat dianggap budaya hedonisme yang merosakkan akidah. Malangnya seperti kata seorang penganalisis, marah macam mana pun kita kepada Barat, tarikan masih sentiasa kepada budaya, universiti, wayang, makanan, pakaian dan teknologi mereka.  Ini amat benar kerana kita cepat saja menerima sesuatu apabila mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Barat. Sebahagian besar negara di dunia, terutama negara Islam dan dunia ketiga, mengiktiraf apa juga yang datang dari Barat dan sekutunya sebagai kebanggaan dan pengiktirafan terhadap apa yang dilakukan.

Sanjung nilai Barat

Lihat saja apabila umat Islam dibuli dan dipandang serong Barat, kita akan marah tetapi pada masa sama kita tetap menganggap ia sebagai rujukan utama. Nilai budaya, ilmu, hiburan, makanan dan teknologinya dipandang tinggi, dibanggakan dan menjadi satu cara hidup walau pun kita tahu sesetengahnya boleh dipertikaikan. Kita tahu dan sedar bahawa sesetengah ilmu dan teknologi terdapat di negara lain yang kurang kita terokai. Malah negara yang disisihkan dan dikatakan terasing daripada pembangunan ekonomi dalam konteks Barat, mempunyai institusi ilmu yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penghasilan vaksin untuk faedah umat manusia seluruhnya.

Penjajahan bentuk baru yang amat kuat menguasai minda dan persepsi kita terhadap budaya ini payah ditembusi kerana ia ditanam amat kukuh. Sebarang cubaan yang berpandangan sebaliknya dianggap sebagai anti kemajuan dan pembangunan serta tidak realistik. Dalam banyak hal, apa yang dikatakan hebat dan baik oleh Barat dianggap sebagai kayu ukur dalam menentukan kedudukan kebanyakan institusi kita walau pun sebahagiannya mengancam jati diri dan kelangsungan geopolitik sesuatu negara. Gangnam Style, satu citra baru dari satu daerah di Korea Selatan mengajar bahawa jika caranya betul, persepsi itu mampu berubah bukan saja dalam seni dan budaya tetapi juga aspek lain. Tentunya bukan daripada aspek moral ada pandangan mengatakan Gangnam Style satu lagi budaya hampas yang berasaskan pergerakan kuda yang boleh merosakkan ummah.

Cari kekuatan seni budaya

Namun, jika kita kurangkan bertelingkah dalam hal remeh temeh dan hanya mencari salah dan kekurangan, kita mempunyai banyak masa untuk bermuhasabah diri dan mencari kekuatan dalam seni budaya serta akar umbi ilmu dan tamadun yang sudah lama berada di kalangan kita. Pelbagai kearifan tempatan yang ada perlu diteliti semula bagi mendorong kreativiti dan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan nilai masa hadapan. Banyak yang boleh kita ketengahkan untuk dikongsi dengan dunia. Bahasa dan budaya bukanlah halangan.

Raihan misalnya pernah menjadi satu fenomena dalam mengetengahkan nasyid sebagai satu budaya alternatif bukan saja di kalangan orang Melayu dan umat Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya. Ia berlaku dengan cemerlang dan beberapa ikon lain turut menyumbang ke arah pembentukan fenomena baru. Kebijaksanaan inilah yang harus dijadikan cabaran dalam mengetengahkan kekuatan dan kearifan dimiliki dalam kepelbagaian dunia. Globalisasi termasuk media sosial dan YouTube membuka laluan dan peluang yang sangat besar dan berguna untuk dimanfaatkan kita.

Ketengah ilmu, budaya tempatan

Sama ada untuk mengetengahkan dalam konteks agama dan moral mahu pun keilmuan lain-lainnya, ia harus dilakukan sebaik mungkin. Selagi kita tidak berupaya membina persepsi dan model baru dalam pelbagai perkara, selama itulah kita hanya akan marah dan menuding jadi menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.  Gangnam Style barangkali bukan contoh terbaik tetapi ia menunjukkan bagaimana globalisasi budaya boleh berlaku dengan pantas dan menembusi dunia tanpa sempadan. Mampukah kita memanfaatkan dan menghadapinya atau kita hanya mampu menjadi pemerhati walaupun kita mempunyai kekuatan jika bersungguh-sungguh untuk melakukannya? Masalahnya bukanlah Barat atau Timur tetapi nilai yang boleh mengancam tamadun ummah yang perlu dihadapi bukan dengan membenci tetapi kebijaksanaan.

SUMBER
Berita Harian Online
16 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails