05 September 2012

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI SEBAGAI MAKMAL HIDUP


Rencana ini ditulis oleh:
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Setiap tahun beribu-ribu orang anak muda berlumba-lumba untuk memasuki universiti. Ada yang datang menangis dan merayu dengan pelbagai cara untuk memastikan mendapat tempat walaupun tidak memenuhi kelayakan dan sedar yang ia sukar untuk dipenuhi. Ada juga yang datang berjumpa pihak pengurusan universiti dengan surat daripada pihak-pihak tertentu. Kenapa orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti? Walaupun universiti dikritik dengan pelbagai perkara, dicari segala kelemahan dan kekurangannya, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mereka yang percaya bahawa universiti berupaya mengubah nasib dan masa hadapannya untuk terus mendapat tempat, mencari ilmu dan memastikan mendapat segulung ijazah sebagai pengiktirafan terhadap proses penguasaan ilmunya.

Upacara konvokesyen masih menjadi antara acara penting yang perasaan bangganya tidak pernah kurang untuk dirakamkan foto dan diletakkan di atas meja atau menghiasi dinding sebagai menunjukkan pengiktirafan terhadap ilmu yang dipelajari di universiti. Malah, ada ibu bapa dan graduan yang marah jika tidak berpeluang naik ke pentas mendapat ijazah masing-masing kerana ia amat istimewa dan bermakna. Bagi mereka yang pernah melaluinya, sukar menafikan bahawa universiti adalah makmal hidup yang bermakna bagi mereka yang bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada.

Walaupun filem dan drama kita lebih banyak memaparkan kisah-kisah cinta kampus dari sisi penerokaan ilmu yang sebenar, universiti menyediakan begitu banyak ruang untuk seseorang itu menetapkan pandangan hidupnya terhadap alam kehidupan yang ada. Kehidupan kampus kerap kali dikaitkan dengan idealisme unggul yang kadang-kadang tidak berpijak di bumi nyata. Kehidupan yang dilihat dari sudut ilmu dan idealisme yang dibangunkan sangat istimewa, ideal dan kerap kalinya mempunyai perspektif dan sudut pandang yang berbeza daripada kehidupan sebenar. Di sinilah seseorang mahasiswa akan diuji dari sudut kekuatan ilmu dengan kehidupan sebenar yang dilaluinya. Kerap kali mahasiswa ini membuat perbandingan yang sangat indah dari perspektif ilmunya yang jika tidak diseimbangkan dengan pengetahuan terhadap dunia sebenar akan menjadikannya cepat terpesong dan melihat orang lain sebagai punca dan salah.

Walau pun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda membolehkan para mahasiswanya menyertai politik, kampus universiti sewajarnya tidak diperjudikan untuk tujuan itu. Berpolitiklah di luar kampus kerana jika dibawa secara besar-besaran dalam kampus, akan mudahlah diprovokasi dan dipergunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan idealisme anak-anak muda ini mengikut kepentingan sendiri. Yang menerima padah tentunya anak-anak muda yang sepatutnya bergelut untuk menguasai ilmu dan kebijaksanaan serta hikmah yang ada untuk pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Kerana itulah kita dapati, sesetengah orang cepat berubah pandangan hidupnya berbanding dengan tatkala berada di kampus universiti setelah melalui dunia sebenar yang mempunyai pelbagai cabaran dan hakikat yang di luar dari jangkaannya. Namun, jika seseorang itu bijak menggunakan kesempatan yang ada, universiti adalah persediaan yang bermakna untuk menghadapi masa hadapan. Politik dalam kampus sewajarnya sekadar menjadi asas untuk memahami secara lebih luas bukan untuk mencari kuasa dan tujuan-tujuan lain, apatah lagi apabila pelbagai pihak saling berusaha untuk menguasai pemikiran anak-anak muda ini. Kampus adalah makmal hidup untuk mencari pengalaman baru, misalnya dari segi penguasaan bahasa dan pergaulan, universiti mempunyai pelbagai kemudahan dan kesempatan. Memandangkan hampir semua kampus universiti mempunyai pelajar dari pelbagai negara luar, maka di sinilah peluang untuk anak-anak muda ini belajar memahami bahasa dan budaya lain serta berusaha menyesuaikan diri dengan diri dengan dunia global yang sebenar.

Apatah lagi, peluang untuk mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di negara luar sentiasa terbuka luas jika mereka tahu mengambil kesempatan daripadanya. Ini bermakna bukan sahaja mereka boleh belajar bahasa asing secara formal tetapi juga proses sosialisasi yang tidak formal yang terbuka luas. Malah, mereka yang berada di universiti juga boleh mengambil kesempatan mempraktikkan idea keusahawanan sama ada berniaga secara formal, belajar untuk menguasai keusahawanan malah menceburinya secara terus seawal mungkin. Hampir semua universiti tempatan sekarang ini mempunyai kelab keusahawanan atau jabatan-jabatan tertentu yang menguruskan penglibatan mahasiswa dalam bidang ini.

Banyak peruntukan diberikan selama ini untuk mendorong mahasiswa terlibat dalam keusahawanan sebagai sebahagian usaha untuk memastikan mereka dapat meneruskannya apabila tamat pengajian kelak. Dalam konteks ini keusahawanan harus dilihat sebagai cara kreatif dan inovatif untuk meneroka peluang baru dalam meneruskan kehidupan pada masa hadapan. Begitu juga dengan usaha mewujudkan semangat kesukarelaan dalam kalangan anak-anak muda. Universiti adalah tempat terbaik untuk melatih mereka secara formal atau tidak formal dalam menanamkan semangat untuk menolong orang lain dan menjulang nilai-nilai kemanusiaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah juga masyarakat dunia di mana sahaja.

Program-program latihan yang tersusun boleh diterokai dalam memastikan anak-anak muda kita bersedia untuk membantu orang lain, belajar berkomunikasi dan menjalin hubungan tanpa ada batas sempadan dari segi bahasa, budaya, agama atau apa sahaja yang membezakan manusia. Apatah lagi bagi komuniti universiti yang pelbagai, dengan kumpulan mahasiswa dari ceruk rantau negara dan bangsa, kaum dan agama serta warna kulit yang tidak pernah menghalang untuk saling berkomunikasi, memahami dan hidup rukun damai. Sekali gus belajar untuk menghargai kepelbagaian yang ada dan memanfaatkannya untuk mengkayakan dengan pengalaman dan kekuatan bersama. Soalnya, dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, infostruktur untuk komunikasi dan teknologi maklumat serta ruang dan peluang ada, mampukah seseorang yang memasuki kampus universiti untuk berubah dan menjadi berbeza daripada sebelum memasukinya.

Tentunya mereka yang memilih untuk berdiam diri, tidak bercampur dengan orang lain dan hidup dalam dunia angan-angan, fantasi yang di awang-awangan atau enggan menerima pendapat dan pandangan orang lain, jumud pemikirannya dan enggan untuk berubah, maka universiti tidak jauh berbeza daripada sebuah sekolah atau tempat untuk belajar di bilik darjah dan kuliah dan kemudian luahkan semula di atas kertas peperiksaan. Universiti adalah makmal kehidupan yang sangat menarik dan menyeronokkan bagi mereka yang percaya kepada diri, mempunyai fokus dalam hidup, ingin memanfaatkan ilmu dan menerokainya sejauh mungkin serta bersedia untuk menggunakan setiap peluang dan ruang yang ada untuk menjadi seseorang yang mampu berfikir dan menggunakannya sebaik mungkin untuk diri, masyarakat, agama dan negara. Walaupun dunia kampus sebahagian besarnya dipenuhi oleh idealisme, tetapi hakikatnya itulah makmal terbaik untuk menyediakan kita dengan dunia sebenar yang jika diadunkan dengan ilmu, akan menyelesaikan banyak masalah yang ada dengan penuh kebijaksanaan dan hikmahnya.

Sumber :
Utusan Malaysia
4 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails