24 September 2012

ISU PENDIDIKAN : PENTINGNYA SUBJEK SEJARAH DIPERKASA


Rencana ini ditulis oleh
PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian. Sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman. Mempelajari dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan akan datang.

Sejarah kejadian 13 Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras, kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat hilang dan akhirnya anarki terjadi. Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti. Kealpaan kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika kenegaraan secara telus dan tulus.

Ibarat sebuah kereta mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan berterusan.

Sekiranya generasi muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau. Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah. Dalam konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting. Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun Negara.

Rukun Negara adalah falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu yang utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan. Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun watak dan peribadi. Jika Rukun Negara dapat difahami dan dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi. Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.

Mempelajari dan memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati asas-asas fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan semasa yang sifatnya menyumbang. Aspek terpenting dalam memperkasa subjek Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Bila generasi hari ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke tahap negara yang sedang maju seperti hari ini. Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan. 

Sejarah Malaysia suatu ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centeric. Kemudian ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir berasaskan kaca mata orang Malaysia.

Apabila tafsiran ini dibaca oleh anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar, penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan, merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi. Mencetuskan kesedaran ini tidaklah suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang tinggi. Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku. Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan dulu. Yang baik itu seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan strategi baru supaya perubahan terus berlaku. Justeru seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.

Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi, memahami dan menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara terbina.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails