19 September 2012

ISU PENDIDIKAN : DASAR PENDIDIKAN : DARIPADA RAKYAT KEPADA RAKYAT


Rencana ini ditulis oleh
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan
Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara.


"ERA kerajaan mengetahui segala-galanya 
telah berakhir. Kerajaan sedia turun ke bawah bertemu rakyat untuk mendapatkan pandangan dan idea sebelum menggubal sesuatu dasar atau peraturan."

Demikian ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan Laporan Awal Pelan Pembanguan Pendidikan 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 September lepas. Tambah beliau, Laporan Awal itu bakal memberi perubahan signifikan serta bersifat lonjakan berganda kepada pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkualiti. Beliau turut menggesa pemimpin semua peringkat berani mengetepi politik daripada pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis. Atas kesedaran tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membentuk pasukan Panel Dailog Nasional Pendidikan Negara untuk mengumpul pandangan masyarakat di seluruh negara mengenai langkah-langkah terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan menerusi siri jelajah dialog pendidikan sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Kata beliau, selain rumusan yang disediakan oleh Panel Dailog Nasional diambil kira juga pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa dalam penyediaan laporan tersebut. Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan. Ternyata bahawa sebahagian besar daripada pandangan rakyat telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal itu. Namun demikian terdapat juga beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam sesi dialog telah ditolak antaranya ialah meminta dikembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penolakan ini mungkin disebabkan melalui kajian yang lepas memperlihatkan sebahagian besar murid tidak dapat menguasai mata pelajaran itu dengan baik atau faktor kesediaan guru dan mungkin kekurangan kemudahan terutama sekolah luar bandar serta pedalaman. Tambahan pula saranan pihak UNESCO bahawa mata pelajaran tersebut lebih berkesan jika diajar menggunakan bahasa ibunda. Namun demikian isu bahasa ini dijawab dalam Anjakan Kedua yang memperakukan setiap murid mesti profesion dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebelum meninggalkan bangku sekolah. Bagi mengukuhkan penguasaan, semua guru bahasa Inggeris adalah terlatih dan diwajibkan lulus Ujian Pencapaian Cambridge. Bagi memantapkan penguasaan maka mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris akan diperkenalkan di peringkat menengah.

Dalam Dialog Nasional terdapat juga pandangan ekstrem misalnya mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Mereka menyarankan supaya sistem pendidikan di zaman kolonial digunakan semula kerana dikatakan sangat berkesan melalui contoh kehidupan dan kejayaan yang mereka alami. Alasan mereka amat mudah iaitu bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan negara akan maju jika semua rakyat berkemahiran dalam bahasa itu. Namun demikian kebiasaannya cadangan itu akan dipatahkan melalui hujah yang lebih rasional oleh peserta lain dalam siri dialog berkenaan.

Natijahnya sebahagian besar rumusan Dialog Nasional telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal antaranya cadangan memulakan tahun persekolahan dari usia tujuh tahun kepada enam tahun. Kanak-kanak diyakini telah bersedia untuk memasuki alam persekolahan pada usia tersebut dan membolehkan mereka menamatkan persekolahan lebih awal. Selain itu tempoh persekolahan wajib dinaikkan daripada enam tahun kepada sebelas tahun. Ini bermakna pelajar wajib menamatkan persekolahan mereka sehingga Tingkatan Lima. Adalah menjadi kesalahan dan ibu bapa boleh didakwa jika tidak menamatkan persekolahan anak mereka seperti Kaedah Pendidikan Wajib yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 sekiranya dipinda Akta itu.

Pengenalan kepada kaedah fast-track membolehkan pelajar yang mempunyai daya intelek tinggi memasuki kelas yang lebih tinggi lebih awal jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. Selain itu untuk menyeragamkan penguasaan bahasa Melayu maka kurikulum dan penilaian Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan bagi mata pelajaran itu akan disamakan. Di samping itu Kelas Peralihan akan dihapuskan menjelang 2017 bagi membolehkan tempoh persekolahan antara aliran yang berbeza itu diselaraskan. Hampir semua dalam siri dialog peserta mencadangkan diwujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI). Menurut mereka KPI adalah alat pengukur pelaksanaan paling berkesan yang dipraktikkan bagi menilai pencapaian prestasi dalam sektor swasta. Hasilnya dalam Laporan Awal menegaskan KPM akan menetapkan KPI kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya hingga kepada guru peringkat sekolah.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan yang sarat dengan transformasi itu dapat memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Bagi memastikan KPI dilaksanakan dengan berkesan akan diwujudkan Unit Penyampaian Pendidikan khusus untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumat balas secara berterusan. Bagi kepentingan rakyat selepas ini KPM akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan itu. Mereka masih boleh mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklumat balas kepada kerajaan khususnya KPM. Sesungguhnya Dasar Pendidikan yang digubal ini adalah datangnya daripada rakyat dan ditujukan kepada rakyat.

Sumber :
Utusan Malaysia
19 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails