02 September 2012

ISU MEDIA : SAMAN MEDIA : PERKEMBANGAN DI LUAR NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
PROF. SALLEH BUANG


Sedikit masa lalu saya ada membuat ulasan ringkas mengenai trend terkini di kalangan figura awam tempatan menyaman media bila ada sesuatu yang disiarkan oleh media berkenaan yang tidak berkenan di hati mereka (lihat “Saman Media: Baharui Akta Fitnah", Utusan Malaysia, 16 Julai 2O12). Persoalan undang-undang yang saya bangkitkan pada masa itu ialah sama ada kecenderungan menyaman media itu sesuatu yang sihat dan selaras dengan kebebasan akhbar? Kita akui dan sedia maklum bahawa kebebasan akhbar di negara ini bukanlah sesuatu yang mutlak, bahkan ada had dan sempadannya seperti yang digariskan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Selain dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan media di negara ini juga dikawal dan dibendung oleh beberapa statut, antaranya Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan, undang-undang privasi, penghinaan mahkamah dan lain-lain.

Malangnya bagi pengamal media di negara ini, Akta Fitnah kita (yang dipadankan kepada Akta Fitnah 1952 di UK) adalah satu undang-undang yang sudah lapuk, dan jelas ketinggalan zaman. Walaupun dunia sudah berubah, dan warga dunia sudah lama memeluk media baru, paradigma undang-undang yang kita ada masih lagi berwajah kurun ke-20. Apakah senario yang sama wujud di luar negara? Lebih khusus lagi, persoalan yang mesti difikirkan oleh pengamal media di negara ini adalah seperti berikut - Apakah pembelaan “fair comment" (ulasan saksama) yang termaktub dalam seksyen 9 Akta Fitnah itu masih mampu melindungi mereka bila disaman oleh figura awam atau mana-mana pihak lain? Bilakah undang-undang lapuk ini akan diperbaharui?

Kecendurungan figura awam menyaman media berlaku di mana-mana, bukan hanya di negara kita. Antara contoh terkini, pada Mei 2012 lalu seorang celebriti Hollywood bernama Phaedra Parks (yang membintangi siri “Real Housewives of Atlanta") telah menyaman dan menuntut gantirugi AS$30 juta dari dua defendan, Vibe Holdings dan Augustus Publishing, yang didakwa telah memfitnahnya. Sama ada kes ini nanti akan diselesaikan di luar mahkamah atau terus didengar dan diputuskan oleh mahkamah, hanya masa akan menentukannya. Yang berbeza antara negara kita dan beberapa negara di Barat, andainya ada pengamal media disaman oleh figura awam atas dakwaan apa yang disiarkan itu telah memfitnahnya, pengamal media di luar negara kini menikmati suatu hak pembelaan yang diberi nama “responsible journalism" (kewartawanan yang bertanggungjawab).

Dalam kes Grant v. Torstar Corp. (2009) SCC 61, akhbar Toronto Star telah menyiarkan satu rencana yang dikatakan telah memfitnah plaintif (Grant). Akhbar itu telah memetik dan menyiarkan pendapat penduduk setempat yang mengatakan bahawa plaintif telah menggunakan pengaruh politiknya untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkenaan membina dan memajukan satu padang golf. Plaintif telah menyaman akhbar yang menyiarkan pendapat penduduk itu, bukan menyaman penduduk berkenaan yang mengeluarkan pendapat sedemikian itu. Kes itu telah dibicarakan di ketiga-tiga peringkat mahkamah, iaitu mahkamah bicara, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Agong Kanada - sekali gus menunjukkan betapa pentingnya keputusan kes ini kepada pengamal media di negara itu.

Mengekang

Mahkamah Agong Kanada memutuskan bahawa undang-undang fitnah negara itu memang meletakkan had dan batasan pada kebebasan bersuara (freedom of expression) seperti yang dijamin oleh undang-undang Kanada, tetapi dalam masa yang sama had dan batasan itu hendaklah jangan terlalu luas hingga mengekang kebebasan bersuara (to place a 'chill' on freedom of expression). Mahkamah selanjutnya menimbangkan sama ada satu pembelaan berasaskan komunikasi yang bertanggungjawab perlu diiktiraf demi menjaga kepentingan awam, dan jika jawabnya adalah “Ya", apakah ciri-ciri utama pembelaan baru itu?

Setelah mendengar hujah peguam dari kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan bahawa pembelaan itu sewajarnya wujud supaya tidak mengekang kebebasan bersuara (“the defence should exist so as to not chill free speech"). Mahkamah menambah bahawa pembelaan itu boleh menseimbangkan dengan betul antara hak bersuara yang dijamin di bawah undang-undang negara dengan hak privasi dan perlindungan reputasi. Mahkamah juga mengakui bahawa pembelaan itu telah diiktiraf oleh beberapa negara common law yang lain. Mahkamah menekankan juga bahawa pembelaan komunikasi bertanggungjawab (defence of responsible communication) ini adalah satu pembelaan yang baru, bukan modifikasi atau ubahsuaian pembelaan lama keistimewaan bersyarat (qualified privilege).

Yang amat menarik sekali dalam keputusan mahkamah ini adalah bila Chief Justice Beverley McLachlin menekankan bahawa pembelaan baru ini hendaklah dipanggil pembelaan komunikasi bertanggungjawab" (responsible communication), kerana pembelaan ini bukan hanya dinikmati oleh wartawan akhbar sahaja, tetapi juga blogger dan mana-mana orang lain yang menyebarkan maklumat, tidak kira apa status mereka. Dalam pada itu, mahkamah memberi amaran bahawa sebelum pembelaan ini boleh diterima oleh mahkamah, defendan (yang disaman) mesti dapat membuktikan perkara berikut -

(a) Perkara yang ditulis itu adalah sesuatu yang melibatkan kepentingan awak;

(b) Defendan telah bertindak penuh bertanggungjawab, dengan menunjukkan kerajinan yang wajar (diligence) dalam usahanya mencari pengesahan atau kepastian dari pihak-pihak lain tentang kebenaran apa yang ditulisnya itu.

Saya sering mengingatkan pengamal media bahawa sebelum mereka menyiarkan apa yang mereka tulis, lakukan dua perkara penting berikut. Pertama, cari kebenaran (seek the truth). Pastikan dari sumber-sumber lain (kedua, ketiga dan seterusnya) bahawa apa yang ditulis itu adalah semuanya benar belaka, bukan sesuatu yang dusta atau sengaja diada-adakan. Kedua, berlalu adil (be fair), iaitu setelah dipastikan bahawa apa yang ditulis itu adalah benar, tanya dulu orang yang punya diri (yang mengenainya tulisan dibuat) apakah dia ada apa-apa komen supaya komennya itu dapat disiarkan sekali dalam tulisan berkenaan. Di England, kita difahamkan bahawa pada June 2012 yang lalu, satu Rang Undang-Undang Fitnah yang baru telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di House of Commons.

Berkuatkuasa di England dan Wales (jika Rang Undang-Undang itu nanti diluluskan dan dikuatkuasakan), Akta Fitnah baru itu secara jelas telah memodenkan undang-undang fitnah negara itu dengan memberi pengiktirafan kepada pembelaan responsible journalism". Sama ada pembelaan baru ini dipanggil responsible journalism atau responsible communication, yang penting kewujudannya sudah diiktiraf oleh negara-negara berkenaan. Jika pemodenan undang-undang fitnah ini di masa lampau adalah hasil kerja badan kehakiman, di England (seperti yang kita lihat di atas tadi) badan perundangannya juga telah bangkit sama untuk memodenkan Akta Fitnah negara. Di Malaysia, barangkali kita hanya boleh bermimpi sambil berharap.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails