JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 September 2012

ISU KESIHATAN : UBAT TIRUAN DIJUAL BERLELUASA DI MALAYSIA



Penjualan ubat-ubatan tiruan tetapi menggunakan jenama tulen yang dipercayai berleluasa di seluruh dunia kini amat membimbangkan apabila ia turut merebak di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jualan ubat palsu kini melebihi RM230 bilion, manakala Kementerian Kesihatan pula mengakui penjualan ubatan yang menjejaskan kesihatan pengguna itu turut semakin berleluasa. Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata, setakat ini pihaknya telah merampas ubat tiruan tidak berdaftar bernilai RM9.2 juta. Kebanyakan ubat tersebut dibawa masuk dari China dan Indonesia.

Menurutnya, lebih menakutkan, produk yang dirampas itu meliputi 23,839 jenis produk ubat tiruan dari seluruh negara sehingga Julai tahun ini. Beliau berkata, daripada jumlah itu, ubat perangsang seks dikenal pasti merupakan penyumbang terbesar dengan nilai rampasan berjumlah RM642,209 meliputi 1,069 jenis produk. Katanya, senario itu berpunca daripada sikap pengguna yang gemar membeli produk murah sehingga meningkatkan penawaran produk berkenaan di pasaran. Trend penggunaan ubat perangsang dilihat semakin membimbangkan kerana masih ramai yang bergantung kepadanya. Situasi ini turut menjadi bukti kedegilan pengguna yang enggan mendapatkan nasihat doktor apabila berhadapan dengan masalah yang membabitkan kesihatan.

Beliau bagaimanapun memberitahu, setakat ini, tiada laporan membabitkan kes kematian yang dibuat berkenaan ubat palsu atau tidak berdaftar ini. Untuk mengekang penjualan ubat palsu atau tidak berdaftar ini daripada terus berleluasa, pelbagai langkah dijalankan termasuk kempen pendidikan kepada pengguna. Sementara itu, Pakar Seksual Lelaki dan Perempuan Hospital Damai Service, Dr. Ismail Tambi berkata, pengambilan ubat perangsang seks yang tidak mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan boleh menimbulkan komplikasi kesihatan termasuk mengundang maut. Katanya, kebanyakan ubat tersebut biasanya mengandungi sukatan bahan kimia berlebihan dos sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

SUMBER
Kosmo Ahad
23 September 2012

Tiada ulasan: