27 September 2012

ISU IPT : GAMBARAN SOKONGAN MAHASISWA


NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Keputusan pilihan raya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 minggu ini menunjukkan dominasi kumpulan proaspirasi yang memenangi 17 daripada 20 perwakilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan kemenangan besar di 13 kampus IPTA, kemenangan calon individu yang cenderung kepada proaspirasi di empat kampus dan hanya kalah kepada kumpulan promahasiswa di satu kampus. Dua kubu kuat promahasiswa yang diselubungi khabar angin akan tumpas terpaksa melalui pemilihan semula, satu daripadanya atas masalah teknikal sementara satu lagi bergantung kepada dua kerusi yang seri untuk menentukan kemenangan tipis kepada promahasiswa atau proaspirasi.

Secara rasminya, kumpulan proaspirasi mahupun promahasiswa tidak mewakili senario politik kepartian negara tetapi bagi warga kampus dan rakyat Malaysia secara umumnya, telah lama melabelkan kedua-duanya mewakili kumpulan prokerajaan atau propembangkang. Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir, pilihan raya kampus kali ini menarik perhatian ramai bagi melihat kecenderungan muda-mudi yang dikatakan bakal menentukan pemimpin dan hala tuju negara selepas 2013. Seperti mana dalam sebuah PRU, kemenangan satu pihak mengatasi lawannya dalam pilihan raya kampus bukan sahaja menunjukkan sokongan pengundi muda malahan menggambarkan penolakan terhadap pihak lawan yang kalah.

Walaupun tiada hubungan rasmi calon MPP dengan kumpulan tertentu di luar kampus, persepsi warga IPTA terhadap calon terbabit akan tercalit sama dengan pandangan mereka terhadap kumpulan politik di luar, terutamanya melihatkan taktik berkempen dan isu yang dibangkitkan. Secara keseluruhan, proses berkempen dan pengundian pada pemilihan kali ini dilihat berjalan dengan lancar dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, menggambarkan para mahasiswa yang semakin matang. Hanya beberapa kejadian dikesan mencemar suasana pilihan raya kampus seperti seorang pelajar mendakwa dipukul dan surat layang menggunakan nama Perdana Menteri yang disyaki taktik pihak tertentu mempengaruhi sentimen warga IPTA. Bagaimanapun, kebanyakan calon MPP kali ini bertindak sebagai cendekiawan muda dan lebih fokus kepada isu dalaman IPTA serta kebajikan pelajar berbanding retorik berkaitan agenda mahupun politik kepartian di luar kampus.

Lebih membanggakan, ramai antara calon muda ini juga menyahut seruan tidak membawa politik kepartian ke dalam kampus agar MPP di setiap IPTA dapat memberi fokus kepada isu-isu pelajar tanpa campur tangan pihak luar. Ini termasuk menyekat ketaksuban warga IPTA kepada mana-mana pergerakan politik sehingga mengabaikan tugas serta menyalahguna platform untuk memperjuangkan kebajikan para pelajar. Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, keputusan pilihan raya kampus kali ini menunjukkan trend kematangan di kalangan mahasiswa yang kebanyakannya telah sedar dan memahami realiti negara.

"Mereka nampaknya sudah tahu dan faham tanggungjawab diri sendiri selaku pelapis serta implikasi buruk kepada negara jika bertindak tanpa berfikir secara waras. Kemenangan besar kepada kumpulan proaspirasi juga menunjukkan adanya kecenderungan orang muda menyokong kerajaan dan menolak pembangkang,"

Walaupun ada pihak yang menyarankan kumpulan mahasiswa tidak diberikan label, beliau merasakan semuanya perlu bergantung kepada suasana dan realiti semasa. Tegasnya, golongan pelajar sendiri yang melabelkan diri sendiri apabila mahu mahasiswa dibenarkan berpolitik dan memegang jawatan politik di luar kampus sehingga memaksa kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). "Suka atau tidak, pelajar-pelajar ini cenderung untuk menunjukkan sokongan dan mahu dibenarkan menyokong parti politik tertentu. Dahulu tidak jelas tetapi sekarang label kumpulan tertentu ini adalah jelas. Walaupun ada buruk baiknya, realiti semasa memerlukan adanya label tersebut kerana mahasiswa perlu membuat keputusan yang jelas. Dengan menyokong proaspirasi, boleh diumpamakan mereka menyokong kerajaan," ujarnya.

Walaupun bersetuju politik kepartian dihalang daripada mengganggu mahasiswa yang sepatutnya fokus kepada pelajaran, beliau berharap semua pihak menerima realiti label tertentu asalkan politik luar tidak dibawa ke dalam kampus. Menurut Ibrahim, walaupun kumpulan promahasiswa dilihat lebih vokal, berani dan agresif, keputusan pemilihan menunjukkan kumpulan majoriti yang senyap selama ini tetap menyokong kumpulan proaspirasi dan kerajaan. "Trend tersebut berkait rapat dengan kejayaan program transformasi oleh Perdana Menteri yang memilih cara terbuka dan telus terutamanya dengan generasi muda dan pelajar. Perdana Menteri juga kerap turun padang dan menggunakan media baru dalam memahami kehendak rakyat. Pendekatan ini membolehkan orang muda dan pelajar berfikir dengan lebih baik dan matang," jelasnya. Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah pula berpendapat apa yang berlaku dalam pilihan raya kampus tahun ini merupakan satu manifestasi kepada apa yang akan berlaku pada PRU13.

"Kita lihat kemenangan besar proaspirasi menunjukkan isyarat jelas iaitu anak-anak muda kini kembali memberikan keyakinan kepada kepimpinan negara dengan mempertaruhkan masa depan dan kebajikan mereka kepada calon yang mendokong aspirasi universiti dan kerajaan. Ini menunjukkan apa yang Perdana Menteri lakukan selama ini memberi kesan mendalam dan keterbukaan beliau telah menjamin lakaran harapan orang muda akan tercapai,"

Beliau juga yakin momentum pilihan raya kampus itu akan berterusan di luar apabila masyarakat melihat golongan berilmu di kampus juga menyokong kerajaan. Jelasnya, sebanyak 85 peratus daripada sekitar 620 kerusi yang dipertandingkan tahun ini dimenangi calon proaspirasi dan itu menunjukkan warga IPTA mahu mengekalkan keadilan semulajadi bagi memboleh mahasiswa duduk belajar dan bukannya ditarik menyertai rusuhan jalanan. "Ini adalah petunjuk jelas modus operandi pembangkang ditolak mahasiswa IPTA yang lebih mengutamakan belajar di kelas dan menimba ilmu di perpustakaan. Para pelajar mempunyai impian masa depan masing-masing. Mereka sudah bijak memilih selepas menilai apa yang Perdana Menteri laksanakan selama ini seterusnya memilih calon yang menjaga kepentingan mereka," ujarnya. Beliau juga berbangga calon-calon proaspirasi menunjukkan kematangan dalam memenangi hati mahasiswa melalui kaedah kempen yang lebih tersusun dan jelas.

Mohd. Shahar bagaimanapun sekali lagi mengingatkan semua warga IPTA agar tidak membawa masuk politik kepartian ke dalam kampus walaupun mereka sudah boleh berpolitik di luar. "Selepas selesai pilihan raya kampus, saya berharap semua calon yang menang tunaikan manifesto masing-masing, tunaikan janji dan buat kerja bersungguh-sungguh dalam satu tahun berikutnya tanpa mengira proaspirasi mahupun promahasiswa. Selain itu, jangan lupa menilai kemampuan diri dalam persatuan dan sebagai pelajar, seterusnya beringat agar membawa suara akar umbi di perwakilan kebangsaan dan bukannya suara 'orang lain'," tegasnya.

Beliau turut menasihatkan para perwakilan bersedia berinteraksi dengan isu antarabangsa kerana mereka juga bakal menjadi duta negara yang akan membawa imej Malaysia di mata dunia.

Sumber
Utusan Malaysia
27 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails