05 September 2012

ISU GLOBAL : MENGAPA CAMPURTANGAN ANTARABANGSA SERING KALI GAGAL?


Rencana ini ditulis oleh:
MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my
Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)


Konflik dalam dunia adalah satu perkara yang mustahil untuk dielakkan. Antara faktor yang akan menyokong kenyataan ini adalah komposisi dunia yang dipenuhi dengan pelbagai negara, pelbagai jenis bangsa dan kaum, pelbagai jenis perspektif, serta persekitaran kehidupan yang sangat berbeza antara satu sama lain. Apabila wujud interaksi antara kesemua entiti dan faktor tersebut, maka konflik pasti berlaku. Politik antarabangsa sebagai contoh saban hari menyaksikan pelbagai jenis konflik yang tidak pernah jemu mewarnai sejarah dan perkembangannya sejak zaman dahulu hingga sekarang. Apabila manusia mula mencapai satu tahap tamadun yang tinggi dan mula menghargai nilai keamanan dan keselamatan, manusia akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada kepada mereka bagi mengekalkan kewujudan nilai keamanan dan keselamatan tersebut.

Dalam konteks pengurusan konflik antarabangsa pada masa kini, campur tangan antarabangsa oleh pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam sebarang konflik-konflik serius adalah sangat dituntut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selaku badan dunia yang bertaraf 'supra-nasional' biasanya memainkan peranan ini selaku 'badan pengaman dunia' yang akan bertindak untuk campur tangan bagi mengamankan konflik-konflik tersebut. Tugas sebagai 'badan pengaman dunia' ini juga turut digalas oleh banyak pertubuhan dan institusi antarabangsa yang bersifat serantau seperti Pakatan Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan banyak lagi. Semua pertubuhan dan institusi yang bersifat serantau ini turut sama menyumbang bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat di samping PBB.

Pun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapati usaha campur tangan antarabangsa dalam pelbagai konflik serius seringkali menemui kegagalan. Campur tangan antarabangsa lebih banyak gagal daripada berjaya dan kadang-kadang separa berjaya sahaja. Buktinya, lihatlah apa yang sedang berlaku di Syria. Berita-berita antarabangsa baru-baru ini melaporkan kegagalan misi pengaman PBB di negara tersebut berikutan dengan perletakkan jawatan ketua misi PBB di Syria. Sebelum itu, wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Syria, Kofi Annan, juga turut meletak jawatan. Perkembangan mutakhir ini menyebabkan banyak usaha misi pengaman di Syria terpaksa digantung buat sementara waktu walaupun keadaan di negara tersebut kian hari kian meruncing dan buruk.

Harus diingat bahawa ini bukannya kali pertama misi pengaman PBB gagal. Kalau kita tinjau sejarah perkembangan misi pengaman PBB khasnya selepas tamatnya era Perang Dingin, kita dapati banyak misi pengaman PBB seperti di Bosnia Herzegovina, Somalia, Rwanda, Congo dan Yemen turut menerima nasib yang sama, ia gagal. Campur tangan antarabangsa di beberapa buah negara lain seperti di Iraq dan Afghanistan juga demikian. Begitu juga halnya dengan campur tangan antarabangsa dalam isu konflik Arab-Israel serta isu Palestin. Semuanya menemui kegagalan dan kurang berkesan. Pun begitu, campur tangan oleh NATO dalam krisis di Libya pula disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai berjaya.

Dalam teori penyelesaian konflik antarabangsa, campur tangan sebagai satu alat politik yang dijana menerusi pihak ketiga yang neutral seharusnya membuahkan banyak hasil yang positif. Persoalannya, berdasarkan kepada beberapa kes yang dikemukakan di atas, kenapa campur tangan oleh pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam pelbagai isu dan konflik antarabangsa seringkali gagal? Di manakah silapnya? Bagi menjawab persoalan ini, ada sebuah buku yang bertajuk Can Intervention Work tulisan Rory Stewart dan Gerald Knaus (2011). Stewart, merupakan bekas Timbalan Gabenor di dua buah wilayah di Iraq sewaktu zaman pendudukan Amerika Syarikat di negara tersebut, manakala Knaus pula ialah pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai European Stability Initiative.

Menurut kedua-dua penulis ini, prasyarat utama kepada kejayaan sesuatu tindakan campur tangan antarabangsa ialah:

(i) Keupayaan agensi pelaksananya untuk memahami keadaan, budaya dan norma persekitaran semasa di tempat tersebut;

(ii) Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang tempatan di tempat tersebut, dan

(iii) Keupayaan untuk membantu mewujudkan legitimasi agensi pelaksana serta ahlinya di kawasan yang sedang berkonflik tersebut.

Sebaliknya, menurut Stewart dan Knaus, tindakan mengekalkan status-quo semasa campur tangan, seperti mewujudkan keadaan 'darurat yang tetap' akan menghalang pemimpin tempatan daripada mengambil tanggungjawab yang sepatutnya dan boleh meningkatkan lagi status populariti 'pihak penentang'. Mereka memberikan contoh kegagalan campur tangan negara kuasa besar dunia dalam konflik antarabangsa di Iraq, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. Iraq dan Afghanistan masih tidak aman, manakala konflik di Bosnia pula gagal dikawal hingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Stewart dan Knaus juga mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa sebenarnya mampu untuk menghalang konflik antarabangsa yang memusnahkan banyak jiwa manusia yang tidak berdosa sebagaimana yang berlaku di Balkan dengan cara mengambil tindakan secara incremental dengan memahami persekitaran tempatan dan mendapat sokongan yang sepatutnya daripada masyarakat tempatan di tempat yang sedang berkonflik tersebut. Berdasarkan kepada hujah dan analogi oleh Stewart dan Knaus ini, kita boleh menyimpulkan bahawa kegagalan banyak usaha campur tangan antarabangsa dalam pelbagai konflik antarabangsa di serata pelosok dunia sebenarnya merupakan kegagalan masyarakat antarabangsa, termasuk PBB dan pertubuhan serantau, untuk memahami secara mendalam keadaan konflik tersebut sebagaimana yang sepatutnya. PBB dan pertubuhan serantau mesti mempunyai personal touch yang baik dengan aktor-aktor tempatan dalam sesuatu konflik sekiranya ingin menjayakan sebarang usaha campur tangan antarabangsa. Jika tidak, sebarang usaha mereka ini akan memburukkan lagi keadaan dan dunia ini akan terus berada dalam keadaan kegawatan yang sangat serius.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails