01 September 2012

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA


Rencana ini ditulis oleh :
Norizan Sharif
Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder,
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju),
Jabatan Perdana Menteri


Semalam negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-55. Sejak merdeka, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak kepada ekonomi bumiputera di negara ini. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971 banyak mengangkat taraf hidup bumiputera di negara ini. Kadar kemiskinan turun dari 64.8% pada 1970 kepada sekitar 5.3% pada tahun 2009; dan bilangan profesional bumiputera meningkat dari 5% kepada 45% (51,306 orang) daripada jumlah keseluruhan profesional dalam tempoh yang sama. Begitu juga peratusan bumiputera dalam pengurusan meningkat daripada 22% pada 1970 kepada 43% pada 2009; walaupun sebahagian besar mereka menjawat jawatan ini dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sementara kita berbangga dengan pencapaian ini, masih ada isu dalam ekonomi bumiputera yang perlu diberikan perhatian. Antaranya ialah penglibatan bumiputera dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. SME Corp mentakrifkan PKS sebagai syarikat yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM25 juta atau pekerja sepenuh masa di bawah 150 orang. Menggunakan takrifan ini, sekitar 99.2% atau 548,267 buah syarikat dikategorikan sebagai PKS. Secara keseluruhannya, 79% PKS adalah dalam kategori mikro, iaitu mencatat jualan tahunan di bawah RM250,000 atau mempunyai lima orang pekerja dan ke bawah.

Bagaimanapun, hampir sembilan daripada 10 syarikat bumiputera berada dalam kategori mikro. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, jumlah sebenar syarikat bumiputera (termasuk mikro) lebih kecil disebabkan daripada kesemua syarikat yang berdaftar di negara ini, hanya satu per empat saja dimiliki oleh bumiputera. Implikasi yang ketara daripada senario ini adalah walaupun ada peningkatan daripada 2.4% daripada 1970 kepada 21.9% pada 2008 dan seterusnya 23.09% pada 2010, namun pemilikan ekuiti korporat bumiputera secara relatifnya masih rendah. Apabila kekayaan tidak berlegar di kalangan bumiputera, ia memberikan impak ekonomi dan sosial yang melebar.

Dalam sektor ekonomi, bumiputera tidak menguasai entiti perniagaan besar atau rantaian nilai dalam banyak sub-sektor ekonomi. Malah, penyertaan bumiputera dalam sub-sektor seperti halal (makanan dan bukan makanan) adalah terlalu rendah. Sementara dalam sektor sosial ia memberikan kesan kepada peluang untuk bumiputera memegang jawatan kanan dalam sektor swasta, mobiliti sosial dan akses kepada pendidikan di luar sektor awam. Cabaran bumiputera sekarang adalah persekitaran di mana kita beroperasi sudah berubah. Perubahan landskap sosio-politik dan peningkatan globalisasi memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhannya. Ini bermaksud bumiputera tidak lagi boleh berfikir dan bertindak seperti sebelumnya. Maka, di sinilah letaknya keperluan kepada transformasi ekonomi bumiputera.

Sebagai satu inisiatif kepada anjakan paradigma ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" pada 26 November lalu. Ia merupakan sebahagian program transformasi negara yang diperkenalkan Najib sejak memegang jawatan itu. Dokumen hala tuju ini yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai satu “living document" menggariskan enam prinsip transformasi ekonomi iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berdasarkan merit, telus, pro-pertumbuhan dan mampan. Sebarang inisiatif pembangunan ekonomi bumiputera harus dilakukan dengan mengambil kira prinsip-prinsip ini. Hala Tuju Transformasi Ekonomi bumiputera" juga mempunyai aspirasi untuk melihat perubahan kepada instrumen polisi dan rasionalisasi sistem penyampaian, mengukuhkan pendidikan dan kapasiti bumiputera, dan membangunkan perniagaan yang mempunyai skala yang mencukupi untuk menghadapi persaingan.

Ini bermaksud, kita perlu melakukan penilaian semula kepada program pembangunan ekonomi bumiputera dan koordinasi yang lebih baik antara agensi-agensi kerajaan, sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi dan kumpulan sasar. Berdasarkan analisis awal, sebahagian besar program pembangunan dan pembiayaan perniagaan bertumpu kepada keperluan dan peluang (necessity and opportunity driven); manakala yang dipandu oleh inovasi (innovation driven) masih kurang. Sejak 2006, sejumlah 26.3% atau RM16.1 bilion untuk pembangunan PKS diperuntukan khusus untuk bumiputera. Untuk 2012, sejumlah RM5.7 bilion daripada jumlah keseluruhan RM19.9 bilion diperuntukan untuk syarikat dan usahawan bumiputera; menjadikannya jumlah paling tinggi dalam tempoh enam tahun. Persoalannya, apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan impaknya kepada usahawan bumiputera?

Perdana Menteri juga menyebut mengenai pembinaan kapasiti dan ini juga merupakan asas yang penting dalam transformasi ekonomi bumiputera. Dengan perubahan landskap yang disebutkan terdahulu, bumiputera harus bersaing di pasaran terbuka dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai contoh, adalah merupakan satu inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" bagi membina kapasiti bumiputera. Dalam tempoh kurang setahun sejak dilancarkan, ia menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari persekitaran mencabar di seluruh negara. Manakala program pembangunan profesional dalam bidang-bidang terpilih seperti akauntan baru dimulakan; sementara beberapa siri pembangunan skil tinggi akan dimulakan pada tahun depan.

Satu lagi aspek penting dalam hala tuju ini adalah membangunkan perniagaan berskala mencukupi dan menyediakan mereka untuk menghadapi persaingan. Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang dilaksanakan oleh Teraju bertujuan mengangkat syarikat-syarikat ini ke tahap yang lebih tinggi dan menyediakan mereka untuk persaingan terbuka. Pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan kepada bumiputera yang sedang dilaksanakan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad adalah satu lagi inisiatif “quick win" untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan perniagaan berskala besar. Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan untuk kedua-dua agensi ini melupuskan 10 aset bukan teras kepada syarikat bumiputera yang layak.

Apa yang disebutkan di sini hanyalah sebahagian inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera." Dalam tempoh satu setengah tahun, Teraju menyediakan peluang perniagaan dan pembiayaan untuk bumiputera melebihi RM13 bilion. Pun begitu, agenda transformasi ekonomi bumiputera bukanlah dilaksanakan oleh Teraju atau mana-mana agensi secara terpinggir. Transformasi ini harus dilakukan merentasi sektor dan kementerian. Atas sifat itulah, transformasi ekonomi bumiputera harus menjadi agenda nasional!

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
01 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails