JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Ogos 2012

ISU UMUM : PERGINYA LAGENDA BADMINTON NEGARA


Rencana ini ditulis oleh:
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Punch Gunalan (kiri) dan Ng Boon Bee mengharumkan nama negara apabila menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Seluruh England 1971.


Setelah bertarung dengan penyakit barah hati yang dihidapinya, legenda badminton negara, Datuk P. Punch Gunalan, 68, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.45 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor, pada 15 Ogos 2012. Anak kelahiran Sepang, Selangor itu cukup sinonim dengan sukan badminton kerana selain pernah menjadi pemain, beliau turut bergiat sebagai jurulatih sebelum mengakhiri kerjayanya sebagai pentadbir sukan itu. Beliau bermain badminton sejak berusia lima tahun dengan bimbingan bapanya. Kesungguhannya berlatih sejak kecil itu membolehkan memegang dua status yang jarang dimiliki mana-mana pemain badminton iaitu jaguh perseorangan dan jaguh beregu.

Kebolehannya untuk beraksi dua acara berlainan pada setiap masa meletakkan lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Brighton College of Technology, England sebagai salah seorang pemain badminton terulung pernah dilahirkan Malaysia. Kematian bapanya ketika beliau berusia 13 tahun tidak menghalangnya untuk menjadi juara acara perseorangan dan beregu Terbuka Negeri Sembilan. Beliau ketika itu berusia 17 tahun. Beliau juga menjadi juara remaja Kejohanan Badminton Gabungan Asia (ABC) di Kuala Lumpur ketika berusia 18 tahun pada 1962. Pada 1970, Punch Gunalan mewakili skuad Piala Thomas kebangsaan tetapi Malaysia kecundang 2-7 kepada Indonesia pada perlawanan akhir di gelanggang sendiri.

Beliau kemudiannya memenangi pingat emas acara beregu di Sukan Asia di Bangkok pada 1970 dengan mengalahkan pemain Jepun, Hiroe Yuki. Pada tahun berkenaan, beliau yang berusia 26 tahun menamatkan zaman bujangnya dengan mendirikan rumah tangga bersama Datin Vijeya Kumari. Sepanjang perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak lelaki, Dr. Roshan yang merupakan seorang pakar ortopedik. Ketika era kegemilangannya sebagai pemain, Punch Gunalan merupakan jaguh yang digeruni kerana dikenali sebagai pemain yang agresif dan gemarkan corak menyerang. Legenda itu pada awal kariernya menggunakan nama Gunalan Panchacharan sebelum ditukar kepada 'Punch' Gunalan, nama samaran yang diberikan para penulis sukan berikutan corak permainannya yang 'gemar melakukan smash'.

Pada 1971, beliau bersama pasangannya, Ng Boon Bee merangkul juara dalam acara beregu lelaki kejohanan Seluruh England dengan menundukkan beregu Indonesia, Rudy Hartono-Indra Gunawan. Gandingan mantap dengan Boon Bee yang dikenali sebagai pakar beregu cukup terserlah apabila kedua-dua mereka membolot sejumlah kejuaraan lain selepas itu. Kedua-dua mereka sebenarnya turut merangkul 'pingat' Olimpik pertama negara apabila meraih perak pada temasya 1972 di Munich, Jerman. Malangnya ia hanya merupakan sukan pertunjukan dan tidak diambil kira dalam pungutan pingat. Badminton hanya diperkenalkan dalam Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol. Pada tahun 1974, beliau cemerlang apabila meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu di Kejohanan Komanwel, Christchurch, New Zealand.

Persaraannya pada 1974 sepatutnya lebih bergaya dan lengkap, seandainya beliau tidak tewas kepada legenda badminton Indonesia, Rudy Hartono pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Seluruh England tahun berkenaan. Beliau kecundang 8-15, 15-9, 15-10 dan berpuas hati dengan gelaran naib juara perseorangan. Selepas berhenti bermain, Punch Gunalan melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan merupakan Ketua Jurulatih Pasukan Piala Thomas Malaysia ketika negara menjadi juara pada 1992 di Kuala Lumpur. Di bawah bimbingannya juga, Malaysia mara ke peringkat akhir Piala Thomas pada 1976,1988 dan 1990. Pada 1992, beliau dianugerahkan darjah Panglima Setia Diraja oleh Kerajaan Persekutuan yang membawa gelaran 'Datuk'. Beliau kemudian menyertai bidang pentadbiran sukan itu apabila menyertai Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada 1992 sebagai ahli majlis, sebelum dilantik menjadi Naib Presiden pada 1997 hingga 2005.

Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Presiden pada 2005 sebelum meletakkan jawatan itu pada 2008. Pada tahun berkenaan, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung dan sejak itu, kehidupannya lebih banyak dihabiskan bersama keluarga. Pelbagai pihak yang mengulas peletakan jawatannya dalam badan induk sukan badminton dunia itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu kehilangan besar. Menurut mereka, walaupun beliau diselubungi kontroversi sepanjang kariernya, namun hakikatnya beliau seorang pemimpin yang agresif dan berani mencuba dalam usaha menaikkan status sukan badminton dan badan induk itu. Antara idea hebat Punch Gunalan yang telah menaikkan martabat badan badminton dunia itu adalah menukar nama IBF kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Beliau turut memperkenalkan kejohanan Siri Super pada 2007 untuk membolehkan pemain badminton dunia menikmati pendapatan yang lebih baik.

Menurut mereka, banyak idea lain yang tidak pernah difikir atau tidak berani dicuba pemimpin lain juga telah diperkenalkannya dan ia memang bersesuaian dengan sikap agresif yang menjadi kebiasaannya sejak menjadi pemain badminton lagi. Sementara itu, ketika ditemu ramah Utusan Malaysia pada April 2011, Punch Gunalan berkata, tiada kekesalan terpendam dalam hatinya kerana beliau tidak terlepas satu pun kejuaraan besar, sewaktu era kegemilangannya. "Yang patut menang pada zaman itu, semua sudah dimenangi. Kalau kempunan pun, pingat Olimpik dan Kejohanan Dunia, tetapi kedua-duanya masih belum dipertandingkan pada zaman saya," ujarnya.

Ditanya mengenai pengalaman paling manis, beliau dengan segera menyebut kejayaannya merangkul pingat emas berganda bagi Sukan SEAP (kini Sukan SEA), Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada lewat 1960-an dan awal 1970-an. "Kejayaan meraih emas berganda dalam semua temasya sukan berkenaan memberikan saya kepuasan yang tidak terhingga kerana sumbangan emas kepada kontinjen Malaysia adalah begitu bermakna," jelasnya. Ditanya siapakah pemain yang paling digeruninya, Punch Gunalan berkata, individu itu ialah pemain legenda China, Tang Xian Hu dan beliau bernasib baik kerana mereka hanya bertarung sekali sahaja ketika aksi persahabatan.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 Ogos 2012

Tiada ulasan: