29 Ogos 2012

ISU SOSIAL : MALAS JADI PENGHALANG KEJAYAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Semua benda nak free tu yang jadi malas sikit. Tiada inisiatif untuk berusaha. Kalau subsidi kerajaan dikurangkan salah itu ini, kebanjiran pekerja asing di Malaysia tanda-tanda awal penduduk negara ini malas bekerja. Hendak gaji besar tapi kerja sikit. Macam mana rupa negara kita kalau jadi negara berkebajikan… Tepuk dada tanya pemikiran anda." Demikian di antara pandangan (Murni Ali) yang diajukan dalam ruangan blog Interaktif facebook.com/utusan_online pada 25 Ogos lalu. Ada beberapa indikator untuk melihat sejauh mana keselesaan atau kemalasan dalam masyarakat kita. Antaranya adalah melihat tahap kesihatan yang mana bilangan obesiti semakin meningkat menggambarkan kurangnya aktiviti jasmani atau kegiatan gaya hidup sihat. Jika diperhatikan jumlah mereka yang mengunjungi padang atau gelanggang permainan untuk beriadah setiap petang sangat kurang.

Bagi kekal sihat tidak semestinya hanya bersukan tetapi cara lain boleh dilakukan misalnya membiasakan berjalan pantas ke tempat berhampiran tanpa menaiki kenderaan atau elak menggunakan lif tetapi menggunakan tangga jika menaiki bangunan yang tidak terlalu tinggi. Walau apa pun untuk menjaga kesihatan sikap malas perlu dihindarkan. Senaman perlu dijadikan rutin harian sama ada di kawasan rekreasi atau di gimnasium tidak kira yang muda atau tua. Selain itu tingkah laku malas dapat dilihat dengan jelas melalui perbuatan melepak yang kebiasaannya di pasar raya, tempat hiburan atau kawasan awam. Melepak sering dikaitkan dengan perbuatan membuang masa, tidak mempunyai tujuan khusus atau tidak bijak menggunakan masa. Lebih malang perbuatan melepak ini dilakukan oleh muda-mudi dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan atau mendakwa diri masih menganggur.

Sekiranya ditinjau keadaan sekeliling ternyata negara kita antara yang paling bertuah dianugerahkan dengan tanah subur, di kelilingi air yang memiliki khazanah laut dan pelbagai aktiviti ekonomi yang berkembang pesat. Melalui kestabilan politik, suasana aman dan asas infrastruktur yang lengkap sesiapa pun boleh berjaya asalkan sanggup berusaha keras untuk mencapainya. Malangnya, kerja yang sepatutnya dilakukan oleh anak tempatan diisi dan dipenuhi oleh warga asing. Sikap malas menjadi penghalang utama untuk mencapai kejayaan. Perkara ini telah diingatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil. Kemudiannya di sekolah guru terus mengingatkan pelajar supaya menghindari sikap malas jika ingin maju dalam pelajaran dan kehidupan. Guru sentiasa menekankan agar pelajar bersikap positif, rajin, tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Pelajar digalakkan membuat persediaan awal dengan membaca perkara yang akan diajar, memberi perhatian serta tumpuan semasa pengajaran guru dan banyak membuat latihan serta rujukan bagi menambah pengetahuan. Kebiasaannya anak murid yang akur dengan nasihat dan panduan guru akan beroleh kejayaan dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan. Sekiranya kita melayari Internet terdapat blog yang membincangkan sikap malas antaranya www.irfankhairi.com memberikan panduan bagaimana untuk membanteras sikap yang merugikan itu. Menurutnya malas berpunca daripada sikap terlalu selesa atau berada dalam zon selesa. Untuk keluar daripada zon itu bukanlah suatu yang mudah. Walaupun ada usaha tetapi secara psikologi tarikan kembali ke zon itu lebih kuat. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sedikit demi sedikit untuk berubah misalnya bagi seorang pelajar cuba tetapkan masa satu jam setiap hari untuk belajar di rumah kemudian berusaha meningkatkannya kepada 30 minit bagi setiap minggu dan akhirnya cuba dapatkan jumlah masa belajar sehingga lima jam setiap hari dan berusaha mengekalkannya. Insya-Allah dengan tekad dan semangat yang kuat perubahan boleh menjadi kenyataan.

Sementara itu, blog www.rahsiaebiz.com memperkatakan kejayaan seseorang mempunyai kaitan yang signifikan dengan sikap. Inilah yang membezakan personaliti yang hebat dengan orang biasa. Menurutnya, sikap malas adalah penyakit, sekiranya dihinggapi orang itu akan hilang kesungguhan untuk mencapai matlamat tidak kira dalam usaha merebut peluang, bidang kerjaya atau apa sahaja yang mereka impikan. Sekiranya dikaji latar belakang tokoh tertentu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bill Gates, Warren Buffet, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar Albukhari sudah tentu terdapat kualiti tertentu dari segi sikap, kesungguhan, strategi dan perancangan mereka. Sesungguhnya tiada sikap malas dalam kamus hidup mereka kerana malas berkait rapat dengan kegagalan. Oleh itu, bagi mereka yang ingin berjaya sikap malas hendaklah disingkirkan jauh di luar kotak minda. Sikap positif hendaklah dijadikan amalan seperti rajin, bersungguh- sungguh, sentiasa mencuba, tidak takut gagal, dan tidak mudah berputus asa.

Secara umumnya ada beberapa kategori malas seperti malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha. Jika ingin menjadi orang hebat membaca perlu dijadikan rutin harian. Kini untuk memiliki buku amat mudah kerana terdapat banyak kedai buku dan perpustakaan awam di seluruh negara. Demikian juga melalui ICT maklumat dan pengetahuan hanyalah di hujung jari. Oleh itu, jangan malas membaca apa sahaja bahan kerana mungkin ada antaranya yang memberi manfaat tanpa disedari. Keduanya, gejala malas berfikir. Ini boleh menjadikan seseorang hilang daya kebijaksanaan. Minda manusia dibekalkan dengan berjuta-juta sel neuron yang boleh digunakan untuk berfikir apa sahaja dan pada bila-bila masa. Menurut pakar perubatan lebih banyak seseorang itu berfikir semakin tajam daya pemikirannya kerana sel neuron akan ‘hidup’ dan aktif bekerja.

Sebaliknya, jika malas berfikir menyebabkan sel neuron ‘mati’ dan tidak aktif. Apa yang dibimbangi sekiranya anak muda malas berfikir mereka akan lebih cenderung kepada perkara yang berbentuk hiburan atau yang menyeronokkan sahaja. Akhirnya akan merugikan negara kerana golongan yang produktif itu tidak dapat memberi sumbangan seperti yang diharapkan. Ketiga, malas berusaha tetapi mempunyai keinginan tinggi untuk menjadi orang berjaya atau orang kaya. Natijahnya kerana kurang pengetahuan dan kurang berfikir maka keinginan itu sukar dicapai. Peribahasa menyatakan bahawa ‘usaha adalah tangga kejayaan.’ Oleh itu, setiap orang yang ingin berjaya perlulah berusaha keras untuk mencapainya. Jangan bimbang, semua orang boleh berjaya. Oleh itu hindarkan sikap malas kerana ia boleh menjadi penghalang utama.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
29 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails