05 Ogos 2012

ISU SOSIAL : LELAKI MALAYSIA BUKA 'CAWANGAN'



Rencana ini tidak berniat untuk menakutkan wanita di tanah air. Sebaliknya, ia sekadar cerita yang saya fikir harus dikongsi dengan seluruh pembaca akhbar ini mengenai kehebatan lelaki Malaysia. Selama ini, kita mungkin sering mendengar berita bagaimana gadis-gadis Malaysia yang dilarikan lelaki-lelaki Lombok. Gadis-gadis malang itu dibawa pulang ke kampung halaman lelaki yang sudah menjadi suami mereka dan hidup dalam serba kekurangan. Selang dua tiga tahun, keluarga mangsa-mangsa berkenaan mula merayu meminta bantuan membawa pulang anak-anak mereka. Itu kisah wanita-wanita Malaysia yang diperdayakan kekasih mereka.

Situasi bagi lelaki yang berasal dari Malaysia dan gemar berkunjung ke negara jiran ini pula amat berbeza. Sebilangan besar yang pernah saya temui dan temu bual, semuanya terlalu gemar datang ke Indonesia - tidak kira sama ada di Jakarta, Bandung atau Medan. Semuanya datang bersebab. Ada yang menjalankan perniagaan serta tidak kurang yang berada di negara ini sekadar untuk bercuti. Namun, jawapan ketiga yang membuatkan saya mula terfikir untuk mengadakan laporan penyiasatan adalah mengenai kecenderungan lelaki Malaysia memiliki "cawangan" di sini. "Cawangan" yang dimaksudkan ialah isteri kedua atau mungkin isteri ketiga dan keempat di Indonesia.

Kerana itu, awal-awal lagi sudah ditegaskan di perenggan terawal, artikel ini tidak langsung berniat untuk menakutkan wanita yang mungkin suami mereka gemar berkunjung ke negara ini. Ini merupakan perkongsian cerita yang saya peroleh daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai. Tolak ketepi sama ada lelaki-lelaki yang mahu berkahwin di Indonesia memberikan fakta yang betul mengenai latar belakang diri dan status perkahwinan mereka sebelum menikahi wanita muda di sini.

Berkahwin

Jauh sekali membawa bersama dokumen yang lengkap untuk berurusan dengan pihak berwajib di Kedutaan Besar Malaysia di negara ini atau Jabatan Agama Islam di tanah air untuk mendapatkan kelulusan berkahwin di luar negara. Ini kerana, selagi pada wajah lelaki-lelaki berkenaan tertera simbol RM (Ringgit Malaysia), segala kesulitan boleh diatasi dengan mudah. Ada seorang lelaki kaya dan berpengaruh Malaysia (maaf namanya tidak boleh disebut) yang terlalu gembira apabila berkunjung ke Medan di Pulau Sumatera. Tokoh berkenaan bukanlah muda sangat. Usia pun sudah 60-an atau mungkin sudah mencecah angka 70 tahun. Secara logiknya, untuk lelaki seperti beliau, peluang mencari pucuk muda untuk disunting sebagai isteri amatlah sukar.

Wanita-wanita Malaysia khususnya mereka yang muda dan bergetah kalau mahu mencari jodoh lelaki kaya sekalipun tentu sekali calon seperti tokoh berkenaan bukanlah pilihan yang tepat. "Di Malaysia, jangan harap ada perempuan muda nak lihat muka aku. Tetapi di Medan, aku rasa sentiasa muda," pengakuan jujur tokoh itu mengenai "kehidupan baru" yang diperoleh selepas menikahi wanita muda di Medan beberapa tahun lalu. Kerana kasih dan sayang pada isteri mudanya itu, banyak wang yang dilaburkan tokoh berkenaan. Ada juga kes di mana seorang lelaki yang berhadapan dengan masalah dokumen perjalanan sehingga terpaksa menetap lebih setengah tahun di Indonesia memilih berkahwin di wilayah yang sama.

Ketika ingatan dan kasih sayang tidak pernah putus terhadap isteri dan anak-anak yang ditinggalkan di Malaysia, beliau masih lagi sempat berkahwin lain dengan wanita tempatan. Perkahwinan itu katanya sebagai menghindari diri daripada melakukan maksiat. Itu baru dua kisah benar yang saya dengar. Ada lagi banyak kes yang kalau dikongsi akan membuatkan isteri-isteri pasti akan mahu ikut suami mereka setiap kali berkunjung ke Indonesia. Untuk pengetahuan pembaca, jumlah rakyat Malaysia (khususnya lelaki) yang berkahwin dengan rakyat Indonesia setiap tahun meningkat. Pada tahun lalu sahaja, rekod warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara Indonesia ialah 388 pasangan.

Itu jumlah mereka yang berdaftar dengan pihak berkuasa. Sementara jumlah yang tidak mendaftar (berkahwin tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia) pula gagal dikesan. Berdasarkan kajian yang saya buat, sebab utama rakyat Malaysia (khususnya lelaki) tidak mendaftarkan perkahwinan mereka lazimnya disebabkan tidak mendapat kelulusan berpoligami. Cara mudah adalah datang ke Indonesia dan berkahwin secara 'koboi'. Apa lagi dengan senario pernikahan siri yang menjadi kecenderungan di beberapa wilayah seperti di Bogor antara punca yang menyebabkan ada segelintir lelaki Malaysia mengambil kesempatan. Kalau mereka yang pernah ke Bogor tentu sekali akan terperanjat melihat bagaimana pernikahan bersiri ini diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat di sana.

Di Bogor, anda dengan mudah melihat wajah anak-anak kecil berdarah kacukan kerana mereka merupakan zuriat yang dilahirkan hasil pernikahan bersiri. Difahamkan ramai lelaki dari Timur Tengah yang datang bercuti ke Indonesia memilih untuk bernikah siri dengan wanita-wanita tempatan. Memandangkan golongan ini sering menghabiskan masa yang lama di Indonesia (tanpa ditemani isteri), maka mereka memilih untuk berkahwin di lokasi percutian mereka.

Budaya ini yang dikhuatiri akan menjadi ikutan rakyat Malaysia kerana pernikahan bersiri membawa maksud bernikah untuk satu tempoh masa sahaja. Sejurus berakhir tempoh berkenaan, wanita-wanita itu akan ditinggalkan oleh suami mereka kerana ikatan perkahwinan itu gugur secara automatik. Banyak kesan yang kurang baik boleh berlaku ke atas isteri dan anak-anak pada masa depan. Seeloknya urusan perkahwinan mengikut aturan agama dan undang-undang negara kerana ia satu tugas mulia di sisi Allah. Janganlah kita hanya menjadi jaguh dalam hal ehwal kahwin banyak tetapi gagal menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 05 Ogos 2012
Hari : Ahad
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails