24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KONGSI KURANGKAN KADAR JENAYAH


Rencana ini ditulis oleh :
AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my


Pada Julai 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan meletakkan matlamat mengurangkan kadar jenayah sebagai perincian yang pertama. Bidang-bidang lain termasuk memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana. Tujuan Perdana Menteri memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen tanggungjawab yang serius wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Ia disebabkan Perdana Menteri tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan samar-samar mengenai inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Dalam aspek itu, Najib mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan. Begitulah juga yang dapat dilihat dalam NKRA jenayah setelah semua statistiknya dikeluarkan oleh pihak polis. Selepas tiga tahun, pencapaian NKRA jenayah dilihat mencapai objektifnya. Jika diperincikan statistik kadar jenayah indeks pada 2010 telah menurun sebanyak 15.4 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Bagi jenayah jalanan pula ia dapat dikurangkan sebanyak 34.7% bagi tempoh sama. Angka tersebut mengatasi sasaran bagi jenayah indeks dan jalanan untuk tahun 2010 iaitu masing-masing 5% dan 20%. Pada 2011 pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan apabila kadar jenayah indeks dapat dikurangkan sebanyak 11.1% berbanding tahun sebelumnya sementara jenayah jalanan pula menurun sebanyak 39.7% berbanding tahun 2009.

Ketua Urus Setia NKRA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ayub Yaakob berkata, apa yang membanggakan, sebelum ini polis hanya mampu mengawal kadar jenayah namun belum pernah berjaya menurunkannya seperti yang berlaku sekarang. Namun begitu, katanya, masih ada pihak yang tidak yakin dengan apa yang dilakukan dan perkara itu yang perlu diatasi oleh mereka ketika ini. "Sebahagian besar inisiatif NKRA telah berjaya dilaksanakan dan mencapai sasaran statistik yang dikehendaki kerajaan, namun kita harus membuktikan kepada masyarakat bahawa polis berjaya mengurangkan kadar jenayah. "Sebab itu kita mahu mencari formula bagaimana hendak menangani persepsi masyarakat kerana statistik menunjukkan kadar jenayah menurun, tetapi ia perlu diterjemahkan menerusi peningkatan keyakinan orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Oleh itu, katanya, antara usaha yang akan dilaksanakan bagi menangani persepsi negatif masyarakat ialah memberikan penjelasan dengan tepat dan cepat berhubung sesuatu kes jenayah yang dilaporkan.

Menurut Ayub, mereka yang masih curiga dengan usaha kerajaan menangani jenayah boleh tampil bertemu dan berbincang dengan pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu. "Kami hendak sangat rapat dengan orang ramai bagi mendapatkan perkongsian. Sebab itu, kita perlu kenal satu sama lain, saling memahami, menghormati, bekerjasama dan barulah boleh berkongsi apa saja. "Bila sudah berjaya kita boleh kongsi sama-sama, namun jika sebaliknya jangan pula menuding jari sebab kita sudah bersama-sama, sebaik-baiknya carilah jalan penyelesaian," ujarnya. Dalam aspek itu, katanya, pihaknya sentiasa bersedia agar setiap statistik yang dikeluarkan boleh diaudit oleh agensi bebas. "Sebagai langkah pertama kita telah pun berbincang bersama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji statistik ini. Mereka boleh mendapat maklumat dari kita dan proses dan keluarkan. "Kita kena tunjukkan perkara sebenar kerana itu adalah faktanya. Biar rakyat yakin dan percaya," ujarnya.

Selain itu, menurut Ayub, peranan media amat penting dalam melaporkan sesuatu kes jenayah yang kadang-kala menimbulkan kebimbangan masyarakat. "Kita tidak boleh menghalang media untuk melaporkan kes jenayah, itu tanggungjawab mereka, namun cara melaporkan itu tidak perlulah disensasikan malah ada kalanya bagi sesuatu kes dilaporkan hingga berbulan-bulan lamanya. "Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila mereka melihat kes itu amat serius kerana seolah-olah ia kerap berlaku," ujar beliau. Dalam perkembangan sama agar semua proses lebih efisien dan telus, menurut Ayub, pihaknya sedang meneliti agar sistem laporan polis dapat dipantau oleh orang ramai bagi mengetahui perkembangan siasatan kes terbabit. Katanya, perkara ini secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat di samping langsung tidak mahu menyembunyikan sesuatu.

"Kerajaan memang serius dalam perkara ini, dalam aspek penyediaan peruntukan, kemudahan malah penglibatan pucuk pimpinan juga dapat dilihat kerajaan benar-benar serius," kata beliau. Apa pun, sebarang polisi tidak akan berjaya tanpa komitmen daripada pelbagai pihak kerana perkongsian secara integrasi adalah faktor kejayaannya. Tambahan pula, dengan berkurangnya kadar jenayah, ia bukan saja menjadikan negara ini aman dan makmur malah meningkatkan lagi perkembangan ekonomi negara dengan pertambahan pelabur serta pelancong asing.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails