05 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KERJASAMA BENTERAS JUALAN MERCUN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Baru minggu kedua Ramadan, berita tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan elektronik. Walaupun menyayat hati terutama jika menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia seolah-olah sudah lali dengan berita sebegini dan tidak lagi merasakan kemalangan sedemikian sesuatu yang mengejutkan. Tambahan pula, sebilangan remaja bermasalah kini sudah mula bermain mercun dengan membaling kepada orang, kenderaan mahupun rumah sebagai satu bahan jenaka. Mercun ada fungsinya dalam upacara kaum dan kepercayaan tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya Melayu mahupun agama Islam.

Walaupun ada budaya bermain meriam buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan sebahagian daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal. Umum dan media sendiri sudah muak menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan Ramadan dan Syawal ini, tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah adalah sikap anggota masyarakat itu sendiri. Rata-rata masyarakat menyalahkan kanak-kanak atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun pihak berkuasa yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Semua orang mengetahui bermain mercun adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok. Lebih teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada asap tembakau. Namun, jika bertanya kepada diri sendiri, berapa ramaikah di antara rakyat negara ini yang pernah menghalang mahupun melaporkan aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?

Realitinya, penjualan mercun amat mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat sendiri serta menangkap penjenayah terbabit. Dengan itu, tidaklah pelik apabila ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur teruk. Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat kekal selama-lamanya. Terbaru, kes seorang pemuda dan anak jirannya di Kedah sudah berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa dilaporkan membeli mercun di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.

Yang bermain mercun itu mungkin akan kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama anggota masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang dibiar berleluasa. Sikap kejiranan kini yang lebih suka mengata dan mengutuk jika terkena kepada orang lain memburukkan lagi keadaan. Hanya apabila terkena pada keluarga sendiri barulah mereka tersentak. Jika ditanya, klise biasa adalah penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini. Sedangkan terdapat beribu-ribu mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram itu setiap hari. Agak menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar menjeling dengan tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.

Ramai yang mungkin terlupa tragedi letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara. Seperti tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri. Dengan jumlah mercun yang begitu besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara mahupun penduduk sekitar mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu tidak kena sedang berlaku. Sama juga di mana-mana sekalipun, jika orang ramai masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam menghalang aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun akan meragut nyawa keluarga atau kenalan anda. Hakikatnya, penguat kuasa tidak boleh berada di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang mengetahui aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Ogos 2012
Hari : Sabtu 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails