Pengikut

27 Ogos 2012

ISU SOSIAL : HARAPAM MEMILIKI RUMAH MENJALANG BAJET 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Walaupun masih berada dalam kemeriahan lebaran dan persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, sebahagian besar masyarakat masih memberi tumpuan kepada perbahasan mengenai pelan Bajet 2013. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan antara lain untuk menimbang permasalahan kos sara hidup dalam rancangan Bajet 2013 yang akan diumumkan kelak. Walaupun ekonomi negara diunjur tumbuh sekitar 5.4 peratus tahun ini yang diyakini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi 2020, masih banyak perkara yang perlu ditangani terutama berkenaan kos sara hidup yang menjadi duri dalam daging bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Tahun ini kita menyaksikan beberapa kaedah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan kos yang dihadapi namun kebanyakannya adalah bersifat pelan jangka pendek.

Pelan jangka pendek lebih mudah diterima orang ramai berdasarkan kesannya yang cepat dan efektif pada masa itu. Walau bagaimanapun, penstrukturan pelan jangka panjang adalah lebih baik dan penting kerana bersifat lebih kukuh dan berpanjangan dengan kos yang lebih minimum. Dalam isu menangani kos sara hidup dalam pembangunan bajet 2013 ini pelan jangka panjang dan pendek perlu diperhalusi bagi mendapatkan kesan yang lebih kukuh dan efektif. Antara cadangan yang popular dilontar orang ramai untuk pembangunan bajet kali adalah berkaitan isu harga rumah. Isu rumah sememangnya menjadi isu yang amat kritikal kerana rumah adalah satu daripada keperluan asas hidup dan menjadi pelan kontingensi kepada saat-saat kecemasan yang berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, memiliki rumah bagi setiap individu pada hari ini dianggap sebagai satu kemestian.

Harga rumah yang meningkat dengan tidak munasabah terutama sekali di bandar dan pinggir bandar sejak lima tahun kebelakangan ini menjadi kekangan kepada sekurang-kurangnya bagi sebuah keluarga untuk memiliki seunit rumah. Malang sekali lagi apabila rumah yang dijual dengan harga begitu mahal tidak berkualiti pula. Bagi golongan muda, kelihatannya seolah-olah amat mustahil untuk memiliki sebuah rumah dalam masa terdekat dengan tambahan hutang pendidikan yang ditanggung mereka. Kita akui bahawa untuk kerajaan mengambil alih kawalan harga rumah sepenuhnya adalah sesuatu yang tidak baik bagi ekonomi negara. Aktiviti ekonomi seharusnya bebas namun perlu dipantau bagi mengelakkan herotan berlaku oleh sebab yang disengajakan seperti spekulasi atau tidak disengajakan seperti kemelesetan ekonomi global. Maka, mengawal harga rumah menerusi kaedah secara tidak langsung diharap dalam dipertimbangkan dalam pembangunan dan pembentukan bajet pada hari ini.

Kaedah sedia ada seperti kerajaan membina rumah mampu milik perlu diperluaskan ke kawasan lain. Peringkat pendapatan juga perlu dikaji bagi memastikan rumah dibina sesuai dan selayaknya dengan pendapatan bagi sesebuah keluarga. Dicadangkan untuk kerajaan mengambil alih kawasan-kawasan emas yang hendak dibangunkan untuk dijayakan sebagai perumahan rakyat agar berlaku keseimbangan pembangunan dan kependudukan secara keseluruhan dalam kawasan tersebut. Selain itu, kaedah pembinaan rumah secara tradisional oleh kontraktor berlesen juga perlu diberi nafas baru. Menjual dahulu rumah yang belum dibina tidak sesuai lagi digunapakai sementelah banyaknya masalah yang timbul daripada kaedah ini yang mana turut merugikan kerajaan kerana terpaksa mengambil alih projek perumahan yang bermasalah. Kaedah-kaedah lain perlu dipertimbangkan sama ada menggunakan kaedah bina dahulu, kemudian jual atau pembinaan dan pembayaran secara berperingkat ataupun menubuhkan satu tabung khas kepada para kontraktor untuk memulakan pembinaan bagi menggantikan kaedah mengambil deposit daripada pembeli.

Sekali gus ini akan mengubah corak pembiayaan perumahan yang akan ditawarkan oleh bank-bank. Aktiviti membolot perumahan baru perlu dihentikan. Memang tidak dinafikan bahawa kita sukakan keuntungan yang maksimum yang pantas, namun dalam masa sama keuntungan yang dinikmati itu tidak harus memudaratkan orang lain. Kegiatan membolot menghampiri kepada perbuatan ihtikar yang mana dilarang oleh Islam. Ihtikar yakni penguasaan (monopoli) atau menyimpan bagi tujuan menaikkan harga lazimnya berlaku dalam jual beli makanan namun dalam hal ini matlamatnya adalah sama iaitu menguasai dan menahan rumah untuk diniagakan bagi tujuan menaikkan harganya. Kemudaratan yang berlaku terhadap individu yang tidak memiliki rumah adalah besar. Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal bagi sesebuah keluarga, tetapi juga tempat perlindungan, berkasih sayang, tempat menyemai ilmu dan nilai kepada anak-anak kecil.

Adalah menjadi harapan agar isu harga rumah ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan belanjawan kerana pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tahun 2020 harus diseimbangi dengan pembangunan masyarakatnya. Kita harus menginsafi bahawa kekayaan dalam kehidupan tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hashr. Ketidaksamaan kekayaan adalah kepelbagaian dalam kehidupan dan sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan asasinya termasuklah tempat tinggal yang baik dan selesa tanpa mengira taraf ekonominya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
27 Ogos 2012

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails