21 Ogos 2012

ISU PERPADUAN : SYUKURI NIKMAT PERPADUAN


Rencana ini ditulis oleh :
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.


Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika merasmikan Kongres Kebangsaan Kebudayaan di Universiti Malaya pada 16 Ogos 1971 menyebut: "Kita hendaklah sentiasa berpandu kepada cita-cita membentuk satu negara di mana rakyatnya dari pelbagai kaum dan golongan dapat dijalin dalam satu ikatan yang padu". Mesej ucapan tersebut cukup jelas, iaitu perpaduan. Sejak era Tunku Abdul Rahman hinggalah kepada Perdana Menteri yang ada pada hari ini, persoalan mengenai perpaduan tetap menjadi tajuk utama yang ditekankan untuk membina negara yang kukuh dan bersatu padu. Hakikatnya, perpaduan amat penting yang menjadi pra-syarat kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, usaha membina dan memelihara perpaduan sentiasa menjadi agenda utama dalam mengemudi negara ini. Bertitik tolak dari kepentingan perpaduan inilah maka strategi dan usaha menyatukan rakyat Malaysia dilaksanakan melalui Dasar Perpaduan Nasional (DPN).

Tujuan utama DPN adalah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu keseluruhan atau kesatuan yang padu dan kukuh melalui pemupukan semangat kecintaan (patriotisme) terhadap negara. Memahami dan menyedari betapa pentingnya perpaduan maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada Majlis Malam Penghargaan Media Massa UMNO 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada 12 Disember 2009 mengingatkan bahawa sekiranya perpaduan semakin menipis dan terhakis maka akan terserlah 'defisit moral' dan 'defisit empati' dalam masyarakat. Dalam ucapannya itu, Najib meletakkan nilai empati sebagai unsur penting yang harus diterapkan dan disuburkan dalam kalangan generasi muda supaya mereka menjadi generasi yang mengambil berat terhadap orang lain. Lebih jauh lagi, Najib menyebut bahawa atas rasa empati inilah maka kerajaan pimpinannya bertanggungjawab untuk memikul moral mission untuk melindungi rakyat, memberi peranan dan tanggungjawab pada rakyat dan meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan rakyat.

Persoalan mengenai 'empati' seperti yang disebut Najib itu selari dengan pandangan B.Bery, sarjana sosiologi. Dalam bukunya Race and Etnic Relationship (1965), Bery menyatakan dalam masyarakat majmuk sikap empati yang tinggi amat didambakan bagi membina interaksi yang harmoni dan aman. Menyedari hakikat itulah maka Najib dalam ucapannya itu menyebut landasan demokrasi yang diamalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah berlandaskan konsep empati, keprihatinan terhadap rakyat dan bertindak secara bertanggungjawab. Najib juga menyebut bahawa prinsip kebebasan, keseimbangan dan keadilan sentiasa ditekankan kerajaan supaya hak untuk hidup di negara ini tidak dimonopoli sesuatu kaum. Sikap terlalu memusat dan mengagungkan bangsa sendiri (etnosentrisme) akan membawa kepada pemisahan dan ketegangan etnik yang tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya ia boleh melemahkan solidariti masyarakat. Setiap rakyat harus membuka ruang dan perkongsian hidup serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif seperti yang digariskan dalam Perlembagaan negara.

Perasaan syak wasangka tidak akan wujud sekiranya semua pihak bertindak dan bersuara mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara. Justeru, amat tidak wajar ada suara-suara yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif seperti mempertikai hak istimewa orang Melayu, tuntutan untuk menjadikan bahasa lain sebagai bahasa rasmi pendidikan dan sebagainya. Hakikat yang harus diakui ialah semua kaum di negara ini menikmati pelbagai kebebasan sepanjang 55 tahun pentadbiran kerajaan BN. Proses dan perjalanan sejarah negara ini jelas membukti dan memberikan gambaran bahawa rakyat berbilang kaum hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain. Paras toleransi yang tinggi antara kaum yang diterjemahkan melalui 'politik kompromi' atau 'politik permuafakatan' BN menyebabkan kita kekal menikmati keharmonian dan perpaduan hidup. Sejarah mampu membicarakan secara menyeluruh, objektif dan empirikal tentang fakta ini.

Contohnya, sekolah-sekolah Cina diizinkan beroperasi di negara ini selagi ia mematuhi undang-undang negara. Sekolah-sekolah Cina inilah yang menjadi saluran pemupukan budaya kecinaan, khususnya dalam memelihara bahasa dan budaya mereka. Kerajaan yang ditunjangi UMNO tidak pernah menyekatnya. Orang Cina juga bebas dan paling banyak menubuhkan persatuan-persatuan mereka. Persatuan-persatuan mereka ini lebih mengutamakan usaha menyalurkan bantuan kepada masyarakat mereka sendiri. Kaum Cina di negara ini juga kekal menguasai ekonomi, di samping terlibat aktif dalam politik negara. 'Ketuanan ekonomi' mereka amat terserlah, malah disebabkan penguasaan ekonomi inilah menjadikan kebanyakan bandar-bandar utama di negara ini seolah-olah mengalami proses 'pencinaan'.

Kesimpulannya, sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-55 ini maka seluruh pemimpin sama ada dari parti kerajaan dan pembangkang serta rakyat jelata mensyukuri nikmat perpaduan yang dikecapi selama ini. Semua pihak mesti berusaha memelihara perpaduan dan keharmonian hidup dengan menghormati fasal-fasal yang termaktub dalam perlembagaan berhubung perkara-perkara sensitif yang dilarang untuk disentuh kerana ia boleh mengundang ketegangan kaum. Hayatilah kata-kata Najib ini: "Hanya melalui kekuatan 'roh perpaduan' dapat kita lahirkan semangat patriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah rasa keprihatinan mendalam di antara sesama warga negara".

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails