09 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : IJAZAH PALSU, JALAN MUDAH MAHU CARI REZEKI


Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu, baru-baru ini. Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan. Penipuan itu juga menimbulkan tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah. Mengapa ia berlaku sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar tatasusila serta undang-undang?

Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan. Beliau berkata, jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah ataupun menyediakan institusi palsu. “Malangnya, mereka yang ‘terdesak’ ini tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi memuaskan kehendak hati. Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi kerana kelebihan pada diri,” katanya.

Beliau mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan yang terlalu memilih. Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan sesuatu secara mudah. “Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai. Adanya permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang selain ‘mengotorkan’ nama industri pendidikan,” katanya.  Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.

Memberi contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang ‘palsu’ ini boleh menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga keseluruhannya terutama mahasiswa. “Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa dan memenuhi standard universiti. Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka didik. Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada,” katanya mengakui kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih ketara berlaku di negara luar. Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali. Bagaimanapun, setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat,” katanya.

Katanya, bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana kurang mempunyai badan profesional yang memantau. “Bidang yang mempunyai badan profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal. Yang sering menjadi mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi. Jadi, pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan ‘diceroboh’ mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan. Kami sentiasa peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli profesional sealiran. Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan kesalahan. Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada kelayakan yang tertera pada sekeping kertas,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika disogokkan dengan kelayakan berjela-jela. “Jangan ada sikap ambil mudah dan taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan dengan kelayakan tidak masuk akal. Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat, saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan ijazah atau menjadi graduan palsu,” katanya.

Bahan ini diperoleh dari :
Akhbar Harian Metro,
Isnin, 6 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails