28 Ogos 2012

ISU NEGARA : USAH GUGAT SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Dr Anwar Ridwan
Sasterawan Negara dan
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara. Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit”

Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai, iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang, sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.  Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan. Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.

Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya. Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Rumusan perbincangan meja bulat

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.

Pendidikan tulen atasi tuntutan politik

Akan tetapi ramai masih berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan utama. Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.

Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi sekolah aliran perdana di negara ini.  Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan, agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.  

Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan. Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama pada dekad perkembangan awalnya.  Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
28 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails