30 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : FAHAMI, HAYATI SEPENUHNYA ERTI KEMERDEKAAN


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia


Dalam kita menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-55 esok, adalah amat wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi tumpuan dan perhatian terhadap pengukuhan patriotisme dan perpaduan. Patriotisme dan perpaduan paling penting dalam proses pembinaan negara selain daripada isu ekonomi dan pembangunan sosial. Setiap tahun dalam meraikan Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik melalui pelbagai cara dan pendekatan. Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang merupakan satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Salah satu cara menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen 'Cintai Bendera Kita' di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan.

Bagi generasi warga emas, hari kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang dan menghapuskan cengkaman pihak penjajah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dan berdaulat. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dulu menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan. Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan satu lagi cuti am - di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari kemerdekaan ini. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

Memastikan anak-anak kita menghormati dan mencintai bendera negara adalah penting demi untuk membina generasi rakyat Malaysia akan datang yang berteraskan semangat utuh patriotik dan kebanggaan nasional. Pada masa sama, saya juga perlu menegaskan mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah hanya cara untuk meluahkan semangat patriotik seseorang. Patriotisme datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bersuara demi mempertahankan negara di dalam konteks kepentingan negara, ia adalah satu tindakan yang patriotik. Apabila kita tidak melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta benda awam atau membuang sampah di merata tempat ia boleh dilihat sebagai tindakan patriotik. Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan demi kepentingan dan pembangunan negara. Menjadi Patriotik juga bermakna menyumbang pandangan dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Walaupun hubungan antara kaum di negara ini memuaskan secara umumnya, kita tidak seharusnya mengambil mudah soal hubungan antara kaum dan keharmonian beragama. Perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai dan simbol kepada kemanusiaan sejagat. Ia adalah asas kepada suatu perhubungan, kekeluargaan, masyarakat dan bangsa. Ia juga adalah ikatan yang erat dalam jati diri rakyat Malaysia. Perpaduan seharusnya bermula dari pemikiran, emosi dan kelakuan seorang individu dan ini akan diterjemahkan melalui layanan dan khidmat yang diberikan kepada orang lain. Kebanyakan orang mengambil mudah soal perpaduan. Perkembangan ini tidak sihat untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Usaha berterusan harus digalas oleh seluruh rakyat demi memperkukuhkan perpaduan. Marilah kita melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam membina perpaduan nasional. Kita harus bercakap dalam satu suara yang mewakili suara setiap kaum di Malaysia. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails