17 Ogos 2012

ISU GURU DAN PELAJAR : PECAH GEGENDANG TELINGA DITAMPAR GURU



DUNGUN - Gara-gara mengejek guru, seorang pelajar tingkatan satu pecah gegendang telinga selain turut cedera akibat ditampar beberapa kali oleh guru berkenaan. Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku ketika pelajar terbabit, Muhammad Bazly Burhan, 13, sedang menduduki peperiksaan pentafsiran di salah sebuah sekolah berasrama berdekatan bandar Dungun. Menceritakan kejadian berkenaan, Bazly berkata, detik hitam itu dipercayai berpunca akibat dia mengeluarkan kata-kata ejekan terhadap gurunya menyebabkan guru Bahasa Inggeris itu 'naik minyak' sebelum memanggilnya lalu menarik kedua telinga selain menampar beberapa kali di bahagian pipi pelajar tingkatan satu itu. Katanya, ketika ditampar guru berkenaan, dia tidak melawan, malah meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengguris hati guru tersebut.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang juga mengikuti peperiksaan selain beberapa rakan lain yang berada di luar kelas. Ketika guru itu menampar pipinya, sambil menahan kesakitan, dia beberapa kali memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu namun guru terus menampar pipinya. Tambahnya lagi, telinganya kemudiannya terasa sakit sebelum darah keluar, apabila melihat darah keluar, baru guru itu berhenti menamparnya. Menurut Bazly, selepas kejadian itu dia balik ke asramanya lalu menyapu ubat minyak gamat di tempat lukanya itu. Bazly berkata, kejadian itu tidak diberitahu kepada ibu bapanya sehinggalah ibunya mendapat tahu daripada ibu kepada rakannya yang turut bersekolah di situ mengenai kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.

Sebaik mendapat tahu kejadian tersebut, bapa Bazly, Burhan Abdullah, 46, datang mengambilnya di asrama lalu menghantar anaknya itu untuk mendapat rawatan awal di sebuah klinik swasta dekat Paka. Hasil pemeriksaan doktor, gegendang telinganya didapati telah pecah lalu bapanya membawa Bazly untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rawatan Pakar Kuantan sebelum merujuk semula kesnya ke Hospital Dungun. Kejadian berkenaan turut dilaporkan di Balai Polis Paka Ahad lalu. Sementara itu, bapa Bazly, Burhan yang juga seorang eksekutif di syarikat minyak dan gas berkata, dia kesal dengan kejadian berkenaan, apatah lagi ia berlaku di sebuah sekolah berasrama yang mempunyai tahap moral yang tinggi pada persepsi masyarakat umum. “Selepas kejadian itu, guru sekolah tersebut sepatutnya menghubungi saya, berbincang, kalau perlu memohon maaf, minta maaf. Ini tidak sehingga hari ini, mereka masih membisu, kalau anak rakan isteri saya tidak memberitahu saya, hingga hari ini saya tidak tahu kejadian yang berlaku,” kata Burhan. Burhan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes anaknya itu.

Sumber :
Sinar Harian
17 Ogos 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Kebiadapan pelajar-pelajar sekarang kadang-kadang menghilangkan kesabaran seorang guru. Saya percaya guru tersebut menahan kesabaran dengan pelajar ini sudah sekian lama sehingga berlakunya masalah yang tidak diduga ini. Guru juga manusia yang punya rasa dan perasaan. Kalau sudah setiap hari dihina, diejek, dimaki dan dicaci oleh pelajar sendiri hatipun akan panas. Tahap kesabaran seorang guru pun ada batasannya. Pelajar harus ingat, guru bukannya hamba abdi yang boleh diejek dengan sesuka hati. Biasanya, pelajar-pelajar ini suka menghina guru-guru yang tidak sempurna dari segi fizikal (tidak tampan, tidak cantik). Jika ibu bapa mendidik anak-anak supaya berbudi bahasa sejak kecil lagi dengan orang yang lebih tua (guru mereka), saya percaya kejadian sebegini tidak akan berlaku di sekolah.

Ibu bapa pula langsung tidak menyalahkan anak mereka apabila berhadapan dengan kes sebegini. Yang mereka tahu hanyalah salah guru dan pihak sekolah. Kenakalan dan kebiadapan anak yang berpunca daripada kekhilafan mereka dalam mendidik dan mengasuh langsung tidak dipertimbang. Mereka hanya tahu membawa kes ke mahkamah.  Dalam hal ini, siapakah yang salah dan siapakah yang betul bukan persoalannya. Walaupun jika didapati guru itu bersalah di mahkamah, saya percaya masalah pelajar suka mempersenda guru tanpa rasa segan akan terus berlaku di setiap sekolah kerana mereka percaya jika guru bertindak ke atas mereka, ibu bapa pasti akan mempertahankan mereka sehingga ke mahkamah. Maklumlah, ibu bapa pada masa ini semuanya kaya dan berada. Kesalahan guru merupakan peluang terbaik untuk mereka mengambil tindakan sebegitu. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails