01 Ogos 2012

ISU GLOBAL : HARAPAN KEAMANAN DI BUMI SOMALIA


Teks dan Gambar METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Empat kunci utama Somalia mampu mencapai semula keamanan." Itu yang digariskan oleh Presiden Wilayah Udubland, Ibrahim Abdullah Addo ketika ditanya mengenai harapan untuk melihat bumi Somalia kembali ke landasan keamanan hakiki. Bagi Ibrahim Abdullah, biar dunia melihat Somalia sebagai negara paling tidak selamat, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam mengejar harapan menjadikannya sebagai negara aman dan sejahtera. Untuk itu, jelasnya, Somalia perlu memperkukuhkan kembali sistem politiknya, selain ekonomi dan keselamatan serta ketenteraan. Penglibatan masyarakat antarabangsa, ujar beliau, dalam menghulurkan sokongan dan bantuan menerusi misi kemanusiaan juga mampu menyumbang kepada 'pencarian' harapan berkenaan.

''Konflik bersenjata dan pergolakan yang berlarutan di Somalia selama dua dekad mampu diselesaikan menerusi empat komponen itu. Namun, Somalia yang kaya dengan pelbagai sumber asli, perikanan dan pertanian tidak akan memberi sebarang makna jika pergolakan masih berterusan. ''Tahun ini sahaja beberapa pelabur menyatakan minat untuk mengusahakan pengeluaran gas asli di Somalia. Ini juga tidak akan berjaya jika kita (rakyat Somalia) tidak bersatu. Malaysia sendiri pun 'takut' untuk melabur di sini ekoran faktor keselamatan. Justeru, dengan penglibatan misi kemanusiaan, ia diharap dapat membuka mata kita semua bahawa Somalia perlu kembali mengecap keamanan. ''Malaysia sebagai contoh, tiga tahun lebih awal mencapai kemerdekaan berbanding Somalia. Ia bukanlah jarak yang jauh. Tetapi Malaysia jauh meninggalkan Somalia dan menjadi negara yang makmur. Kita punyai kekuatan tersendiri tetapi tidak akan mencapai kejayaan jika tiada kekuatan politik, ekonomi dan keselamatan," katanya.

Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) baru-baru ini mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara tersebut. Al-Shabab, kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di Somalia bersalah melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan penahanan tanpa usul periksa. Apa yang menyedihkan, keganasan di Mogadishu telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran ekoran kemarau dahsyat yang melanda negara itu sejak tiga tahun. Ibrahim Abdullah memberitahu, dalam mencari kaedah penyelesaian di Somalia, rakyat Somalia sendiri harus bersama bersatu dalam mencari kaedah terbaik menuju keamanan.

Ditanya mengenai peranan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyelesaikan konflik di Somalia, katanya, pertubuhan itu tidak kompeten untuk melakukan perkara tersebut. ''Apa yang mereka boleh lakukan? Mereka tidak kompeten. Sekarang pun banyak isu melanda negara Islam seperti Libya dan Mesir," tambahnya. Kepada soalan tentang perkembangan pendidikan di Somalia, katanya, rakyat Somalia sememangnya dahagakan pendidikan tetapi sistem pendidikan di negara itu tidak mampu untuk berjalan dengan baik kerana kegagalan kerajaan pusat berfungsi dalam mentadbir negara. Sedikit latar mengenai Somalia, tujuh tahun selepas mencapai keamanan pada 1960, ketika berlangsungnya pilihan raya Presiden, Abdirashid Ali Shermarke dilantik menjadi Presiden Somalia yang kedua. Malangnya, beliau dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri.

Justeru, Sheikh Mukhtar Mohamed Hussein kemudiannya dilantik menjadi Presiden sementara. 'Hayat' Sheikh Mukhtar untuk menerajui Somalia tidak berpanjangan apabila Mohamed Siad Barre menjalankan 'operasi' rampasan kuasa pada 21 Oktober 1969. Sungguhpun memerintah secara kuku besi, beliau berjaya membawa Somalia ke tahap tinggi dalam pembangunan negara. Siapa sangka, Somalia ketika era 1970-an turut digeruni lantaran kekuatan dalam bidang ketenteraan di bawah pemerintahan Mohamed Siad. Namun, detik-detik kehancuran Somalia berputik menjelang 1991 tatkala Mohamed Siad dijatuhkan oleh beberapa puak di utara dan selatan. Dan, ketika itu wilayah utara di Somalia bertindak mengisytiharkan kemerdekaan dengan menggunakan nama Somaliland. Ia bagaimanapun tidak mendapat pengiktirafan dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lantaran kekalutan, Somalia diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Peralihan Persekutuan (TFG). Ia bagaimanapun tidak mempunyai 'taring' untuk berkuasa di hampir keseluruhan Somalia apabila wilayah selatannya dikuasai militan Al-Shabab. Memeranjatkan, permusuhan dan perpecahan kalangan rakyat Somalia yang terjadi sekitar 1991 masih berlarutan hingga kini. Segalanya musnah dan Somalia yang satu ketika cukup disegani di kalangan benua Afrika kini bertukar menjadi miskin dan mundur.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 Oktober 2011

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails