23 Julai 2012

ISU UMUM : TOM CRUISE AMAL AJARAN SESAT


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Kes perceraian pelakon terkenal, Tom Cruise dengan Katie Holmes pada 29 Jun lalu, mungkin dianggap kelaziman selebriti Hollywood masa kini. Apatah lagi, dunia hiburan Malaysia juga tidak terkecuali. Setiap bulan ada sahaja pasangan yang berpisah. Jadi mengapa kita perlu peduli pun? Kelainan pada kes TomCat (nama jolokan media terhadap pasangan ini) perpisahan mereka bukan dikaitkan dengan orang ketiga atau kecurangan atau mengguna istilah peguam cerai ‘tiada persefahaman yang boleh diselamatkan lagi’. Sebaliknya, media-media Amerika Syarikat (AS) cenderung mengaitkannya dengan penolakan Katie terhadap kepercayaan Tom yang menjadi pengikut ajaran Church of Scientology atau Gereja Saintologi yang disifatkan oleh majoriti penduduk Kristian di AS sebagai ajaran sesat. Katie dikatakan amat bimbang masa depan anak mereka, Suri yang berusia enam tahun dipengaruhi oleh amalan dan pegangan Cruise yang begitu taksub dengan Scientology. Sekarang, Katie dilaporkan memasang pengawal peribadi, bimbang diganggu pengikut Scientology dan terutama, keselamatan Suri kerana ia juga bermulanya ‘peperangan’ dengan Cruise untuk mendapatkan hak penjagaan.

Menurut The Huffington Post, Cruise memang sudah mencapai status bintang filem semasa pertama kali diperkenalkan kepada Scientology. Dengan filem laris seperti ‘Risky Business’ dan ‘Top Gun’, status selebriti Cruise pantas terbina, menjadikannya sasaran utama untuk direkrut oleh Scientology. Cruise diperkenalkan kepada Scientology pada lewat 1980-an oleh isteri pertamanya, Mimi Rogers menerusi bapanya, Phil Spickler, yang merupakan antara anggota Scientology paling berpengaruh pada tahun-tahun awal penubuhannya. Cruise bercerai dengan Rogers pada Februari 1990 dan kemudian berkahwin dengan Nicole Kidman pada Disember tahun yang sama. Selama bertahun-tahun, kisah Cruise menyertai ajaran sesat Scientology tidak menjadi sensasi sehinggalah detik perceraiannya dengan Kidman pada 2011. Kidman dilaporkan tidak pernah menyokong Scientology dan banyak pihak mendakwa pegawai-pegawai gereja tersebut memanipulasikan Cruise supaya menamatkan perkahwinannya dengan pelakon tinggi lampai itu.

Hari ini, Cruise adalah pelakon Hollywood berpendapatan paling tinggi, sekali gus menjadi ikon kepada Scientology, serta dikatakan menduduki jawatan kedua tertinggi dibawah pemimpin gereja sekarang, David Miscavige. Menurut laporan RadarOnline, Cruise ‘memeluk agama’ Scientology selepas beberapa kaedah yang diguna oleh gereja tersebut membantunya mengatasi penyakit dyslexia yang dihadapinya. Seorang bekas anggota Scientologis selama 27 tahun dan kini berusaha mendedahkan kepincangan ajaran tersebut, Nancy Many berkata, Cruise telah diberi layanan istimewa bagi memastikan dia benar-benar terpengaruh. ‘‘Cruise menghadapi masalah untuk membaca. Maka semasa sesi membaca, anggota gereja tidak membiarkannya seorang diri tetapi dipasangkan dengan seseorang bagi membantunya memahami buku ajaran," kata Many. Agama baru Cruise ini menjadi tajuk berita utama pada Januari 2004, setelah dia mengakui secara terbuka mengenainya. Sejak itu, dia menjadi jurucakap dan daya tarikan kepada pencari tuhan baru, malah menjadi tanda tanya apakah Cruise telah menerima jawatan pemimpin dalam gereja tersebut. Perkara itu dinafikan oleh peguamnya.

Scientology diterima sebagai sebuah pergerakan agama di Amerika Syarikat. Dilabel sebagai agama paling kontroversi, tidak difahami dan paling kritikal, suatu ajaran sesat. Ia dikatakan berakar umbi daripada elemen yang dicedok dari Buddha, Hindu dan sebilangan besar ahli falsafah Barat, termasuk aspek-aspek tertentu Kristian. Menurut kajian majalah Rolling Stones, pengikut Scientology, sama seperti Mormons atau evangelicals Kristian, menganggap diri mereka sedang melakukan suatu misi ketuhanan. Mereka kerap menuturkan ‘mahu membantu manusia’ dan misi tersebut ditekankan dalam sebilangan besar prinsip gereja tersebut. ‘‘Pengikut Scientology melihat diri mereka sebagai pemegang doktrin dan kemahiran yang boleh menyelamatkan dunia, mungkin alam semesta juga," kata Stephen Kent, profesor sosiologi di Universiti Alberta, di Kanada, yang telah mengkaji secara mendalam ajaran tersebut. Scientology diasaskan oleh seorang penulis kisah fiksyen sains, L. Ron Hubbard pada 1953. Hari ini, pegawai gereja tersebut mendakwa pengikut Scientology telah tumbuh lebih pesat dalam tempoh lima tahun lalu berbanding 50 tahun lalu. Menurut majalah Rolling Stones, beberapa bukti, menunjukkan dakwaan itu tidak benar.

Pada 2001, satu kaji selidik oleh City University of New York mendapati hanya 55,000 orang di Amerika Syarikat yang mengaku memeluk agama Scientology. Di peringkat global, terdapat pengkaji meletakkan anggaran wajar pengikut Scientology sekitar 100,000 dan 200,000 orang, kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Afrika Selatan dan Australia. Mengikut senarai orang yang menamatkan kursus induksi gereja (yang dicatat dalam penerbitan gereja itu sendiri dan juga di Internet) hanya 6,126 orang mendaftar di pusat agama pertubuhan itu di Clearwater, Florida pada 2004, jauh menurun berbanding 11,210 orang pada 1989. Angka tersebut, dianggap oleh pengkaji menunjukkan sambutan terhadap Scientology, kian menurun. Usaha Rolling Stones untuk menyiasat lebih mendalam tidak mendapat kerjasama langsung daripada gereja Scientology yang lebih suka menutup pintu kepada media. Gereja itu juga memiliki reputasi cenderung untuk memulas tangan pengkritik menerusi tindakan saman mahkamah, malah terdapat juga kes ancaman fizikal, kata Rolling Stones yang melakukan laporan penyiasatan selama sembilan bulan terhadap Scientology.

Selebriti-selebriti Hollywood sememangnya menjadi sasaran untuk direkrut oleh Scientology, disebabkan faktor yang sememangnya diketahui umum. Keterampilan dan aura selebriti memudahkan sesuatu produk dijual kepada orang ramai. Dalam konteks ini, produk yang dijual oleh Scientology adalah suatu ajaran kerohanian ciptaan penulis fiksyen sains. Antara selebriti Hollywood lain yang diakui oleh Scientology sebagai pengikut mereka ialah John Travolta dan isterinya, Kelly Preston, Giovanni Ribisi, Lisa Marie Presley, Juliette Lewis, Erika Christensen,Bijou Phillips, Elisabeth Moss Kirstie Alley. Kebanyakan mereka dididik dengan agama Kristian oleh ibu bapa masing-masing tetapi memilih ajaran baru ini setelah dewasa. Agaknya, setelah mengecap kemasyhuran dan kemewahan, ada kalangan selebriti ini hilang punca untuk mencari pegangan hidup, lalu mendakap apa sahaja yang disuakan kepada mereka. Cruise dan rakan selebriti seangkatannya tidak bercakap mengenai agama mereka secara kerap dan terbuka. Trend yang dipegang ialah ‘agamaku, hal peribadi ku’. Tidaklah dipastikan sejauh mana ada kebaikan daripada prinsip seumpamanya. Atau apakah ia lebih baik berbanding selebriti yang melaungkan diri mahu kembali kepada agama tetapi berbuat demikian dengan parti politik, walhal lebih afdal untuk mereka sertai badan agama.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Mingguan Malaysia
22 Julai 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails