29 Julai 2012

ISU GLOBAL : DUNIA BERADA DI BANYAK PERSIMPANGAN


Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD


Pada 28 Julai 2012, majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya. Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan. Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan. Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.

Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit. Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini. Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.

Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami alam. Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland. Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik. Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).

Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran. Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini. Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu. Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.

Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia. Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan. Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut China Selatan. Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.

Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina. Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua belah pihak. Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya. Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China. Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,

Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri. Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya. Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka. Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.

Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan. Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya. Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad. Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika. Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.

Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan. Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru. Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails