19 Jun 2012

STPM BAHASA MELAYU BAHARU : PEMIKIRAN KRITIS DAN ANALITIS SKEMA JAWAPAN DAN SKEMA PEMARKAHAN

Sejak diperkenalkan Sukatan Pelajaran Baharu Bahasa Melayu STPM, para guru dan pelajar menghadapi kemusykilan mengenai skema jawapan dan skema pemarkahan Bahagian B. Jadi, atas usaha sendiri saya telah mengubah satu skema jawapan dan skema pemarkahan bahagian ini sebagai panduan bersama. Format yang diberikan ini bukanlah yang sebenar tetapi saya rasa format ini boleh digunapakai untuk sementara waktu sehingga pihak MPM mengeluarkan format penyemakan yang sebenar. Komen dan pandangan amatlah dialu-alukan daripada para guru sekalian.


Bahagian B
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.                  
[30 markah]


Tahukah anda bahawa kanak-kanak ketawa sebanyak 300 hingga 400 kali dalam sehari, berbanding orang dewasa yang hanya ketawa sebanyak 10 hingga 15 kali sehari? Ketawa dikatakan sangat penting dalam kehidupan. Ungkapan ‘jangan marah, nanti cepat tua’ ada benarnya dari sudut saintifik. Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di luar negara mendapati bahawa ketawa boleh membuatkan seseorang lebih sihat. Ketawa berdekah-dekah dalam jangka masa tertentu boleh diibaratkan seperti melakukan jogging pada bahagian dalaman tubuh.

Ketawa menyebabkan jantung mengepam dengan lebih pantas. Keadaan ini memaksa lebih banyak oksigen diangkut dan sekali gus merangsang pengaliran darah. Selain itu, ketawa juga mengaktifkan kelenjar hipotalamus, pituitary, dan adrenal yang akan menambahkan pengeluaran endorfin. Endorfin ialah bahan kimia yang dirembes ke dalam darah yang menimbulkan rasa selesa dan menyenangkan. Ekoran daripada itu, tubuh dan otak kita berada dalam keadaan rehat.

Humor dan jenaka sebenarnya memberikan kesegaran dan kegembiraan kepada kehidupan. Ketawa sebagai kesan daripada humor dan jenaka menjadi pencetus keadaan fizikal, emosi, dan spiritual yang lebih baik. Keadaan ini menjadikan kita lebih bersemangat, fleksibel, kreatif, dan berdaya saing.

Sense of humour adalah antara kemahiran yang penting untuk seseorang individu itu diterima dalam sesuatu kumpulan. Kebolehan untuk membuat orang lain tersenyum dan ketawa merupakan nilai penting bagi kanak-kanak. Kebolehan ini membantunya meningkatkan kerjasama dengan ibu bapa, guru, dan kanak-kanak yang lain. Apa yang pasti, terdapat banyak bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ketawa dan humor membantu kanak-kanak membina keupayaan untuk mengingat dan belajar.

Bagaimanapun, banyak orang percaya bahawa tidak semua manusia dilahirkan dengan sikap pandai bergurau dan berjenaka. Keadaan tersebut tidak seratus peratus benar. Ini kerana pesekitaran memainkan peranan dalam pembentukan peribadi kanak-kanak tersebut. Tanda awal sikap sense of humor ialah apabila seseorang bayi tersenyum dan ketawa. Bayi akan tersenyum setelah dua hingga tiga minggu dilahirkan. Namun demikian, bayi hanya boleh ketawa setelah berusia hampir tiga bulan.

Jelaskan maksud frasa

1. (a)  … seperti melakukan jogging pada bahagian dalaman tubuh                                                                   
[2 markah]
1. (b)  … memberikan kesegaran dan kegembiraan kepada kehidupan                                                                        
[2 markah]

2. Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas?                                               
[6 markah]

3. Sense of humour adalah antara kemahiran yang penting untuk seseorang individu itu diterima dalam sesuatu kumpulan

Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.
[20 markah]

SKEMA JAWAPAN DAN SKEMA PEMARKAHAN

1. Jelaskan maksud frasa

(a). seperti melakukan jogging pada bahagian dalaman tubuh.
[2 markah]

JAWAPAN                                                                                  
Frasa “seperti melakukan jogging pada bahagian dalaman tubuh” bermaksud ketawa merupakan sebahagian daripada senaman yang baik untuk kesihatan seseorang kerana dengan ketawa tubuh kita akan bergerak dan bergetar.        

PANDUAN PEMARKAHAN
Jawapan yang betul dan tepat tanpa (2 markah)
Kurang tepat tetapi masih betul (1 markah)
Kesalahan bahasa hendaklah ditanda tetapi tidak diambil kira memberikan markah.

(b) memberikan kesegaran dan kegembiraan kepada kehidupan                                                                               
[2 markah]

JAWAPAN
Frasa “memberikan kesegaran dan kegembiraan kepada kehidupan” bermaksud hidup seseorang akan menjadi lebih bahagia, gembira dan sejahtera jika selalu berjenaka kerana jenaka atau homur akan menyebabkan kita ketawa dan hilang segala masalah dan tekanan yang dihadapi    

PANDUAN PEMARKAHAN
Jawapan yang betul dan tepat tanpa (2 markah)
Kurang tepat tetapi masih betul (1 markah)
Kesalahan bahasa hendaklah ditanda tetapi tidak diambil kira memberikan markah.

2. Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas?                       
                                                                                                                                                   
[6 markah]       
JAWAPAN 
Mesej yang mahu disampaikan oleh penulis melalui petikan ialah ketawa penting dalam hidup seseorang. (1 markah) Selain itu, terdapat juga mesej lain iaitu ketawa merupakan suatu senaman yang baik untuk kesihatan badan. (1 markah) Seterusnya, humor dan jenaka menjadikan hidup kita lebih bahagia dan bermakna. (1 markah) Di samping itu, mesej yang tidak boleh dikesampingkan ialah ketawa dan jenaka memberikan kesegaran dan kegembiraan dalam kehidupan seseorang. (1 markah) Tambahan lagi, keadaan ini menjadikan kita lebih bersemangat, fleksibel, kreatif, dan berdaya saing. (1 markah) Selanjutnya, orang yang mempunyai nilai “Sense of humour” mudah diterima dalam sesuatu kumpulan. (1 markah) 

PANDUAN PEMARKAHAN

Pelajar harus memberikan sekurang-kurangnya 6 isi yang terdapat dalam petikan. I isi bersamaan dengan 1 markah. 

Pemotongan markah untuk kesalahan bahasa. 1 markah untuk kesalahan sederhana dan 2 markah untuk kesalahan teruk.

3. Sense of humour adalah antara kemahiran yang penting untuk seseorang individu itu diterima dalam sesuatu kumpulan.

Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.
                                         [20 markah]          

JAWAPAN

Tedapat pelbagai bukti yang boleh dikemukakan bahawa “Sense of humour” adalah antara kemahiran yang penting untuk seseorang individu itu diterima dalam sesuatu kumpulan.

Pada pendapat saya, individu sebegini mudah mendapat kawan kerana senang didamping oleh orang lain. Mereka mudah mesra dan kehadiran mereka disisi boleh menghilangkan segala resah dan masalah yang melanda kehidupan kita.

Seterusnya, orang sebegini akan sentiasa menceriakan suasana dan senang diajak berbincang. Kita sentiasa tertarik untuk memberikan perhatian terhadap buah fikiran yang disampaikan kerana selalu disulami dengan lawak dan jenaka.

Selanjutnya, mereka dapat melepaskan diri daripada sebarang tekanan atau masalah kerana mereka sentiasa bahagia dan gembira dalam menjalani kehidupan.

Orang yang mempunyai nilai Sense of Humour ini sentiasa dilantik menjadi pemimpin memandangkan mereka senang dikenali oleh orang lain. Orang beranggapan adalah lebih senang untuk bekerjasama dengan mereka.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kemahiran Sense of Humour ini akan memudahkan kita mengingati sesuatu fakta yang dipelajari. Suasana pembelajaran yang santai menjadikan pengajaran lebih bermakna dan mendatangkan hasil.

    (155 patah perkataan)      

PANDUAN PEMARKAHAN

Pelajar harus memberikan 5 isi.
1 isi bersamaan 2 markah.
10 markah lagi adalah untuk bahasa.
Kesalahan bahasa dinilai dari aspek kesalahan sintaksis.

Kesalahan sintaksis
1 – 4 = 8 – 10 markah
5 – 7 = 5 – 7 markah
8 ke atas = 1 – 4 markah

Pemerengganan jawapan bergantung kepada pelajar. 
Seboleh-bolehnya janganlah 1 perenggan sahaja. 

PERINGATAN PENTING
Panduan ini bukan muktamat sebab panduan ini dibuat untuk kegunaan dalaman sahaja. Perkongsian ini dibuat kerana banyak pertanyaan mengenai cara menyediakan skema jawapan dan skema pemarkahan untuk bahagian ini. Harap maklum. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails