JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Jun 2012

ISU SOSIAL : KE ARAH KUALITI HIDUP YANG LEBIH TINGGI REALISASIKAN WAWASAN 2020


Rencana ini ditulis oleh :
DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  

Laporan Kualiti Hidup Malaysia 2011 telah dikeluarkan pada 11 Jun 2012 lepas. Laporan dari Unit Perancang Ekonomi ini boleh dijadikan kayu ukur kepada pencapaian negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Komponen kualiti hidup yang diambil kira mencakupi aspek pendidikan, pengangkutan dan komunikasi, perumahan, kebudayaan dan liburan, pendapatan dan agihan, keselamatan awam, kesihatan, penyertaan sosial, alam sekitar, kehidupan keluarga dan persekitaran kerja. Berbanding dengan kualiti hidup pada tahun 2000 (tahun rujukan), kualiti hidup pada 2010 telah meningkat sebanyak 11.9 peratus berdasarkan indeks kualiti hidup. Rakyat Malaysia mengecapi peningkatan kualiti tertinggi dalam komponen pendidikan dengan peningkatan sub-indeks sebanyak 20.4 peratus.

Komponen pengangkutan dan komunikasi menunjukkan peningkatan kualiti kedua tertinggi dan diikuti oleh peningkatan kualiti perumahan. Meskipun begitu, masih banyak penambahbaikan perlu kita lakukan bersama dalam menjadikan Malaysia tempat kediaman yang berkualiti tinggi. Daripada laporan yang dikeluarkan, didapati kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan peningkatan terendah dari keseluruhan komponen yang disebutkan di atas. Sub-indeks bagi komponen persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan nilai indeks yang sama iaitu pada 104.6 mata. Dalam kata lain, kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga di Malaysia hanya meningkat sebanyak 4.6 peratus dalam tempoh 10 tahun. Kedua-dua komponen ini sangat kritikal dalam menjamin mutu hidup seseorang. Ini kerana masa kita banyak diperuntukkan di tempat kerja dan setelah penat bekerja, kita pulang ke rumah untuk beristirehat.

Namun, jika kedua-dua komponen ini hanya menunjukkan peningkatan yang sedikit (terendah daripada kesemua komponen), setiap kita perlu berganding bahu bagi memastikan persekitaran kerja lebih kondusif dan suasana kekeluargaan di rumah lebih bermutu. Peningkatan kualiti persekitaran kerja di Malaysia dinilai dari penurunan jumlah kemalangan perusahaan (95,006 kes pada tahun 2000 kepada 60,405 kes pada 2010), penurunan pertikaian perusahaan (436 kes kepada 344) dan penurunan jumlah kehilangan hari bekerja kerana tindakan perusahaan. Namun, sub-indeks persekitaran kerja sedikit terjejas dengan peningkatan kadar pengangguran dari 3 peratus pada tahun 2000 kepada 3.4 peratus pada 2010. Bagi memperbaiki persekitaran kerja, isu keselamatan di tempat kerja perlu menjadi keutamaan di samping keperluan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baru bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Peningkatan sebanyak 4.6 peratus bagi sub-indeks kehidupan keluarga pula didorong oleh pengurangan jenayah juvana (0.12 peratus pada tahun 2000 kepada 0.06 peratus pada 2010) dan peningkatan pendapatan purata isi rumah di Malaysia (daripada RM2,640 pada tahun 2000 kepada RM4,206 pada 2010). Bagaimanapun, peningkatan sub-indeks kehidupan keluarga menjadi sederhana oleh bertambahnya peratusan kes perceraian. Kadar perceraian mencatat peningkatan daripada 0.13 peratus pada tahun 2000 kepada 0.22 pada 2010. Sub-indeks alam sekitar turut mencatatkan peningkatan sederhana iaitu sebanyak 6.6 peratus dalam tempoh sedekad. Kualiti alam sekitar di Malaysia adalah sederhana berikutan masalah jerebu yang serius.Di samping itu, isu pencemaran sungai turut perlu diambil perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti alam sekitar negara.

Dapat dirumuskan di sini bahawa bagi ketiga-tiga komponen yang mencatatkan peningkatan terendah iaitu kualiti alam sekitar (6.6 peratus), persekitaran kerja (4.6 peratus) dan kehidupan keluarga (4.6 peratus), semuanya melibatkan sikap dan nilai sivik rakyat Malaysia. Ia menggambarkan kadar progres transformasi mentaliti dan minda kita semua. Hanya dengan mengamalkan akhlak dan nilai sivik yang tinggi, ketiga-tiga komponen ini akan mendapat lonjakan yang besar.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Jun 2012

Tiada ulasan: