21 Mei 2012

ISU UMUM : BINA KEKAYAAN BARU MELALUI ANGKASA


Rencana ini ditulis oleh :
NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


Malaysia mula mengorak langkah serius dalam arena aeroangkasa pada tahun 1997 menerusi pembentukan Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia. Ketika itu, pelan yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tidak rasminya menggariskan harapan sektor tersebut mampu memacu pertumbuhan bidang sosial dan ekonomi negara ke peringkat lebih baik. Rentetan inisiatif berkenaan, sebuah syarikat yang menjurus ke arah teras penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang sains angkasa, Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) telah ditubuhkan. ATSB secara asasnya berperanan membawa Malaysia menyertai persaingan dalam industri teknologi angkasa global menerusi pelaksanaan aktiviti seperti mereka bentuk dan merangka sistem satelit berteknologi tinggi.

Kejayaan satu-satunya syarikat tempatan yang terlibat secara langsung dalam industri itu terbukti apabila satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1 dilancarkan pada tahun 2006. Tidak menunggu lama untuk terus mengatur langkah cemerlang memacu industri satelit dan angkasa negara secara lebih konsisten, ATSB pada tahun 2009 melancarkan pula satelit remote sensing dikenali RazakSAT. Selepas 15 tahun, ATSB hari ini perlu berbangga dengan pencapaian serta kepakaran yang dimiliki mereka sehingga mampu melaksanakan pembangunan bidang aeroangkasa secara bersepadu. Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, teknologi satelit dan angkasa di Malaysia telah mencapai peringkat matang. ‘‘Tanpa disedari, kita sebenarnya telah menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Ia termasuk aktiviti menonton siaran televisyen secara langsung, berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan mengaplikasi peranti navigasi perjalanan, semuanya dibantu oleh teknologi satelit.

‘‘Bagaimanapun, daripada segi pendedahan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih berada di peringkat permulaaan,’’ katanya ketika di temui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini. Ini kerana menurutnya, rakyat masih menganggap teknologi angkasa sebagai industri yang mahal tanpa melihat faedah yang ditawarkan kepada orang ramai. Faedah yang dimaksudkan adalah termasuk membantu operasi pemantauan remote sensing untuk jangkaan cuaca lebih tepat, kejadian hujan, kemarau dan banjir. Ini kerana, dengan adanya data-data yang dibekalkan oleh satelit, ia dapat membantu perjalanan aktiviti seperti pertanian sekali gus memberi manfaat kepada para petani. Bagi menyemarakkan aktiviti R&D pula, Ahmad Sabirin berkata, Malaysia belum meletakkan komitmen yang besar daripada segi dana untuk memperluas teknologi angkasa.

Tidak seperti negara-negara yang komited dengan pembangunan industri tersebut seperti Amerika Syarikat (AS), India, Korea Selatan, China dan Jepun yang sanggup melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun untuk tujuan R&D. ‘‘Kekangan dana bagi tujuan R&D seperti inilah yang menyebabkan ATSB sukar untuk memperluaskan aktiviti penyelidikan. Di samping itu, dalam usaha memastikan industri ini terus dijana secara proaktif, kita perlu meletakkan hala tuju yang jelas bermula sekarang demi memastikan Malaysia mempunyai produk teknologi angkasa yang unggul dalam masa 30 tahun akan datang,’’ katanya. Dalam perkembangan sama, ATSAB juga ada menjalankan kerjasama pintar dengan universiti-universiti tempatan dalam bentuk R&D dan keusahawan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usahawan teknologi bermula dari peringkat awal pengajian.

Antara universiti terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). ‘‘Kita ada mengambil pelajar dan graduan daripada universiti-universiti ini untuk menjalankan R&D secara maya di mana pihak universiti akan menggaji mereka untuk melakukan penyelidikan manakala ATSB pula menjalankan urusan pengkomersialan. Menerusi cara itu, kedua-dua pihak akan dapat memperoleh keuntungan secara bersama,’’ katanya. Menurut Ahmad Sabirin lagi, modul pengajian universiti sekarang perlu diubah dengan menerapkan nilai serta atmosfera seperti dalam industri sebenar demi merealisasikan fokus pembangunan bidang tersebut.

Bagi tujuan sama juga, ATSB turut menyokong program yang dilaksanakan TalentCorp Malaysia untuk memanggil pakar-pakar tempatan dalam bidang teknologi yang berkhidmat di luar negara untuk kembali semula ke negara ini dengan syarat mereka perlu disediakan dengan program pembangunan yang jelas. Melihat ATSB untuk jangka masa 10 tahun akan datang, Ahmad Sabirin berkata, organisasi itu bukan bakal sahaja bersaing di peringkat Asia tetapi juga dunia melalui medium perkongsian pintar serta perniagaan strategik bersama rangkaian syarikat-syarikat global. ATSB turut akan memberi tumpuan terhadap pembangunan sub sistem dalam teknologi angkasa merangkumi sistem komunikasi, navigasi, perkakasan dan perisian berbanding pembinaan satelit yang memakan masa terlalu lama.

‘‘Jika kita ingin maju pada tahun 2020, kita perlu mengorak langkah menjana teknologi angkasa ini sebagai sumber kekayaan baru dengan memberi fokus terhadap transformasi perniagaan serta mengubah pemikiran tradisi kepada yang baru. Komitmen daripada pihak kerajaan daripada segi dana dan kesinambungan aktiviti R&D juga mampu menyediakan masa depan yang cerah untuk sektor ini sekali gus memberi pulangan ekonomi cukup lumayan kepada negara,’’ ujarnya. Dengan segala kesungguhan yang ditunjukkan, ATSB kini berada pada posisi paling hadapan dalam persaingan inovasi teknologi satelit dan angkasa diikuti rapat oleh syarikat-syarikat dari negara Thailand dan Vietnam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails