02 Mei 2012

ISU SOSIAL : PULANGKAN NAYATI KE PANGKUAN KELUARGANYA


Oleh Fauziah Arof


Satu lagi berita kehilangan kanak-kanak dilaporkan pada 27 April lalu. Nayati Shamelin Moodliar, warga negara Belanda yang berusia 12 tahun dipercayai diculik pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan ke sekolahnya berhampiran Mont Kiara International School (MKIS), di ibu negara. Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki ini, memakai uniform sekolah, iaitu berkemeja T Polo dan berseluar hijau. Dia dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri kira-kira 300 meter dari rumahnya. Semoga kehilangan yang kali ini berkesudahan dengan berita gembira. Kita berharap agar anak kecil ini akan dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Berita mengenai Nayati tersebar luas beberapa jam selepas kehilangannya di Facebook, Twitter dan Youtube di seluruh negara. Sistem amaran awal bagi kehilangan kanak-kanak atau NUR Alert (National Urgent Response Alert) turut menyebarkan berita kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, pengendali khidmat selular turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pelanggan- pelanggannya. Risalah-risalah juga diagih dan ditampal di tempat-tempat awam termasuk di beberapa buah tol. Rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan peringkat umur bersama-sama berusaha untuk mengesan ke mana perginya Nayati dan pada masa sama juga mendoakan keselamatan kanak-kanak itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan dirinya sebagai seorang bapa, turut merayu di dalam Twitternya agar Nayati tidak diapa-apakan dan meminta orang ramai supaya memperluaskan pencarian kanak-kanak malang berkenaan melalui media sosial. Semoga kehilangan Nayati tidak lama. Kita berharap agar anak kecil ini yang amat berharga sekali kepada ibu bapanya diberi peluang untuk bersama keluarganya semula.

Kehilangan Nayati mengusik lagi kerisauan kita. Betapa ibu bapa perlu sentiasa lebih berhati-hati dengan persekitaran kita. Penjenayah di luar sana sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk melakukannya. Soal aspek keselamatan, kekerapan pihak polis melakukan rondaan, betapa perlunya pihak sekolah mengadakan ceramah mengenai bagaimana anak-anak menghadapi situasi seperti ini, turut disentuh semula bila berlaku saja kejadian seperti ini. Tidak perlulah kita menuding jari siapa yang perlu buat kerja lebih untuk menangani jenayah culik kanak-kanak ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama, sebagai pelindung kepada mereka. Rakyat Malaysia telah menunjukkan betapa kita semuanya bersatu dalam menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak ini. Apa yang penting semangat seperti ini ada dalam diri kita semua dalam menangani jenayah penculikan kanak-kanak ini.

Sikap peka dan mengambil berat setiap lapisan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita, jauh lebih baik daripada mengharapkan kekerapan pihak berkuasa melakukan rondaan. Tiada salahnya, bertanyakan dan menemankan kanak-kanak yang berjalan berseorangan di mana-mana jua, sampai ke tempat yang ditujunya. Tragedi yang menimpa beberapa kanak- kanak yang diculik sebelum ini sudah terlalu pahit untuk kita semua menerimanya. Episod-episod sedih itu amat menyentuh sanubari kemanusiaan kita semua. Dan kita juga mengetahui, masih ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang hilang di negara ini belum ditemui. Namun, ibu bapa mangsa yang terlibat terus berdoa dan menaruh harapan yang menggunung agar anak mereka dipulangkan jua satu masa nanti. Semoga dengan penyebaran maklumat yang menyeluruh ini Nayati dapat segera dikesan dan ditemui dengan keadaan selamat serta dapat menjalani semula kehidupannya seperti kanak-kanak lain. Dan semoga ibu bapa Nayati dan ahli keluarganya diberikan lebih kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 MEI 2012


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails