31 Mei 2012

ISU SOSIAL : APABILA MUSIM CUTI SEKOLAH, KEMALANGAN JALAN RAYA PUN MENINGKAT


Rencana ini ditulis oleh :
M JASNI MAJED


Biasanya, pada musim cuti sekolah begini, pergerakan kenderaan bertambah tidak kira sama ada di lebuh raya mahupun di jalan-jalan biasa. Ramai antara kita menjadi sibuk dengan pelbagai urusan dan menggunakan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana. Pada musim cuti beginilah, ramai yang mengambil kesempatan membawa keluarga makan angin. Tidak kurang pula yang bergerak jauh untuk menghadiri majlis kenduri-kendara. Selebihnya pulang ke kampung halaman untuk bertemu ayah bonda dan sanak-saudara. Oleh sebab sikap orang kita yang sudah hendak berkongsi kenderaan, maka bilangan kenderaan di jalan raya pun bertambah. Dalam sebuah rumah pun, kalau hendak balik kampung, belum tentu boleh balik dalam kenderaan yang sama. Anak-anak yang sudah besar panjang tidak mahu menumpang kereta ibu bapa kerana sudah ada kereta sendiri. Kesibukan kerja malah pelbagai alasan lain diberikan untuk tidak balik bersama dan sudahnya jalan sesak oleh kenderaan.

Selalunya, pada musim cuti sekolah begini, statistik kemalangan dan kematian di jalan raya makin meningkat. Jika pada hari-hari biasa, purata kematian di jalan raya selalunya tidak sampai 15 orang, tetapi pada musim cuti sekolah, angkanya meningkat mencecah 18 atau 20 kematian sehari. Usaha untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya tidak semestinya diletakkan seratus-peratus di bahu pihak berkuasa untuk menanganinya. Individu atau pengguna jalan raya mesti memainkan peranan penting memastikan kemalangan dapat dikurang atau dielakkan. Perancangan yang rapi sebelum memulakan perjalanan perlu dilakukan demi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat. Persediaan dari segi mental dan fizikal mesti diutamakan kerana dengan mengabaikan dua aspek ini, kemalangan mudah berlaku.

Oleh sebab ramai yang menganggap sikap kita sebagai orang Timur hilang ketika kita berada di jalan raya, sikap ini perlu diubah supaya imej kita sebagai orang Timur kekal sebagai sebagai masyarakat yang bersopan santun apatah lagi di jalan raya. Untuk bersopan-santun di jalan raya bukanlah susah. Jika kita mengikut semua peraturan yang ditetapkan, ini bermakna kita sudah dianggap telah bersopan-santun. Malah tindakan kita itu disenangi oleh pihak lain dan yang pentingnya tidak menyusahkan diri dan orang lain. Sementara itu, untuk memperlengkap sikap sopan-santun ini, kita juga mesti membuang segala tindakan negatif di jalan raya seperti terburu-buru, mementingkan diri sendiri dan bongkak.

Bagi kenderaan awam seperti bas ekspres dan juga teksi, tanggungjawab pemandu sangat berat kerana keselamatan ramai penumpang berada di tangan mereka. Syarikat-syarikat bas tidak semestinya memikirkan keuntungan semata-mata kerana sikap ini selalunya membawa kesan negatif seperti kemalangan dan kematian. Sejarah membuktikan betapa insiden-insiden yang pernah berlaku membabitkan bas ekspres di negara kita sangat menyayat hati kerana mengorbankan banyak jiwa dalam sekelip mata. Bagi bas yang melakukan perjalanan jauh, pemandu kedua mesti disediakan dan waktu rehat yang secukupnya mesti diberikan kepada mereka sebelum melakukan tugas. Malah, bagi meringankan tugas pihak berkuasa dalam menangani kemalangan dan kematian di jalan raya, sudah sewajarnya pengguna jalan raya memikirkan sendiri kesan-kesan negatif kemalangan di jalan raya. Selain kematian, mereka mesti memikirkan kesan-kesan jangka panjang ke atas diri dan juga keluarga mereka.

Bagi yang mengalami kecederaan kekal, sesalan akan dirasai dalam jangka masa yang panjang. Jika begini keadaannya, masa yang sudah berlalu tidak boleh ditarik balik. Pepatah ada mengatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya, sikap berhati-hati sangat penting demi memastikan keselamatan diri dan orang lain. Orang tua-tua selalu berpesan, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails