17 Mei 2012

ISU KEWANGAN : NILAI MAKLUMAT RAHSIA PERBANKAN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Sejajar dengan perkembangan teknologi moden, sistem perbankan negara dan dunia kini bergerak ke arah aplikasi digital bagi memudahkan urusan pelanggan. Secara positif, langkah ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan kertas dan meringkaskan proses dokumentasi rekod, malahan mempercepatkan lagi urusan aliran tunai. Umum juga sedar teknologi moden turut mendedahkan pelanggan bank kepada risiko pencurian identiti mahupun mencuri duit di dalam akaun yang semakin kerap dilaporkan media dari hari ke hari. Dari segi kewangan, kebanyakan simpanan dan pelaburan pelanggan bank-bank dan institusi kewangan dilindungi dan kebiasaannya wang yang hilang akan dipulangkan jika bukan atas kesalahan pelanggan. Bagaimanapun, timbul pula persoalan tentang rekod kewangan dan maklumat pelanggan yang sepatutnya menjadi rahsia sulit antara pemilik akaun dan pegawai bank sahaja.

Pembangunan sistem komunikasi moden telah membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan besar secara mudah dengan mengumpul dan menjual maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran, walaupun cuma nombor telefon dan alamat e-mel. Beberapa tahun lalu, timbul isu pihak tertentu menjalankan urus niaga menjual maklumat kewangan individu milik orang awam di negara ini dan menjualnya kepada bank-bank kononnya untuk memudahkan penilaian permohonan pinjaman mereka. Walaupun lebih kerap melibatkan orang persendirian, baru-baru ini maklumat kewangan beberapa individu berprofil tinggi pula didedahkan kepada umum oleh pihak dengan agenda politik, melibatkan perincian aliran tunai dan pegangan milik peribadi dan juga syarikat. Sekali lagi timbul persoalan, bagaimana maklumat sulit pelanggan yang disimpan oleh pihak bank dan institusi kewangan begitu mudah disalin dan diperoleh pihak luar tanpa kebenaran, sama ada secara digital mahupun hitam putih?

Bukankah ini pelanggaran kepercayaan serta amanah pelanggan dan pencabulan privasi mereka? Bagaimana pula dengan tanggungjawab yang perlu dipikul pihak perbankan dan pegawainya dalam kes sebegini terutamanya jika sistem perlindungan yang disediakan begitu mudah diceroboh? Walaupun adanya saluran dan sistem perundangan seperti Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Perbankan Islam serta Biro Perantaraan Kewangan (BPK) dan Biro Pengantaraan Perbankan (BPP), kebimbangan umum masih berlegar apabila kes serupa berterusan dilaporkan media massa. Tanpa penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap institusi dan kakitangannya yang terlibat dengan kebocoran maklumat sulit ini, orang ramai mungkin akan hilang kepercayaan untuk melabur mahupun berurus niaga dengan bank-bank di negara ini kelak.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz menjelaskan, setiap pelanggan perbankan dilindungi dari segi hak asasi dan hak privasi. “Sebarang kebocoran maklumat tanpa kebenaran adalah pelanggaran hak pengguna yang serius dan pelanggan berhak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya. Negara kita juga mempunyai kawalan melalui akta-akta khusus untuk melindungi pengguna termasuk dalam aspek maklumat peribadi," katanya. Menurutnya lagi, Bank Negara dan Kementerian Kewangan juga boleh memantau mahupun menyiasat institusi kewangan terbabit tetapi terhad kepada tahap tertentu dan banyak bergantung kepada komitmen pegawai dan institusi kewangan itu sendiri.

Beliau memaklumkan, perbuatan membocorkan maklumat peribadi kewangan tanpa kebenaran melibatkan kes sivil dan undang-undang peribadi yang boleh dibawa terus ke mahkamah. “Seperti mana jika ada pelanggan yang rasa teraniaya dengan contohnya syarikat telekomunikasi yang didakwa menyebarkan nombor telefon mereka, mangsa boleh terus mengupah peguam untuk membawa tuntutan ke mahkamah. Walaupun perlu membuat laporan polis, kes sebegini kebiasaannya tidak melibatkan siasatan polis mahupun Jabatan Peguam Negara dan mangsa boleh terus ke mahkamah jika merasakan diri mereka teraniaya," jelasnya.

Bagi Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin, membocorkan maklumat strategik dan peribadi tanpa kebenaran pemiliknya adalah satu kesalahan dari semua sudut moral dan perundangan. “Tindakan disiplin perlu diambil, bukan sahaja terhadap mereka yang mendedahkan maklumat sulit itu malahan kepada institusi dan pegawai yang terlibat. Bank Negara perlu menyiasat sebaiknya kes membocorkan maklumat kewangan sebegini kerana jika terus berlaku, lama kelamaan akan menggugat sistem perbankan negara," tegasnya.

Menurut beliau, orang ramai dan juga organisasi luar akan hilang kepercayaan jika maklumat sulit yang sepatutnya hanya diketahui pegawai bank kerap kali bocor ke tangan pihak ketiga tanpa kebenaran pemiliknya. Dalam kes terbaru melibatkan individu berprofil tinggi, beliau turut berharap disiasat jika ada pegawai di institusi kewangan terbabit yang menyalahgunakan kedudukannya untuk agenda peribadi parti politik atau individu tertentu. “Jika kerana politik dibocorkan maklumat pelanggan institusi kewangan, ini satu kesalahan etika kerja yang besar, tiada siapa berhak berbuat demikian. Bank dan institusi kewangan adalah pemegang amanah kepada rekod dan tunai pelanggan mereka, perlulah bertanggungjawab dan menjaga amanah itu," katanya.

Tambahnya, urus niaga perbankan juga sebenarnya amat sensitif kerana melibatkan amanah duit dan harta milik orang. Beliau menyamakan sebarang tindakan pegawai atau institusi itu sendiri yang dianggap mengkhianati kepercayaan pelanggan mereka umpama rasuah kerana dilakukan atas tujuan tidak elok. “Bukannya senang untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang daripada institusi kewangan tetapi lebih elok jika sebarang keperluan mendapatkan maklumat sulit sedemikian diletakkan di bawah Bank Negara. Seperti mana sebelum ini ada pihak yang menjual maklumat peribadi orang ramai kepada pihak bank, apa hak mereka untuk bermain dengan maklumat rahsia rakyat," soal beliau.

Amir menegaskan, mana-mana individu ataupun syarikat tiada hak untuk menjual sebarang maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran dan adalah lebih elok jika urusan melibatkan maklumat sedemikian diuruskan Bank Negara sahaja. Beliau juga berharap pihak media sama ada media utama mahupun alternatif mengelak daripada terlibat dalam menyebarkan maklumat sulit rekod kewangan individu demi menjaga hak dan privasi mereka. “Pihak bank juga perlu bertanggungjawab jika berlaku kesilapan atau salah laku di kalangan pegawai mereka termasuk menyiasat dan memberi pampasan sewajarnya tanpa perlu pelanggan ke mahkamah. Jika tidak, setiap pelanggan yang merasakan amanah itu telah dilanggar, berhak mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi terhadap pihak yang terlibat," ujarnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails