09 Mei 2012

ISU EKONOMI : PROGRAM PUASKAN HATI PENGGUNA, PETANI


Oleh AZMAN ANUAR


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terus berusaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat dalam menangani harga barangan. Ada dua program khusus untuk membantu meringankan beban rakyat. Dahulu kementerian tersebut telah melancarkan Laman Agro. Melalui program Laman Agro, masyarakat terutama yang tinggal di rumah pangsa dalam bandar digalakkan terbabit dengan kegiatan pertanian. Walaupun kawasan tanah terhad, mereka masih boleh bercucuk tanam. Penduduk boleh menggunakan kaedah sistem fertigasi. Program ini telah pun dilancarkan di Shah Alam, Lembah Subang, Pandan dan Kapar di Selangor. Di Shah Alam melibatkan 800 buah rumah. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata Laman Agro boleh menarik orang bandar terbabit sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka 'tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam' bagi mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport.

"Kita harap melalui konsep Laman Agro ini dapat mengurangkan bebanan kehidupan rakyat terutama yang tinggal di bandar," kata Noh. Konsep kedua yang diperkenalkan oleh kementerian tersebut melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ialah Jimat Belanja Dapur. Menurut Noh, kementerian mahu menukar suasana 470 pasar tani di seluruh negara bukan sahaja sebagai pasar untuk rakyat mendapatkan sumber makanan segar tetapi juga pada harga yang murah. Untuk program Jimat Belanja Dapur, Noh memberitahu harga barangan di pasar tani ditetapkan mesti 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga di pasaran. “Untuk memastikan harga tersebut berterusan, setiap pasar tani akan diletak pegawai FAMA untuk memantau harga-harga barangan yang dijual. Jadi peniaga pasar tani digesa meletakkan tanda harga mereka dan harga di pasaran. Di situ rakyat boleh menilai perbezaan harga," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu ketika ditemui di pejabatnya, Putrajaya baru-baru ini.

FAMA menurut Noh juga telah membuat kajian, mendapati secara purata pengunjung pasar tani boleh menjimatkan kira-kira RM100 sebulan jika mereka membeli-belah di pasar tani. “Jika mereka boleh berjimat RM100 sebulan, pasar tani dikunjungi kira-kira 500,000 pengunjung sebulan dan mereka boleh berjimat hingga RM50 juta sebulan,"katanya. FAMA juga telah mengenal pasti 22 jenis barangan terpilih seperti tomato, cili merah, kubis bulat, halia, lobak merah, timun, kacang panjang, sawi, bendi, cili padi dan kelapa untuk diberi potongan harga. FAMA turut memperkenalkan potongan harga istimewa antara lima hingga 10 peratus bagi ayam dan ikan kecuali daging. “Harga daging di pasaran dan pasar tani masih sama. Kita sedang berusaha ke arah menjadikan harga daging juga lebih murah daripada harga di pasaran," kata Noh.

Beliau menjelaskan kedudukan harga di pasar tani dapat dikurangkan kerana kementeriannya melalui FAMA mengamalkan konsep mengumpul barangan dari ladang terus ke pasar dan tidak melalui orang tengah. Melalui konsep ini semua pihak baik petani dan pengguna akan berasa puas hati dengan harga yang ditawarkan. “Kementerian Pertanian ini perlu menjaga dua kumpulan. Satu untuk menjaga kepentingan petani, nelayan dan penternak tetapi pada masa yang sama kami kena menjaga kepentingan pengguna.Kalau terlalu murah yang kita tekankan maka petani akan marah, sebaliknya jika dijual pada harga mahal, petani akan berasa gembira tetapi pengguna pula akan marah. Kita perlu berlaku adil dan seimbang," jelas Noh.

Untuk mencapai matlamat itu kementerian perkenalkan ladang kontrak. Di mana peniaga pasar tani diminta membeli terus daripada petani.“Tugas ‘tauke’ di pasar tani bukan sahaja menjual tetapi juga terlibat dari segi pengeluaran. Tauke ini diminta melantik penanam-penanam keluaran mereka. Untuk permulaan sudah ada 500 orang petani akan terlibat dengan ladang kontrak bersama-sama seramai 3,500 peserta pasar tani," kata beliau. Melalui konsep ladang kontrak ini FAMA bukan sahaja membeli semasa musim menuai tetapi agensi ini akan terlibat membantu petani daripada mula. Menurut Noh, dalam beberapa hari lagi program Jimat Belanja Dapur yang melibatkan 87 tauke pasar tani dan 413 petani akan dilancarkan di Selangor. Tauke pasar tani yang terlebat dalam Jimat Belanja Dapur bagi fasa ketiga diberi insentif berbentuk sewaan lot percuma bagi tempoh tertentu.

Insentif itu merupakan satu pembaharuan yang dilakukan selepas fasa pertama dan kedua pada Oktober 2011 dan 20 Januari hingga 19 April lalu yang memberikan kesan baik kepada peniaga dan pengguna. Untuk pelaksanaan ladang kontrak itu FAMA menyediakan bantuan 50-50 yang mana kementerian membantu separuh daripada kos penanaman yang ditanggung oleh seorang peserta dan belanja separuh lagi disediakan oleh petani berkenaan. Misalnya kata Noh, jika projek tanaman memerlukan RM10,000 maka FAMA akan membantu RM5,000 dan petani akan sediakan RM5,000 lagi. Jika dia tidak mampu menyediakan jumlah itu, FAMA akan bantu petani mendapatkan bantuan Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

“Melalui bantuan ini saya harap ia lebih berkesan daripada beri geran penuh. Apa yang tersirat daripada program ini ialah petani dibantu untuk menghasilkan pertanian. Peniaga pasar tani dan petani dapat hasil untuk dijual dan rakyat mendapat barang segar pada harga murah. Jadi kita mewujudkan situasi menang-menang kepada tiga pihak," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu. Untuk memastikan ladang kontrak ini berterusan, Noj memaklumkan pada 2015 pihaknya akan meminta semua produk di pasar tani menjual produk tempatan sahaja. “Sekarang hampir 40 peratus barang-barang di pasar tani seperti sayur dan cili diambil dari pasar borong kerana alasan mereka tidak cukup bekalan.

“Apabila pasar tani sudah ada pembekal masing-masing, kita harap mereka tidak perlu lagi membeli dari pasar borong tetapi mendapatnya daripada petani yang dilantik. Untuk menjayakan petani-petani ini pula, Jabatan Pertanian dan Insititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memberi bantuan dari segi nasihat dan bantuan teknikal. Dalam memajukan ladang kontrak ini kerajaan menyediakan peruntukan RM14 juta maka kita mahu rakyat juga menikmatinya dan bukan para petani sahaja," jelas Noh mengakhiri perbualan mengenai usaha kementeriannya membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
8 Mei 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails