17 Mei 2012

ISU BAHASA : KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DI SEKTOR AWAM!


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Sekarang, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan. Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris. Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide. Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta. Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak menjiwai semangat cintakan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada tempat yang salah. Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya. Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.

Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri. Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu. Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’ Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails