25 April 2012

ISU POLITIK : MEMBINA INTEGRITI DALAM POLITIK


Oleh
MOHAMAD IQBAL AB. WAHAB
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Penulis ialah pemenang pertama Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.


Persoalan integriti bukanlah sekadar persoalan yang bersifat teoritikal, sebaliknya merupakan persoalan pengaplikasian. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti didefinisikan sebagai kejujuran dan keutuhan. Maka dalam konteks pengamalan sejagat, integriti menjadi suatu prinsip yang tegas dalam pengaplikasian praktikal, bukan sekadar slogan yang dilaungkan tanpa suatu tindakan yang tepat dan cepat. Lapangan yang praktikal dalam membahaskan realiti integriti adalah bidang politik. Politik sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, tidak dapat dielak daripada membahaskan persoalan integriti kerana sifat politik itu merangkumi keseluruhan bidang dalam hidup manusia termasuklah yang berkaitan dengan isu-isu asas iaitu pendidikan, sosial dan ekonomi.

Bahkan Ibnu Khaldun juga menyebut dalam Mukaddimah, manusia itu politikal secara semula jadi iaitu mereka tidak boleh hidup tanpa organisasi sosial yang mana menurut ahli falsafah diistilahkan sebagai 'kota.' Oleh kerana sifat semula jadi manusia itu adalah berpolitik iaitu mentadbir urus, maka integriti sebagai nilai akan mencorakkan sifat politik manusia itu sendiri sama ada berpolitik secara Machiavelli melalui teori real politic yang membenarkan segala-galanya asalkan matlamat tercapai, atau berpolitik dengan prinsip memelihara kerukunan masyarakat tanpa meminggirkan nilai-nilai asas sepanjang perangkaan dan pelaksanaan sesuatu pelan tindakan mahupun dasar.

Di mana-mana pun, semua orang tahu, integriti itu penting dalam seluruh urusan kehidupan. Namun, tahu sahaja tidak memadai, sekiranya tidak difahami dan dipraktikkan, terutamanya dalam lapangan politik. Ada manusia tahu bahawa menerima rasuah itu salah - bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga dari sudut undang-undang. Namun, tanpa segan silu rasuah masih berleluasa. Itulah bezanya manusia yang berfikir menggunakan akal tanpa hati dengan manusia yang berfikir dengan akal dan dicerahkan melalui hati. Apabila persoalan integriti dikesampingkan dalam lapangan politik, manakala amalan dan kebiasaan menerusi kepincangan-kepincangan yang didiamkan berleluasa seperti rasuah dan penipuan resit pembelian, pada waktu itu, yang menjadi indikator adalah idea utilitarian, yang bersetuju dengan pandangan umum yang mengikitiraf gejala penyelewengan itu sebagai sesuatu yang dibenarkan.

Semakin lama perkara ini berleluasa, semakin kuat dan utuhlah kepercayaan ini sehingga membentuk budaya. Sewaktu perkara ini telah menjadi suatu kebudayaan, pada waktu itulah, mentaliti juga telah terjangkit sama sehinggakan yang salah itu dirasakan benar, manakala yang benar itu dirasakan salah. Kesan yang lebih parah ialah bagaimana keadaan ini mampu merosakkan perkembangan negara dari sudut pembangunan infrastruktur dan modal insan. Sebagai contoh, laporan Ketua Audit Negara telah memperlihatkan betapa persoalan integriti dalam pengurusan dana kerajaan telah dipandang remeh. Kelemahan dari sudut pengurusan pengagihan. Begitu juga dengan pendedahan penipuan harga. Penyelewengan dan kegagalan dalam pengurusan integriti dalam kalangan individu-individu yang memegang amanah inilah menyebabkan terencatnya pembangunan dari sudut penyediaan kemudahan kepada masyarakat umum.

Wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan untuk perkembangan dan penyediaan infrastruktur lain telah dikorupsikan menyebabkan peruntukan menjadi tidak cukup, dan inilah yang membantutkan kadar pertumbuhan negara. Sekiranya perkara ini terus-terusan berlaku, kita akan terus terbeban dengan hutang, bagi menampung kebocoran yang berlaku, malahan pemotongan bajet yang akan dilakukan termasuklah rasionalisasi subsidi yang akan dilakukan bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan dalam negara tidak akan tercapai sekiranya mentaliti dan sikap itu tidak diubah. Begitu juga, dalam membicarakan soal integriti dalam politik, golongan yang secara langsung terlibat adalah ahli politik. Janji-janji menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.

Watak yang dimainkan oleh ahli politik termasuk butir bicaranya juga dinilai dari sudut keintegritiannya. Sekiranya yang diomong dan diceramahkan itu tidak dilaksanakan, pada waktu itulah integritinya terhilang. Apatah lagi jika bicaranya itu sering kali mencela dan mencaci, pada waktu itu jugalah, integritinya semakin pudar dan lenyap. Inilah yang disebut oleh Syed Hussein al-Atas dalam Intelektual Masyarakat Membangun sebagai 'bebalisme' yang mana cirinya yang menonjol adalah kehilangan pekerti. Persoalan integriti adalah persoalan bersama kerana integriti harus wujud dalam diri setiap manusia. Menyebarluaskan integriti sebagai budaya memerlukan komitmen yang jelas dan kemas dalam memperkasakan pendidikan.

Pendidikan sebagai asas untuk menyediakan modal insan yang bukan sahaja bertindak sebagai pelaburan dari aspek teknikal, malahan juga harus menjadi pelaburan dari aspek nilai dan prinsip yang benar lagi utuh. Apalah gunanya memiliki pekerja-pekerja mahir yang profesional sekiranya motif rasuah dan penyelewengan berlegar-legar dalam pemikiran mereka menyebabkan pertumbuhan negara masih di takat yang sama, kerana persoalan sikap itu tidak diubah. Maka, di akhir bicara ini, sama-sama kita hayati suatu firman Allah, dalam surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud, "Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahuinya."

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 April 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails