20 Mac 2012

ISU UMUM : KEMELUT MAS DAN AIR ASIA, JANGAN BENARKAN ULAR LIDI MENJADI NAGA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK


''Sekarang ular lidi percaya dirinya naga, manakala naga pula sangka dirinya dah jadi ular lidi,'' kata Profesor Salleh Buang mengamati kemelut antara MAS dan AirAsia yang hangat diperkatakan sekarang ini. Analogi ular lidi dan naga memang tepat untuk menggambarkan natijah perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia). MAS yang pernah menerima gelaran syarikat gergasi penerbangan umpama naga tertelan bola api apabila terpaksa 'tunduk' dan 'mengalah' dengan syarikat yang baru 11 tahun di langit biru. Memulakan penerbangan komersial pertama pada 2 April 1947 atas nama Malaysia Airlines Limited (MAL), sejarah MAS terlalu panjang untuk dibenarkan tenggelam oleh permainan syarikat penerbangan swasta. Biarpun bertukar nama, logo dan pengurusan, namun MAS yang beroperasi secara solo pada tahun 1973 selepas syarikat penerbangan Singapura menarik diri mencatat rekod tersendiri. Ratusan anugerah diterima mengiktiraf kebolehupayaan syarikat itu dalam pelbagai kategori sehingga rakyat Malaysia menumpang bangga.

Ramai yang bertanya di mana hilangnya taring MAS? Siapa yang membunuh kehebatan MAS? Adakah masalah dalaman terutama beban hutang dan kelemahan pengurusan menjadikan MAS begitu? Atau ada pihak yang mengambil kesempatan daripada 'kesempitan' MAS supaya sayapnya patah lantas tidak boleh lagi terbang bersaing dengan penerbangan-penerbangan lain di dunia? Rakyat jelata, orang awam yang tidak faham permainan untung rugi atau istilah bombastik ekonomi hanya mahu satu perkara - MAS syarikat penerbangan negara kembali menjadi naga. Waima apa pun masalah dalaman MAS, ia tidak boleh merasakan dirinya ular lidi sehingga menyerah nasib sedemikian rupa. Tentu ada caranya dan semestinya banyak kaedah untuk 'memulihkan' MAS lantaran syarikat itu adalah milik negara. Masalah dalaman MAS semenangnya telah lama. Bukan tujuh bulan sebelum ini yang membawa kepada perjanjian pertukaran saham dengan AirAsia. Baik orang dalam MAS mahupun orang luar yang sayangkan aset negara itu tahu apa sebenarnya yang menjadi punca. Sebab itu pemeteraian perjanjian pertukaran saham dilihat banyak pihak satu lagi kesilapan yang memburukkan lagi keadaan dan jika tidak segera ditangani padahnya amat besar.

Membenarkan persaingan antara MAS dan AirAsia tanpa kawal selia menyebabkan padang permainan tidak rata sehinggakan siapa yang tidak bijak boleh tersungkur. Perjanjian pertukaran saham itu adalah contoh paling nyata bagaimana persaingan berat sebelah sehingga mewujudkan situasi menang-kalah atau kalah mati. Sedangkan persaingan dalam dunia perniagaan yang kini dikawal selia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) amat molek - mewujudkan daya saing yang sihat supaya para pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik selain meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat yang bersaing. Tetapi apa yang terjadi dalam persaingan MAS dan AirAsia sebaik perjanjian pertukaran saham itu dimeterai? MAS semakin menanggung beban, laluan menguntungkan diberi kepada AirAsia, semangat serta moral kakitangannya semakin merudum manakala krisis dalaman tidak diketahui di peringkat mana jalan penyelesaiannya.

Tentunya perkembangan tersebut menarik perhatian banyak pihak yang menjadi pemerhati persaingan MAS dan AirAsia sejak 2001 apabila syarikat penerbangan tambang murah itu memecah monopoli MAS. Persaingan yang pada mulanya dilihat amat sihat kerana memberi pilihan kepada pengguna akhirnya mencetuskan kontroversi apabila monopoli yang dipecahkan cuba diwujudkan semula dalam bentuk yang sedikit berbeza. Sedangkan persaingan tidak sepatutnya menghalalkan pesaing meraih kelebihan secara tidak adil apatah lagi jika terlintas niat mahu menguburkan pesaing dengan strategi yang licik. Sebab itu apabila Malaysia mengorak langkah menggubal Akta Persaingan biar pun agak terlewat berbanding dasar penswastaan dan pengkorporatan yang telah mengambil tempat lebih awal, maka kawal selia hendaklah dilaksanakan supaya akta tersebut benar-benar menepati fungsinya.

Dasar penswastaan sememangnya menuntut kawal selia bukan sekadar penubuhan suruhanjaya yang berkaitan seperti Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi dan banyak lagi suruhanjaya lain, tetapi juga satu akta yang boleh memastikan segala persaingan berlangsung secara sihat. Persaingan tidak boleh dibuat-buat - umpamanya mewujudkan perjanjian tertentu yang di atas kertas terlihat untung bagi syarikat bersaing tetapi realitinya tidak begitu. Dalam kes perjanjian pertukaran saham MAS dan AirAsia, biarpun banyak pihak melihatnya sebagai permulaan kepada kerjasama namun perkembangan sepanjang tujuh bulan pelaksanaannya tidak menampakkan begitu. Kedua-dua syarikat dilihat bekerjasama tetapi pada masa yang sama masing-masing mencari peluang untuk bersaing malah ada kalanya dilihat dengan cara yang amat tidak sihat kerana hanya satu pihak mendapat manfaat.

Mungkin lebih elok seperti pandangan kebanyakan penganalisis, perjanjian pertukaran saham itu dibatalkan sementelah Akta Persaingan pada dasarnya tidak membenarkan kerjasama tetapi pada masa yang sama semacam ada elemen persaingan. Tidak juga perjanjian tersebut adil kepada kedua-dua pihak apabila kebanyakan yang bersuara membangkitkan soal rugi di pihak MAS selain tiada perubahan yang dilihat memihak kepada syarikat penerbangan negara sejak perjanjian tersebut dipersetujui. Apa pun juga kemelut MAS dan AirAsia mesti segera diselesaikan. Jika pada peringkat permulaan perang harga antara kedua-dua syarikat dilihat oleh kerajaan sebagai satu persaingan yang sihat, namun pertukaran saham MAS dan AirAsia pula menimbulkan pandangan sebaliknya. Sama ada mengembalikan operasi asal MAS dan AirAsia atau meneruskan perjanjian pertukaran saham, paling penting pengguna khidmat penerbangan tidak menjadi mangsa.

Yang pasti rungutan terhadap khidmat yang ditawarkan MAS semakin kuat berbunyi. Begitu juga apa yang disediakan AirAsia - berbanding ketika masing-masing bergantung kepada kekuatan sendiri biarpun ada kekangan lain yang terpaksa diatasi. Justeru, apa yang menjadi harapan rakyat keindahan Akta Persaingan 2011 yang berkuatkuasa 1 Januari lalu dapat diserlahkan dalam menyelesaikan kemelut MAS dan AirAsia. Jika objektif akta tersebut untuk manfaat semua pihak iaitu rakyat sebagai pengguna dan syarikat yang bersaing, maka tugas pertama Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang diterajui bekas hakim tersohor, Tan Sri Siti Norma Yaakob untuk membuktikan bahawa perjanjian pertukaran saham MAS dan AirAsia memenuhi objektif tersebut dan bukan sebaliknya. Jika yang terbukti adalah sebaliknya, maka sejauh mana relevannya perjanjian tersebut untuk kekal diguna pakai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails