15 Mac 2012

ISU UMUM : CADANGAN PEMANSUHAN HUKUMAN MATI PERLU DIPERHALUSI DARI SEMUA SUDUT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES


Hutang nyawa dibalas nyawa. Tiada hukuman lain yang mampu menebusnya. Itu yang dapat disimpulkan daripada kata-kata ibu kepada Nurul Nadhirah Abdullah, kanak-kanak malang yang disahkan dibunuh dan dibakar setelah hilang dari rumahnya hampir dua minggu lalu. Wanita itu juga tidak akan memaafkan orang yang bertanggungjawab ke atas kematian anaknya yang lebih dikenali sebagai Dirang dan mahu si pelaku, dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan. Hukuman yang paling memuaskan hati keluarga Allahyarham Dirang, hanyalah hukuman gantung sampai mati. Di Malaysia, dengan peningkatan kadar jenayah, saya merasakan cadangan sesetengah pihak agar hukuman mati dimansuhkan belum sesuai pada peringkat ini. Ia juga dilihat seolah-olah meminggirkan sensitiviti keluarga yang dirundung malang itu.

Jika pendekatan itu diterima pakai dalam kes-kes melibatkan kematian tragis seperti pembunuhan, hukuman berbentuk pampasan mahupun pemenjaraan dilihat masih sukar untuk diterima apatah lagi dilaksanakan. Pernah dalam kes-kes bunuh berprofil tinggi, ada suara-suara berunsur dendam diluahkan oleh keluarga mangsa, jika si pelaku tidak mati di tali gantung (terlepas hukuman mati), mereka akan pastikan si pelaku akan 'mati' dengan apa jua cara sekalipun. Dalam situasi ini, jika tiada hukuman mati, si pelaku mempunyai potensi untuk mengulangi kesalahan tersebut terhadap orang lain pula apabila dibebaskan kelak. Meskipun seandainya kenyataan itu meleset, namun masyarakat umumnya akan berasa terancam dan dibelenggu ketakutan sekiranya pembunuh masih berkeliaran kerana tidak 'disimpan selamat' di tempat yang sepatutnya.

Hukuman mati telah wujud dalam sejarah kemanusiaan. Pada zaman silam, bukan sahaja hukuman mati wujud malahan ia dijalankan dengan pelbagai cara yang 'kreatif'. Salah satu bantahan terhadap hukuman mati adalah, ia (hukuman) tidak akan dapat diperbetulkan jika pada akhirnya dikesan berlaku kesilapan. Selain itu, bantahan juga kedengaran apabila ada yang mengatakan hanya Tuhan yang berhak menentukan hidup atau mati seseorang. Namun begitu, salah satu cara bagi mengelakkan daripada berlakunya kesilapan, negara ini mempunyai proses rayuan sebanyak dua kali. Selain proses rayuan di mahkamah, terdapat juga proses yang dikendalikan oleh Lembaga Pengampunan bagi menjamin hak tertuduh.

Sudah menjadi lumrah, pihak yang menjadi mangsa sesuatu perlakuan jenayah itu menuntut hukuman semaksimum mungkin seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang. Misalnya, individu yang hilang sebelah matanya seboleh-bolehnya mahukan pesalah itu dibutakan kedua-dua belah matanya. Jika persoalan ini diajukan kepada pengamal undang-undang, mereka berpendapat isu pemansuhan hukuman mati ini perlu dilihat dalam dua konteks yang berbeza. Iaitu adakah hukuman gantung boleh mengelakkan (deterrent) bakal pesalah masa hadapan atau mampu mencegah kesalahan membabitkan jenayah berat seperti bunuh. Konteks kedua pula, seandainya ia dimansuhkan, adakah kesalahan sebegini akan berleluasa.

Peguam Salim Bashir berkata, sehingga kini ramai yang berdebat tentang isu ini misalnya ada yang berpendapat, kita sebagai manusia tidak berhak mengambil nyawa, ada pula yang menyatakan nyawa perlu diganti dengan nyawa. Beliau pula berpendapat, ada beberapa kesalahan berat yang memerlukan kajian sama ada hukuman gantung itu perlu. Misalnya pengedaran dadah yang boleh diganti dengan hukuman penjara. Manakala bagi kesalahan melibatkan jenayah kejam seperti bunuh, katanya, maka kajian yang lebih terperinci dari semua sudut diperlukan sebelum pemansuhan dibuat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Mac 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails