14 Mac 2012

ISU SOSIAL : JANGAN BIAR "PEMANGSA" BEBAS

Oleh NIZAM YATIM


Kenapa masih berlaku? Mungkin itu persoalan yang bermain di fikiran orang ramai apabila membaca atau mendengar berita terbaru mengenai pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang. Setelah 12 hari kanak-kanak berusia lima tahun itu hilang selepas ke kedai bersendirian berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Pasir Gudang, akhirnya polis kelmarin mengesahkan mangsa telah dibunuh kejam sebelum mayatnya dibakar di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai, Johor. Kejadian menyayat hati itu mengingatkan kita akan peristiwa hitam 20 Ogos 2007 apabila Nurin Jazlin Jazimin, murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Pencarian berakhir apabila mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu mati akibat didera secara seksual.

Ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 40, yang ditanya mengenai kes terbaru itu hanya mampu mengungkap: "Ya Allah, mengapa ini perlu berulang lagi? Bulu roma saya meremang selepas mengetahui nasib Dirang. Air mata saya mengalir laju membasah pipi. Saya seperti nampak Nurin." Sebenarnya banyak lagi kes pembunuhan dan penculikan kanak-kanak yang belum dapat diselesaikan seperti yang melibatkan Nurin Jazlin antaranya kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar. Mangsa yang berusia lima tahun hilang semasa dalam perjalanan pulang selepas bermain di padang permainan berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada 2008. Kes-kes lain yang berjaya diselesaikan melibatkan Nurul Huda Abdul Ghani Musa, 10, yang dibunuh setelah dirogol dan diliwat di Gelang Patah, Johor pada 2004. Sepuluh hari sebelumnya, Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap, di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Mengulas gejala membimbangkan itu, Konsultan Syarikat K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berharap pihak berkuasa dan orang ramai tidak berputus asa untuk menangani perkara itu. Beliau bagaimanapun mengakui kes sedemikian sukar untuk dibasmi sepenuhnya berikutan penjenayah amat payah untuk dikenal pasti kerana mempunyai penampilan seperti manusia normal dari segi luaran. "Walaupun pelaku ini boleh dikaitkan sebagai pesakit mental, tetapi bukan semua yang suka duduk menyendiri seperti yang sering dikaitkan dengan golongan ini," ujarnya yang juga bekas pensyarah di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kata beliau, kes itu juga boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tingkah laku pelaku sukar untuk dijangkakan kerana tidak semua mempunyai corak perlakuan jenayah yang sama. Menurutnya, kes pembunuhan dan penculikan kanak-kanak juga boleh dikaitkan dengan individu pedofilia yang mengalami gangguan psikoseksual yang mencapai kemuncak keseronokan dengan melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak.

Jelas beliau, terdapat beberapa ciri pelaku yang boleh membantu pihak berkuasa menyiasat seperti kebiasaannya melibatkan penjenayah yang dikenali mangsa. Berikutan kepakaran khusus yang diperlukan bagi menangani kes seperti itu, beliau mencadangkan pihak berkuasa menubuhkan unit siasatan khas berkaitan analisis tingkah laku penjenayah. "Kita boleh mencontohi Behavioral Analysis Unit (BAU) yang menyiasat kes jenayah terhadap kanak-kanak di bawah seliaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat. "Kepakaran bagi menganalisis tingkah laku seperti yang dimiliki anggota BAU amat penting kerana tidak semua kes boleh diselesaikan oleh unit siasatan tempat jenayah (CSI). "Pakar BAU boleh mengesan karakter tertentu penjenayah seperti hanya berminat dengan mangsa yang mempunyai ciri fizikal khusus seperti berambut perang," katanya yang bersedia menghulurkan bantuan jika diminta pihak berkuasa.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Am dan Aviasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Lt. Kol. Dr. Lotfi Anuar berkata, berdasarkan daripada corak jenayah dalam kes terbaru, pelaku melakukannya secara spontan apabila mangsa hilang secara tiba-tiba. "Cara pelupusan mayat secara kejam menunjukkan bahawa pelaku melakukan pembunuhan tersebut secara impulsive (mengikut gerak hati) tanpa memikirkan kesan dan perasaan belas kasihan. "Pelaku dalam kes ini dan juga kes-kes lain berkemungkinan mengalami masalah kecelaruan seks terhadap kanak-kanak yang dinamakan pedofilia kerana kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berkemungkinan dirogol sebelum dibunuh," katanya. Berdasarkan kepada faktor di atas, ujarnya, terdapat tiga sebab kenapa pelaku sanggup melakukan perlakuan kejam tersebut sama ada mempunyai masalah personaliti kejam dan ganas seperti antisosial, berada dalam keadaan tidak waras akibat sakit mental atau berada di bawah pengaruh dadah.

"Kegagalan pelaku jenayah untuk tunduk kepada tatasusila norma-norma sosial dan menghormati undang-undang adalah punca utama tingkah laku jenayah tersebut. "Kegagalan untuk mengawal perasaan marah dan tingkah laku impulsive juga memberi sumbangan. Begitu juga kesan daripada penggunaan dadah terlarang yang menyebabkan gejala halusinasi dan delusi yang menyebabkan penagih menjadi ganas dan tidak dapat mengawal tingkah laku," katanya. Tambah beliau, walaupun pembunuh boleh berada di kalangan mereka yang normal, mempunyai keluarga dan kerjaya yang stabil tetapi kajian tingkah laku terhadap ketiga-tiga kumpulan suspek di atas sememangnya sangat membantu pihak polis. "Sebagai contoh walaupun kita tidak tahu seseorang itu menagih dadah tetapi mereka tidak dapat menyorok tingkah laku penagih seperti kerap berkhayal, suka mencuri, gagal menjalin hubungan baik dengan kawan-kawan dan masyarakat.

"Kerana itu masyarakat sendiri perlu tahu menilai dan mengesan tingkah laku penagih (addiction behavior) tersebut untuk keselamatan semua. "Begitu juga dengan tingkah laku impulsive kerana ia boleh dilihat sama ada secara percakapan (suka marah dan bercakap kasar) atau perbuatan (suka memukul atau bergaduh)," jelasnya. Sebenarnya jenayah terhadap kanak-kanak perlu ditangani secara drastik bagi memastikan ia tidak berlarutan. Tidak cukup sekadar pihak tertentu mengeluarkan kenyataan retorik menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada menjaga anak-anak dan lebih prihatin dalam menilai tingkah laku orang di sekeliling mereka. Tidak memadai juga jika kita hanya teruja melihat kecekapan anggota BAU dalam siri televisyen Criminal Minds di TV8 setiap Isnin yang terbang ke sana sini dengan jet peribadi bagi menyelesaikan kes, jika unit sama tidak ditubuhkan di negara ini bagi memastikan 'pemangsa' kanak-kanak tidak terus berkeliaran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails