JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Mac 2012

ISU SERANTAU : SAMPAI BILA HUBUNGAN MALAYSIA - INDONESIA


Hubungan Malaysia-Indonesia ada pasang surutnya. Ada kalanya jalinan mesra kedua-dua negara ini dilihat begitu intim terutama apabila kedua-dua pemimpin utamanya mengadakan rundingan berterusan sejak Tunku Abdul Rahman-Sukarno yang penuh dengan adegan perjuangan hinggalah kepada Datuk Seri Najib Razak-Susilo Bambang Yudhoyono pada zaman serba serbi canggih ini. Ada ketikanya pula, hubungan kedua-dua negara itu menjadi keruh, yang mencengkam dan menghiris perasaan sesiapa saja yang menghormati jalinan serumpun itu. Walaupun rundingan demi rundingan diadakan, ada isu yang sudah pun menjadi sejarah dan masih ada masalah yang belum diselesaikan. Adakalanya ia berombak dan memerlukan penyelesaian segera khasnya pada zaman kebebasan bersuara dan media diberi ruang seluas-luasnya untuk mencetak atau menyiarkan apa juga hujah dan berita. Berita yang kabur menimbulkan persepsi dan prasangka hingga menimbulkan perasaan marah, benci, kecewa dan segala-galanya.

Walaupun ada yang mengatakan ia adalah lumrah bagi dua sahabat bertelagah, mereka yakin ia ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Ada pandangan hubungan yang monotonus akan menjadikan jalinan persahabatan yang membosankan dan kaku. Meskipun salah tanggapan sebagai perkara biasa, ia memerlukan kawalan. Harga yang perlu dibayar akibat keretakan hubungan serumpun adalah terlalu besar. Sejarah nasionalisme Melayu di Semenanjung begitu rapat dengan perkembangan perjuangan pramerdeka dan pasca merdeka Republik Indonesia. Pada 1950 foto Sukarno dengan keluarga menghiasi dinding rumah di Semenanjung. Sukarno dan Hatta dianggap pemimpin proksi masyarakat ketika itu. Malaysia-Indonesia dianggap sedarah sedaging dan terlalu banyak persamaan yang nyata. Jika diperhatikan Sang Saka Merah Putih Indonesia, tidak nampak bezanya dengan bendera UMNO. Tanpa keris dalam bulatan yang ada pada bendera UMNO, ia sama dengan Sang Saka Merah Putih Indonesia.

Selepas konfrontasi sekitar 1964, dicetus kecenderungan politik – bukan atas kemahuan rakyat di Indonesia, pemimpin warisan bertungkus lumus berjuang memperbaiki hubungan. Sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Adam Malik, Jeneral Moerdani, Jeneral Suharto, Tun Ghazali Shafie dan sebagainya meninggalkan kesan yang sangat meluas dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia hingga ke hari ini. Walaupun apa andaiannya, hubungan Malaysia-Indonesia memerlukan kesinambungan.  Apa yang gusar, generasi muda kini dibelai dalam dunia baru mereka, hak asasi sejagat, internet, media sosial dan sebagainya. Apa akan jadi jika mereka tidak menghiraukan soal kenusantaraan seperti Cina mengurus pan-Sino, pengaruh budaya-politik mereka.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Minggu
11 Mac 2012

Tiada ulasan: