31 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : JANGAN SALAH SISTEM KUOTA

Oleh
MUHAMMED ABDUL KHALID
Penulis ialah lulusan PhD dari universiti di Perancis
dan kini bertugas di Kuala Lumpur.


Persoalan kuota dalam pengambilan pelajar dan lantikan pensyarah serta penggunaan bahasa Malaysia dalam pendidikan sering dijadikan alasan terutama apabila sesebuah institusi pengajian tinggi itu jatuh merudum dalam kedudukan indeks universiti terbaik dunia. Seperti yang ramai sedia maklum, Times Higher Education (THE) sebuah majalah mingguan berpangkalan di London, menghasilkan senarai kedudukan universiti-universiti di dunia setiap tahun dan ia pertama kali dikeluarkan dalam tahun 2004. Kita dimaklumkan bahawa tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia ini yang tersenarai dalam senarai 400 universiti terbaik dunia yang terkini. Ini cukup menyedihkan, walaupun penulis mempunyai pandangan kritikal terhadap metodologi yang digunakan dalam membuat penyenaraian ini yang lebih cenderung kepada universiti-universiti di United Kingdom dan Amerika Syarikat, namun pandangan tersebut adalah untuk artikel di lain masa.

Pada masa ini, THE adalah satu-satunya indeks yang menunjukkan ranking (kedudukan) universiti-universiti dunia dan dijadikan sandaran ukuran oleh banyak pihak. Dalam senarai yang terkini, daripada 20 universiti terbaik dunia, hampir kesemuanya daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom, kecuali nombor 15, sebuah universiti di Switzerland dan kedudukan ke-19, sebuah universiti di Kanada. Persoalan yang lebih menyedihkan adalah apabila baru-baru ini seorang pentadbir salah sebuah universiti tempatan yang pernah berada dalam senarai THE, menyalahkan sistem kuota dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai penyebab kenapa universiti yang dipimpin beliau terkeluar daripada senarai tersebut. Secara spesifiknya beliau mendakwa bahawa universiti beliau akan menjadi world class hanya sekiranya ia melupuskan pengambilan pelajar mengikut kuota.

Kita ingin tahu apakah asas kepada hujah pentadbir universiti tersebut dalam membuat andaian beliau bahawa sistem kuota dan bahasa Malaysia sebagai penyebab kejatuhan standard universiti yang beliau pimpin. Kita ingin tahu sekiranya beliau ada membuat kajian mengenai hubung kait di antara kualiti sesebuah universiti dengan sistem kuota. Setahu penulis tidak ada korelasi antara kuota dengan kualiti universiti. Sebaliknya, ada kajian yang menunjukkan bahawa kecemerlangan pelajar mempunyai hubung kait yang tinggi dengan pendapatan keluarga. Dalam erti kata lain, status ekonomi ibu bapa, bukannya etnik ataupun kaum yang memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan pelajar cemerlang. Untuk pengetahuan pentadbir universiti tersebut, Malaysia sudah memulakan pengambilan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan sistem meritokrasi sejak tahun 2003 lagi.

Maknanya sejak THE mula menghasilkan ranking universiti pada tahun 2004 lagi, pengambilan pelajar di Malaysia sudah tidak lagi menggunakan sistem kuota. Jadi kenapa sistem kuota yang tidak lagi wujud dipersalahkan? Untuk pengetahuan pembaca, pada tahun 2004, dilaporkan hanya 39 peratus (%) daripada keseluruhan kaum bumiputera yang memohon diterima masuk ke IPTA berbanding 71% daripada keseluruhan pemohon kaum Cina dan 38% daripada keseluruhan kaum India. Dalam tahun 2008 pula peratusan yang berjaya bagi kaum bumiputera meningkat ke 53% daripada jumlah keseluruhan yang memohon, manakala kaum Cina pula meningkat ke 78% daripada keseluruhan dan kaum India mencatat peningkatan kepada tahap 51% daripada jumlah keseluruhan.

Untuk tahun 2011, daripada jumlah keseluruhan yang memohon daripada kaum bumiputera, hanya 75% yang diterima masuk berbanding dengan kaum Cina, di mana daripada jumlah keseluruhan yang memohon, 89% yang diterima dan daripada jumlah keseluruhan yang memohon dalam kalangan kaum India, 83% yang diterima masuk ke IPTA. Penulis juga belum pernah mendengar sistem kuota digunakan dalam pengambilan tenaga akademik. Jadi sistem kuota yang manakah yang dirujuk oleh pentadbir universiti ini? Ataupun adakah apa yang dinyatakan oleh pentadbir universiti ini menunjukkan bahawa selama ini beliau sendiri tidak yakin dengan kebolehan diri kerana mungkin beranggapan bahawa beliau dilantik bagi memenuhi kuota kaumnya? Cubalah untuk seketika kita andaikan bahawa kenyataan pentadbir ini betul-bahawa sistem kuota untuk pengambilan pelajar dan tenaga akademik memang wujud di universiti di bawah pimpinannya.

Seperti yang penulis sebutkan, bagaimanakah universiti yang dimaksudkan pernah menduduki ranking yang tertinggi (no. 89) pada tahun 2004 meskipun masih terdapatnya kesan kuota kaum pada masa itu? Menggunakan logik pentadbir ini sendiri, pencapaian cemerlang Universiti Malaya pada tahun itu adalah jelas kerana dasar kuota itu sendiri. Tambahan pula, sekiranya sistem kuota merupakan penghalang untuk menjadi universiti terkemuka dunia, bagaimana kita dapat jelaskan tentang pencapaian universiti-universiti terbaik di Amerika Syarikat ataupun di Eropah? Universiti-universiti ini pernah dan masih ada yang mengamalkan sistem kuota, walaupun tidak dengan nyata. Kita tahu di Amerika Syarikat umpamanya dalam usaha untuk mengimbangi masyarakat, sistem kuota digunakan bagi kemasukan kaum kulit hitam dan Latino. Ini bagi menentukan ada penyertaan kaum-kaum lain yang sebelum ini terpinggir daripada arus pendidikan tinggi negara mereka.

Dalam penggunaan bahasa pula, adakah sebelum ini, universiti tersebut menggunakan bahasa perantaraan lain daripada bahasa Malaysia? Kenapa bahasa Malaysia pula yang menjadi 'punching bag'? Tidakkah pentadbir ini tahu bahawa universiti-universiti di Jerman, Perancis, dan Jepun yang berdiri sama tinggi dengan universiti di Amerika Syarikat dan United Kingdom menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar? Fikirkanlah, sekiranya sistem kuota adalah penyebab kejatuhan kualiti universiti awam, kenapa universiti-universiti swasta yang tidak mengamalkan sistem kuota dan tidak menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar tidak pula berjaya dinobatkan antara universiti terbaik dunia? Metodologi THE dipersoalkan oleh ramai pihak. Kalau dilihat penjelasan mereka pun ada memberi maklumat bahawa pembinaan kayu ukurnya adalah berdasarkan pendapat pembaca majalah ini di United Kingdom dan lembaga editorial majalah tersebut.

Sebab itu daripada awal lagi, penulis sudah menyatakan pandangan kritikal tentang metodologi yang digunakan dalam mengukur kualiti sesebuah universiti. Seolah-olah universiti-universiti di luar United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak berkualiti. Soalnya, adakah universiti-universiti yang tidak tersenarai tidak bagus dan berkualiti rendah? Kita harus melihat konsep kualiti ini dengan lebih menyeluruh sesuai dengan acuan kita. Adakah sama konsep pembinaan modal insan cara Malaysia dengan cara United Kingdom ? Mungkin ada kebenarannya bahawa kualiti universiti kita makin menurun seperti yang dikatakan oleh pentadbir tersebut, tetapi untuk meletakkan kesalahan ke atas sistem kuota yang sudah tidak lagi wujud dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, bukan hanya tidak wajar, tetapi adalah salah dan tidak berdasarkan fakta langsung.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
31 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails