16 Mac 2012

ISU IPT : KAD DISKAUN PELAJAR UNIVERSITI


Semua pelajar di semua institusi pengajian tinggi di negara ini akan diberikan kad diskaun yang bakal diperkenalkan pada Jun tahun ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengeluarkan kad berkenaan kepada pelajar universiti bagi membantu mengurangkan beban mereka berikutan kenaikan harga barangan. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat mengenai skim diskaun tersebut. Setakat ini kementerian sudah pun berurusan dengan tujuh syarikat yang mengusahakan perniagaan berkaitan dengan buku, kelengkapan sukan dan pengangkutan, di mana berminat untuk bekerjasama. Tetapi pihak kementerian masih meneliti tentang berapa banyak diskaun yang akan diberikan kepada mereka dari segi jenis barangan dan perkhidmatan. Kementerian tersebut akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Rakyat untuk melancarkan kad berkenaan sebaik sahaja memuktamadkan perkara ini dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat. Beliau menambah, kad diskaun berkenaan akan diberikan secara percuma kepada para pelajar.

KOMEN CIKGU ZUL

Cadangan ini memang relevan dalam situasi kenaikan harga barang yang semakin membinggungkan pada masa ini. Dengan keadaan diri yang belum mempunyai pekerjaan dan hidup bersandarkan kepada biasiswa, pinjaman PTPTN, dan ibu bapa, pelajar universiti memang memerlukan kad ini untuk mengurangkan beban sewaktu mereka berbelanja. Walau bagaimanapun, cadangan ini haruslah dapat membantu pelajar-pelajar ini dengan sebijak-bijaknya. Jika diskaun yang diberikan hanyalah dalam lingkungan 5% hingga 10% sahaja, lebih baik cadangan ini dibatalkan sahaja kerana tidak membawa manfaat yang banyak kepada pelajar. Namun begitu, ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja sebagai seorang bekas pelajar universiti yang bukannya anak orang senang sehingga dalam beberapa ketika terpaksa mengikat perut sebab hendak berjimat belanja. Apa-apa pun, tindakan kerajaan ini memang ada rasionalnya dan jika dilaksanakan pasti akan membawa banyak kemaslahatan kepada pelajar universiti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
mStar Online
16 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails