JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Mac 2012

ISU ICT : MENANGANI JENAYAH SIBER

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Sebanyak 15,000 laporan dibuat berkaitan kegiatan jenayah siber pada tahun lepas yang menunjukkan peningkatan di Malaysia. Kata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, sejumlah 15,218 insiden jenayah siber dilaporkan melalui Pusat Bantuan Cyber 999. Ia menunjukkan peningkatan 88 peratus berbanding 2010 apabila hanya 8,095 insiden dilaporkan. Kebanyakan kes yang dilaporkan berkaitan penyamaran dan penipuan. Terdapat beberapa kes penipuan yang mengakibatkan mangsa kehilangan semua wang simpanan mereka. Pihak Interpol menganggarkan kerugian akibat daripada jenayah siber adalah jauh lebih besar berbanding jumlah gabungan harga pasaran gelap bagi ganja, kokain dan heroin. Peningkatan jenayah siber bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia . Beberapa bentuk jenayah siber yang biasa dilakukan adalah kecurian identiti, ugutan/cyberstalking, phishing, pornografi kanak-kanak, spam, keganasan/cyberterrorism, dan lain-lain. Ia juga boleh melibatkan akses secara haram kepada maklumat syarikat. Sesetengah jenayah siber juga melibatkan jenayah kewangan, perjudian dalam talian, jualan artikel haram, jenayah harta intelek, pemalsuan, penipuan e-mel dan fitnah.

Walaupun nampak seperti mustahil untuk menghapuskan jenayah siber, ia masih lagi boleh dikawal. Dalam usaha untuk mencegah dan mengatasi jenayah komputer, seseorang itu perlu berhati-hati ketika menggunakan Internet. Dalam merealisasikan betapa bahaya jenayah siber kepada negara, Malaysia memperkenalkan Dasar Keselamatan Siber Negara yang dilaksanakan pada 2006. Dasar itu perlu sentiasa dikaji dan dikemaskini untuk keberkesanannya menangani jenayah siber. Lebih banyak bahan pendidikan dan bermaklumat perlu disediakan kepada orang ramai untuk memberi kesedaran tentang risiko pelbagai jenis jenayah siber serta pelbagai teknologi perlindungan yang boleh didapati untuk memerangi jenayah siber. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia berharap usaha yang lebih komprehensif digerakkan untuk mengukuhkan asas moral dan memperkukuh daya tahan generasi muda supaya zaman teknologi maklumat (ICT) tidak menjerumus mereka ke dalam jenayah siber dan menjadi penjenayah siber.

Hari demi hari, ia menjadi semakin penting untuk kita melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh teknologi maklumat. Dengan kemunculan zaman ICT dan suasana pembelajaran pintar, menimba pengetahuan dan maklumat melalui Internet mesti seiring dengan pendidikan moral yang mencukupi. Jika tidak, maklumat yang diperolehi boleh disalah gunakan. Dengan kemunculan maklumat tanpa sempadan, penekanan yang lebih perlu diberikan kepada penyemaian nilai-nilai murni dalam pendidikan dengan tujuan mencegah kemunculan lebih banyak penjenayah siber. Di samping keperluan menghasilkan pekerja berpengetahuan dan pakar dalam bidang ICT demi untuk memastikan kejayaan Koridor Raya Multimedia, ia harus dicapai tanpa mengabaikan keperluan menerapkan nilai-nilai moral yang baik.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
8 Mac 2012

1 ulasan:

Unknown berkata...

bagus..saya dah dapat isi daripada esei ni untuk lengkapkan esei saya.terima kasih