JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mac 2012

ISU BAHASA : PABM BUKAN SEKADAR CARI JUARA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN dan HASHNAN ABDULLAH


Banyak usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat dalam negeri mahu pun di pentas antarabangsa. Tentunya usaha itu sesuai dengan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri yang pernah melalui zaman kegemilangannya. Imbauan saudagar-saudagar fasih berbahasa Melayu lantaran kerap berurusniaga dengan pusat perdagangan seperti Melaka, Riau, Damak, Pattani waima pesisir pantai yang menghubungkan China, Parsi dan Asia Tenggara menggambarkan kehebatan bahasa Melayu. Segala-galanya diriwayatkan di dalam kitab-kitab Melayu. Bukan sahaja Melayu terkenal dengan kehebatan dunia komersialnya malah bahasa Melayu turut dipertuturkan secara meluas sehingga menjadi lingua franca di rantau ini. Tentunya dalam kepesatan dunia sains dan teknologi termasuk kegilaan manusia terhadap teknologi maklumat menimbulkan kebimbangan akan susutnya nilai bahasa Melayu terutama di mata dunia. Apatah lagi dalam keadaan generasi muda yang lebih mudah hanyut dalam bahasa ciptaan mereka sendiri sehingga timbul persoalan di mana hala tuju bahasa Melayu di kalangan orang muda.

Penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri sejak 2007 antara jawapan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat nusantara mahupun antarabangsa. Tentunya menarik perhatian apabila melihat wajah-wajah bukan Melayu fasih berbahasa Melayu walaupun ada lenggok Indonesia. Selepas lima kali diadakan, PABM edisi keenam kini sedang rancak menjalani proses saringan dengan jumlah penyertaan meningkat setiap tahun. Seramai 72 peserta dari 67 negara berentap mempamerkan bakat berpidato masing-masing dalam bahasa Melayu untuk 2012. Namun timbul persoalan sejauh mana kesan PABM terhadap kedudukan bahasa Melayu itu sendiri, atau PABM sekadar mencari juara tanpa ada usaha selanjutnya untuk menjadikan bahasa Melayu dihormati. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui Utusan Malaysia menarik perhatian tentang matlamat sebenar PABM anjuran kementeriannya selain melibatkan beberapa kementerian lain.

Secara jelas beliau menegaskan betapa PABM bukan sekadar mencari juara berpidato dalam bahasa Melayu. Justeru jika ada mana-mana pihak bertanggapan bahawa penganjuran PABM berkisar kepada soal mencari juara, maka sisihkah persepsi tersebut. PABM, kata beliau, adalah untuk mempopularkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di mata dunia, oleh itu tidak timbul soal siapa juara. Langkah itu menurut Mohamed Khaled terbukti apabila pihak penganjur memudahkan format pertandingan supaya peserta melihat PABM sebagai satu peluang untuk mereka (khususnya peserta antarabangsa) menonjolkan kemahiran berpidato dalam bahasa Melayu. "Secara tidak langsung, langkah itu akan menarik lebih ramai pelajar di negara luar untuk menggemari dan memilih subjek Bahasa Melayu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing disebabkan adanya pertandingan seperti ini." katanya. Umpama serampang dua mata, penganjuran PABM dilihat oleh Mohamed Khaled secara tidak langsung dapat mempromosikan bahasa Melayu apabila para peserta pulang ke negara asal dan menyebarluaskan keindahan bahasa Melayu kepada rakan-rakan terdekat.

Malah, katanya, apabila orang bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik tentunya dapat merangsang keinginan mereka untuk belajar bahasa Melayu lantaran ia tidak sukar seperti yang disangka. Perkembangan terbaru menunjukkan kesan meluas PABM apabila lima negara baru iaitu, Arab Saudi, Greece, Mongolia, Montenegro dan Republik Madagascar turut menghantar wakil. ''Penyertaan negara-negara itu menunjukkan betapa luasnya pengajaran subjek Bahasa Melayu di universiti di seluruh dunia. Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengangkat martabat bahasa Melayu khususnya melalui acara tahunan PABM itu mencapai sasaran dan objektifnya," katanya. Sehingga kini terdapat lebih 140 buah IPT yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu di lebih 50 negara seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Rusia, India, United Kingdom (UK), Belanda, Jerman, Mesir, Iran dan Pakistan. Mengupas perkembangan PABM terutamanya untuk lima edisi sebelum ini, beliau mendapati keupayaan para peserta bagi kategori antarabangsa dalam menguasai Bahasa Melayu cukup hebat. ''Dalam hanya dua ke tiga tahun sahaja mereka telah fasih berbahasa Melayu. Apa yang paling penting mereka bukan sahaja bercakap dalam bahasa Melayu tetapi juga berfikir dalam bahasa Melayu," ujarnya.

Mohamed Khaled memberitahu, penilaian yang dilakukan mendapati pola pemilihan pengajian Bahasa Melayu terarah kepada negara-negara yang sedang membangun dan sedang meningkat maju khususnya di negara-negara Balkan, Eropah Timur dan bekas jajahan Soviet Union. Bukan itu sahaja, pihak kementerian turut menerima permintaan untuk mempelajari bahasa Melayu yang amat membanggakan daripada pelajar-pelajar China. "Saban tahun penyertaan meningkat dan kebolehan mereka juga bukan calang-calang. Mereka cukup bersedia dengan tajuk yang dipilih," katanya. Begitu juga dengan konsep juri PABM yang dilihat mendorong minat untuk mengetengahkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, juri dipilih oleh Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (Madum) di mana jawatankuasa bersetuju menetapkan setiap sesi pertandingan, tiga daripada tujuh juri mestilah warga asing. Mereka terdiri daripada profesor, pensyarah dan pakar bahasa Melayu di IPT di luar negara.

Juri dalam negara pula terdiri daripada profesor, pakar-pakar bahasa, personaliti dan bekas pemidato ternama dalam negara yang menjadi ahli Madum. Tentunya penganjuran PABM bukan sekadar mengasah kemahiran berpidato dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Mohamed Khaled menyifatkan penganjuran PABM itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan juga hab pengajian tinggi di mata dunia. "Negara kita bukan sahaja akan dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan tetapi juga destinasi pendidikan atau pengajian tinggi yang disegani," katanya. Perkembangan itu dapat dilihat apabila sebahagian peserta memohon melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di negara ini. "Bukan sahaja dalam pengajian bahasa Melayu tetapi juga dalam pelbagai bidang dan lapangan lain," katanya. Selain itu, katanya, sebahagian daripada mereka juga akan kembali ke negara ini untuk melancong bersama keluarga dan rakan-rakan disebabkan kagum dengan panorama dan juga kemesraan rakyat Malaysia berdasarkan pengalaman yang dilalui bersama keluarga angkat di sini.

"Lebih-lebih lagi dengan penglibatan pihak Tourism Malaysia yang menjalin perkongsian pintar dengan pihak kementerian sejak PABM diperkenalkan dengan menyediakan program pelancongan yang berstruktur sepanjang peserta berada di negara ini. Para peserta secara tidak langsung akan menjadi duta kecil negara kita apabila mereka kembali ke negara masing-masing untuk mempromosi keindahan Malaysia di samping keharmonian masyarakatnya yang berbilang kaum, latar belakang dan agama," ujarnya. Jika peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan johan bagi Kategori Antarabangsa dan Kategori Nusantara pula diungguli peserta negara, Amiruddin Abd. Rahman, peserta mana pula yang berjaya mencuri tumpuan juri bagi dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini? Sama-sama kita saksikan kemuncak PABM malam ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
7 Mac 2012


Tiada ulasan: