JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : KESELAMATAN NUKLEAR : MALAYSIA LEBIH JAUH DI HADAPAN

Oleh Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Amat mengecewakan. Begitulah agaknya harapan masyarakat global terhadap hasil Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang telah diadakan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini. Kecewa bukan kerana Pyongyang tetap bertegas dengan rancangan untuk melancarkan satelit walaupun telah diberi amaran supaya membatalkan hasrat tersebut kerana ia boleh memburukkan lagi kestabilan di Asia Timur. Tokyo umpamanya telah memberi amaran akan memintas pergerakan roket tersebut jika melalui ruang udara Jepun dan ugutan tersebut bukan omong kosong kerana Jepun mempunyai sistem pertahanan peluru berpandu yang agak kental.

Masyarakat antarabangsa juga kecewa bukan kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mempergunakan isu pemilihan presiden pada November sebagai kekangan perbincangan lanjut mengenai pengurangan senjata strategik dengan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev. Walaupun kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak tersebut yang antara lain memutuskan keganasan nuklear adalah satu ancaman global dan setiap negara perlu memastikan keberkesanan undang-undang dan peraturan dalam memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggung jawab, kesemua persetujuan tersebut bergantung kepada penerimaan oleh setiap negara.

Tiada kuasa perundangan diberi kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memaksa negara berkenaan menerima pakai perjanjian sedia ada seperti Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear dan Konvensyen Mengekang Keganasan Nuklear yang bertujuan mengetatkan kawalan keselamatan nuklear supaya tidak jatuh ke tangan pengganas. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili negara ke sidang kemuncak tersebut menegaskan semua negara perlu telus dan berterus terang dalam pelaksanaan program nuklear masing-masing dan dunia tidak perlu berteka-teki mengenai niat sebenar penggunaan kuasa nuklear sesebuah negara.

Korea Utara atau Israel umpamanya yang dikatakan mempunyai kemampuan senjata nuklear tetapi dunia masih sangsi dengan kedua-dua negara tersebut kerana pemantauan oleh IAEA tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan India dan Pakistan walaupun tidak menyembunyikan niat membangunkan senjata nuklear, pemantauan secara berkala dan efektif tidak dapat dilakukan oleh IAEA. Dalam hal ini Korea Selatan menjadi contoh yang baik kerana pada satu ketika dahulu negara tersebut pernah secara rahsia melaksanakan program pemprosesan uranium gred senjata sekitar tahun 2000 tetapi telah akur dengan kesilapan tersebut. Pada hari ini, Korea Selatan dianggap sebagai antara negara yang begitu telus dan bertanggung jawab melaksanakan program pembangunan nuklear.

Malaysia walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear tetapi mampu memberi contoh sebagai negara bertanggungjawab bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa. Isu kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan adalah contoh ikutan terbaik walaupun tidak ada kena-mengena dengan pembangunan nuklear. Bukan sahaja Malaysia mempunyai peraturan mengenai radiasi yang agak ketat dan dipantau oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memastikan operasi kilang mengikut ketetapan yang telah disediakan, tetapi telah menjemput kumpulan pakar dari IAEA untuk menentukan operasi mengikut piawaian antarabangsa.

Malah tidak cukup dengan kumpulan pakar antarabangsa, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk secara khusus menangani kesangsian rakyat terhadap tahap keselamatan kilang nadir bumi tersebut. Satu perkara yang begitu rumit mengenai nuklear adalah kerana teknologinya dianggap sebagai ‘dwi-penggunaan’ iaitu nuklear boleh digunakan untuk aplikasi seperti menjana tenaga elektrik atau penyelidikan perubatan tetapi juga untuk membangunkan senjata nuklear. Perlu diungkitkan kembali kerana pada 2004 Malaysia telah dituduh sebagai salah sebuah negara rangkaian pasaran gelap nuklear Abdul Qader Khan dari Pakistan. Kesemua kes tersebut berlaku kerana akta kawalan eksport sedia ada tidak mampu menangani isu nuklear yang agak kompleks terutama sekali yang melibatkan teknologi dwi-penggunaan.

Daripada pengajaran tersebut Parlimen Malaysia telah meluluskan Undang-Undang Perdagangan Strategik pada April 2010 khas untuk menangani isu dwi-penggunaan nuklear supaya Malaysia tidak dijadikan negara transit mengeksport bahan terlarang tersebut. Walaupun terdapat beberapa inisiatif antarabangsa yang serupa seperti Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) dan Rejim Kawalan Teknologi Peluru Berpandu (MTCR), tetapi kesemuanya dilaksanakan di luar struktur PBB yang membuatkan sukar bagi Malaysia untuk turut serta. Walaupun Washington mahu Kuala Lumpur menyertai kedua-dua inisiatif tersebut, tetapi Malaysia tetap dengan pendirian bahawa semua peraturan sepatutnya dilaksanakan dalam kerangka PBB dan bukannya dalam kumpulan negara yang berasingan.

Kepentingan rang undang-undang perdagangan strategik itu tidak dapat dinafikan kerana ia berperanan melindungi pengeksport Malaysia daripada diperalat dan dijadikan saluran haram untuk pembekalan barang strategik nuklear. Begitu juga dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom (AELA) Malaysia sudah berada dalam proses penilaian terakhir sebelum dibentangkan di Parlimen yang akan menjadikan AELA sebagai akta komprehensif mengawal pembangunan nuklear mengikut peraturan yang telah disediakan oleh IAEA. Tidak dapat dinafikan walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil dan walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear, langkah yang telah diambil jelas menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi apabila berhadapan dengan isu keselamatan nuklear. Bukan sahaja masyarakat antarabangsa perlu mengambil iktibar dengan langkah yang telah dilaksanakan oleh Malaysia, malah rakyat tempatan juga perlu memberi kepercayaan bahawa negara kita jauh berada di hadapan mengenai isu keselamatan nuklear.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
29 Mac 2012

Tiada ulasan: