06 Februari 2012

ISU UMUM : MALAYSIA PERLU LEBIH BANYAK "BENIH CEO"

Oleh AZMAN ANUAR


Laporan media baru-baru ini menyebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh tidak akan menyambung khidmat apabila kontraknya tamat bulan Jun ini. Che Khalib telah menerajui TNB hampir lapan tahun sejak 2004. Pengunduran beliau daripada TNB telah menggerakkan semula khabar angin untuk meneka siapa yang bakal dilantik menjadi CEO baru syarikat utiliti itu. Antara yang disebut-sebut termasuklah dari kalangan orang dalam dan luar. Calon-calon nama itu ialah CEO Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri (Bahagian Ekonomi), Datuk Azlin Alias. Beliau sebelum itu ialah penganalisis di Nomura Securities. Dalam kalangan orang dalam pula, nama-nama yang disebut ialah Ketua Pegawai Operasi TNB sekarang Datuk Azman Mohd; Naib Presiden TNB (Janakuasa) Datuk Mohd Nazri Shahruddin; Naib Presiden (Pengagihan) Datuk Rozimi Remeli, dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) TNB, Mohd Rafique Merican Mohd. Wahiduddin. TNB mempunyai sejarahnya apabila pernah melantik pemimpin pengurusan dalaman sebagai CEO berbanding dengan orang luar, contohnya Datuk Pian Sukro.

Bagaimanapun antara nama orang luar yang berada dalam senarai teratas ialah Datuk Mohd. Izzaddin Idris iaitu Pengarah Urusan Kumpulan UEM. Beliau ialah bekas CFO TNB sebelum berpindah ke UEM pada Julai 2009. Apabila melihat kepada calon-calon luar TNB termasuk dari sekitar syarikat berkaitan kerajaan (GLC), belum tentu mereka boleh menjana keuntungan. Biasanya ada CEO yang dilantik tidak dapat melakukan pacuan untuk syarikat yang diterajuinya kerana hanya memegang kontrak jawatan selama dua atau tiga tahun sebelum dipindahkan ke GLC lain. Jadi ada baiknya kerajaan mempertimbangkan melantik CEO yang baru daripada kalangan orang dalam syarikat utiliti itu sendiri. Banyak pihak berpandangan calon dalaman amat sesuai dan merupakan pilihan terbaik kerana mereka lebih mengetahui dengan mendalam keperluan syarikat utiliti itu. Malahan mereka lebih memahami hala tuju TNB sebagaimana yang dirangka oleh lembaga pengarah. Pemimpin pengurusan dalaman mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menerajui GLC berasaskan kepada semangat kerjasama dan pencapaian yang wujud dengan kakitangan sejak sekian lama.

Kepimpinan dalaman juga mempunyai pengalaman yang luas dalam industri berkaitan dan mampu untuk menerajui dan memimpin GLC ke tahap yang lebih cemerlang sekiranya diberi peluang. Ambil contoh kes Izzaddin. Sekiranya diminta berpindah ke TNB, beliau mungkin tidak sempat melengkapkan sasarannya di UEM yang sepatutnya memerlukan banyak sentuhannya bagi menjana arah tuju konglomerat itu. Izzaddin perlu menumpukan perhatian terhadap 'penswastaan' PLUS, ditambah projek pembangunan Nusajaya yang mengembang hingga ke Singapura melalui tanah di stesen kereta api Tanjung Pagar. Di samping pencapaian tersebut, Izzaddin berusaha menumpukan masa depan UEM sebagai syarikat pembinaan ternama di negara ini sebagaimana masa kegemilangannya dahulu. Tetapi, jika beliau dipindahkan, bagaimana soal kesinambungan di UEM? Ia sudah tentu mengganggu operasi dan arah aliran perniagaan kumpulan UEM. CEO di GLC mesti ada akauntabiliti terhadap perubahan yang telah ditetapkan. Dengan berpegang pada tempoh kontrak dua atau tiga tahun, sasaran GLC tak akan ke mana-mana. Satu contoh lagi perpindahan CEO dalam GLC ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang memimpin Maybank. Beliau pernah berada di Telekom dan sebelum itu berkhidmat dengan UEM Engineers.

Baru-baru ini pula ada ura-ura mahu memanggil Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff kembali ke Proton. Kerajaan nampaknya cuba mengitar dua tiga tokoh modal insan korporat yang ada. Adakah tiada lagi anak-anak Melayu yang boleh menggantikan tempat Che Khalib? Jika kita hanya menggunakan modal insan yang sedia ada, apa akan jadi kepada masa depan negara? Kenapa tidak diangkat kepimpinan dalaman yang diyakini lebih memahami operasi, budaya kerja, serta nilai dalaman yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kejayaan syarikat GLC. Malaysia perlu lebih banyak 'benih CEO' jika mahu mencapai status negara maju. Kalau orang yang sama sahaja diberikan peluang dan dipindah-pindahkan ke sekeliling GLC, ia akan memberi isyarat bahawa orang lain tiada peluang. Hal ini juga akan menerbalikkan peranan Talent Corp dan pada masa sama meningkatkan lagi penghijrahan tenaga pakar profesional. Kerajaan kena melihat calon dalam kalangan orang dalam pula. Sudah tiba masanya anak-anak Melayu diberi peranan untuk mengemudi pelayaran sebuah GLC. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 FEBRUARI 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails