11 Februari 2012

ISU SOSIAL : PERJUANGAN HOMOSEKSUAL SEMAKIN MENULAR DI SELURUH DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Dalam menentukan menang-kalah sesuatu perjuangan, taktik dan ideologi menjadi titik penting, tetapi akhirnya bilangan pengikut 'perjuangan' itu yang menentukan ia berjaya atau tidak. Sama juga untuk agenda 'hak' individu homoseksual atau gay yang mahu masyarakat di sekeliling mereka membenarkan mereka hidup dengan apa sahaja cara mereka mahu, bilangan 'pengikut' akan menentukan menang atau kalah. Minggu ini, antara kejayaan perjuangan gay global adalah membatalkan pengharaman perkahwinan pasangan sejenis oleh Mahkamah Rayuan di California, Amerika Syarikat (AS). Dengan alasan melanggar Perlembagaan dan undang-undang kesamarataan AS, pengharaman perkahwinan pasangan sejenis dibatalkan hakim mahkamah tersebut sedangkan majoriti penduduk California mahu mempertahankan 'perkahwinan tradisional'.

Mungkin tidak begitu mengejutkan bila menyebut golongan gay di AS berbanding Malaysia tetapi ia tetap satu kejayaan besar bagi golongan itu 'menawan' baki 44 daripada 50 negeri di AS yang belum menerima perkahwinan sama jantina sebagai satu norma kehidupan. Bukan sahaja di Eropah dan AS, malahan Afrika, India, China, Jepun, Korea, Asia Tenggara serta rantau Arab juga kini semakin tumpas kepada pelbagai tuntutan golongan gay sama ada untuk bebas berpakaian, pesta atau tapak hiburan khas homoseksual, berkahwin, mahupun warisan harta pasangan dan hak memiliki anak. Di Namibia, golongan gay secara terbuka mencabar norma kehidupan setempat dengan mengadakan pertandingan 'Mr. Gay Namibia' yang membolehkan pemenangnya bertanding di pertandingan 'Mr. Gay Dunia' di Afrika Selatan pada bulan April ini.

Wendelinus Hamutenya, 25, yang menjadi juara Mr. Gay di Namibia baru-baru ini bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama dari Afrika yang bertanding sebagai Mr. Gay Dunia. Kebanyakan negara di benua Afrika, kecuali Afrika Selatan, mempunyai undang-undang ketat menghalang aktiviti homoseksual termasuk hukuman mati tetapi berterusan dicabar golongan gay tempatan dengan bantuan pihak luar seperti pertubuhan gay atau pertubuhan hak asasi dari Barat. Ghana dan Tanzania baru-baru ini bertindak tegas dalam menyahut dan menolak sebarang usaha mengugut perundangan anti-homoseksual negara tersebut daripada Britain yang mahu menghentikan bantuan ke negara yang tidak memperakui hak golongan gay. Ancaman Britain itu dikeluarkan Perdana Menterinya, David Cameron tahun lalu selepas ketua-ketua negara Komanwel enggan menerima perubahan untuk menghapuskan undang-undang anti-homoseksual di 41 negara anggota.

Uganda pula menerima kecaman hebat Amnesty International ketika mengemukakan rang undang-undang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perbuatan homoseksual yang khusus melibatkan kanak-kanak bawah umur dan penghidap HIV/AIDS. Rata-rata di benua Afrika, media Barat juga berterusan menggunakan kisah kehidupan golongan homoseksual yang ditolak masyarakat setempat bagi menarik sokongan antarabangsa sama ada daripada golongan gay sendiri mahupun mereka yang bersimpati dengan 'perjuangan' tersebut. Malahan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, Ban Ki-Moon turut menekan pemerintah di rantau Afrika agar menghormati hak golongan homoseksual. Di New Delhi, India pula, perarakan homoseksual kini menjadi acara tahunan sedangkan negara itu dahulu pernah menetapkan hubungan gay sebagai satu perbuatan jenayah sehingga 2009.

Selain acara 'Kebanggaan Gay', festival filem, pesta homoseksual dan parti, India juga kini semakin menjadi destinasi pelancongan tumpuan golongan homoseksual. Israel yang terkenal dengan fahaman ortodoks dalam membentuk negara sendiri di atas tanah Palestin juga tidak terkecuali apabila agenda pusat pelancongan homoseksual diutamakan kepimpinan tertinggi di bandar Tel Aviv. Di Asia Tenggara, Malaysia menjadi fokus komuniti gay global apabila penganjur sebuah program untuk golongan homoseksual mencabar pengharaman program tersebut di mahkamah di samping dakwaan perlakuan songsang terhadap seorang pemimpin politik tempatan. Namun, di semua peringkat pelbagai jenis agama tetap membantah hubungan sama jenis sama ada Islam, Pope di Vatican, Yahudi serta agama-agama lain dunia.

Melihatkan kesukaran mendapat perakuan kepimpinan agama, golongan gay telah beralih kepada usaha gerakan sivil melalui hak asasi dan terjemahan perundangan untuk memaksa dunia menerima cara hidup mereka. Di Malaysia, Afrika, India, Eropah, AS mahupun mana-mana negara dunia, agenda sivil itu hanya boleh berjaya jika golongan homoseksual mempunyai bilangan pengikut dan golongan bersimpati yang lebih ramai berbanding golongan penentang dan ortodoks agama. Seperti mana Britain mengancam sekatan bantuan kepada negara Komanwel jika menolak cara hidup gay, sokongan pelbagai agensi dan pertubuhan pro homoseksual di Barat turut membantu golongan ini mencapai agenda mereka, secara sukarela atau paksa.

Jika kesemua cara itu gagal, kisah kekalahan mereka akan diolah sebagai satu kejadian menyedihkan dalam sejarah manusia bagi membuat semua pihak berasa serba salah dan mengutuk masyarakat serta kepimpinan yang menentang kehidupan songsang homoseksual. Jika dibiarkan terus menular, aktiviti golongan homoseksual akan menarik lebih ramai penyokong dan simpati sehingga akhirnya mereka mampu mengubah sistem sosio-budaya masyarakat setempat. Dengan sokongan kuat dari dalam dan luar negara, tidak mustahil agama mahupun tradisi mana-mana negara akan tumpas kepada tekanan komuniti homoseksual seperti mana India yang kini dilihat menerima gaya hidup tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails