JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : ISU LAMBAKAN GURU SAINS DAN MATEMATIK AGAK KRITIKAL


Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran. Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula. Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.  Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.  Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.  Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.  Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.  Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.  Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

KOMEN CIKGU ZUL

Isu lambakan guru Sains dan Matematik bukanlah perkara baru namun telah berlaku lebih daripada 10 tahun di sekolah. Hampir kesemua sekolah terutamanya di Sarawak mengalami lebihan guru Matematik dan Sains tetapi ketandusan guru-guru Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Moral dan Geografi. Penempatan guru yang tidak seimbang atau ‘penempatan sesuka hati’ pada masa sekarang menyebabkan permohonan pindah ribuan guru Bahasa Melayu ditolak dengan alasan “Khidmat masih diperlukan sebab kekurangan guru opsyen ini”. Persoalannya, jika kurang, mengapa tiada ikhtiar untuk mengatasi? Bagaimanakah kita dapat merealisasikan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris jika kita ketandusan guru-guru untuk mengajar dalam bidang tersebut. Guru-guru opsyen Fizik, Biologi, Kimia, Matematik telah diarahkan untuk mengajar Bahasa Melayu dengan alasan subjek ini sesiapapun boleh mengajar asalkan tahu berbahasa Melayu. Jika inilah yang berlaku, jangan menyalahkan sesiapa andai Bahasa Melayu terus terpinggir di bumi Malaysia ini kerana yang meminggirkannya ialah kita sendiri.

Pengambilan guru dan penempatan guru harus mengambil kira keperluan guru di sekolah-sekolah. Sebelum surat penempatan dikirim, tiada salah pengawai yang menguruskan bahagian penempatan guru menelefon pihak sekolah terbabit berkaitan dengan guru-guru yang mereka perlukan. Era 90-an dahulu kita mengalami lambakan guru Bahasa Melayu dan kini senario ini berlaku lagi tetapi subjek sahaja yang berbeza. Kenapa kita tidak belajar dari dahulu? Saya tidak setuju andai lanjutan umur bersara dari 58 ke 60 tahun dijadikan punca lambakan guru Sains dan Matematik. Lihatlah masalah ini hingga ke akar umbi sebelum mengulas atau memberikan pandangan. Bertanyalah kepada Pengetua di sekolah-sekolah terutamanya di bandar, sudah pasti mereka mahukan guru Bahasa Melayu. Jika itu yang dimahu, kenapa liat sungguh untuk kita memenuhi kehendak mereka itu? Bukankah kita mahu melahirkan generasi berilmu yang diajar oleh guru berilmu? Mengapa susah payah melatih guru opsyen Fizik di Universiti atau Institut Perguruan, anda akhirnya terpaksa teraba-raba mengajar Bahasa Melayu. Tepuk dada tanya selera!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 FEBRUARI 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya slh sorg yg mjadi mangsa..dpd mgjr subjek BM dpd th 1989-1994 saya tlh 'convert' ke Sains dgn alasan lbih guru BM. Shingga lah sy mlanjutkan pljrn ke degree Sains, sy msih blom mnerima dg41 wlpun dah 1 th diinteview..Kini isu guru sains da blebih d skolah sy jd hangat..guru-guru lain anggap kami guru 'tumpang' krn bila2 ms kami akan dsepak klr dr skola skg...sedih sungguh...tp sy x myesal mnukar opsion sy. Sy bangga mjadi guru sains..krn sains subjek teras yg sukar..guru sains msih dperlukan oleh org lain wlpun ptadbir d skola sendiri buat kami mcm bola...