29 Februari 2012

ISU GURU : CIKGU KELAS "KUNG FU" GURU BESAR DI HADAPAN PELAJAR

Pelajar sebuah kelas di sekolah rendah di Air Itam, di sini, dihidangkan aksi ‘kung fu’ antara guru besar dan guru kelas selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu pada pagi 28 Februari 2012. Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pergaduhan antara dua guru lelaki terbabit dikatakan berpunca selepas guru besar lalu berhampiran sebuah kelas dan terdengar bunyi bising, sebelum dia membuat teguran kepada guru kelas itu. Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dan guru besar itu seterusnya cuba merakam suasana dalam kelas berkenaan menggunakan telefon bimbitnya. Menurut sumber, melihatkan tindakan guru besar itu, guru kelas terbabit secara tiba-tiba ‘naik angin’ sebelum dia terus menyerang dan memukul guru besar berusia 48 tahun itu. Berikutan itu, kedua-dua guru terbabit bergaduh dan kejadian itu diperhatikan murid kelas berkenaan dan murid lain.

Menurutnya, suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan kedua-dua guru terbabit. Akibat pergaduhan itu, guru besar terbabit cedera di kedua-dua tangan dan juga belakang kepalanya. Sumber itu berkata, guru kelas juga cedera pada mata akibat terkena tikaman pen ketika bergelut dan kedua-duanya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan dua guru berkenaan dipanggil memberi keterangan bagi membantu proses siasatan,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang mengikuti kursus ketika dihubungi berkata, dia belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
29 Februari 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Cikgu Zul tidak menyalahkan sesiapa dalam kes sebegini baik guru kelas itu ataupun guru besar yang merupakan ketua jabatannya. Apabila kita tidak dapat mengawal kesabaran kita maka api kemarahan kita semakin membuak-buak untuk menegakkan kebenaran. Situasi sebegini akan menjadi lebih buruk jika ada sejarah ketidakpuasan atau dendam masa lampau yang terpendam dihati dan tidak diluahkan dengan cara yang profesional. Walau bagaimanapun, sebagai pendidik bangsa, bergaduh di hadapan pelajar merupakan suatu perbuatan yang tidak wajar dilakukan. Hal ini demikian kerana golongan guru (termasuk diri saya) harus menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak didik. Kalau boleh di hadapan pelajar kita tidak boleh menunjukkan kelemahan diri kita sebagai guru yang sentiasa dihormati dan dipandang tinggi. Jika beginilah yang terjadi, percayalah sehingga ke 1000 tahun lagi, kita akan tetap diingati oleh pelajar-pelajar kita sebagai guru yang bergaduh di hadapan mereka.

Kemarahan yang disebabkan tekanan peribadi, kerja, kewangan dan sebagainya hendaklah ditangani dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai kita disesatkan dan kewarasan kita dilenyek-lenyek oleh hasutan iblis dan syaitan. Belajarlah bersabar walaupun pedis untuk melakukannya kerana kesabaran bisa meranapkan gunung kemarahan yang ghairah memuntahkan larvanya. Jadikanlah peristiwa ini sebagai ikhtibar kepada pendidik lain di seluruh negara. Tindakan ini bukan sesuatu yang baik untuk dicontohi, bukannya sesuatu yang elok untuk diteladani. Semoga masalah ini menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Buka buku baru dan mulakanlah hidup baharu. Buang yang keruh dan ambilah yang jernih. Dalam pada itu, jangan pula ada sesiapa yang cuba menangguk di air keruh kerana tindakan itu mungkin hanya seperti tikus yang membaiki labu. Selesaikanlah dengan kemaafan kerana kemaafan itu merupakan dendam yang terindah. Percayalah, nafas kita akan lebih lancar selepas mengucapkan kata-kata “Maafkanlah saya, saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi”. Ucapkanlah walaupun susah kerana inilah ubat yang paling mujarab untuk kita membina kembali hubungan yang rapuh itu. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails