JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Februari 2012

ISU EKONOMI : KEJAYAAN MODEL 'MALAYSIA'

Khairuddin Mohd Zain
PENULIS ialah pemerhati sosio ekonomi


Data dan statistik mengenai pelaburan asing yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) boleh dianalisis melalui perspektif yang pelbagai. Ia boleh dinilai dan dianalisis dengan minda sempit kenegerian, pandangan terbatas kepartian dan ideologi ataupun melihatnya dalam konteks yang lebih besar iaitu – kerangka Malaysia. Menggunakan apa sahaja asas analisis sekalipun, ia tidak boleh menafikan Malaysia secara keseluruhannya berada di atas landasan ekonomi yang sangat meyakinkan. Inilah sebenarnya mesej ‘asas’ kepada data dan statistik yang diumumkan MITI. Ketika ekonomi dunia pada keseluruhannya masih berada dalam keadaan tidak menentu, pencapaian keseluruhan Malaysia dalam menarik minat pelaburan asing ini sebenarnya sangat memberi kesan langsung kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Tidak perlu kita menilai sesuatu melalui perspektif ‘perang politik’ yang tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhannya. Apa yang lebih penting, Malaysia sebagai sebuah negara, berjaya menampilkan aspirasi ekonomi yang tinggi dan berminda hadapan. Jangan nafikan, bahawa strategi ekonomi Malaysia secara keseluruhannya lebih menjadi tarikan berbanding dengan faham ekonomi yang lebih tercarik-carik mengikut kononnya ‘strategi politik’ negeri secara berasingan. Kecualilah, memang kita mahu sampaikan kepada rakyat bahawa ‘model kita’ adalah lebih baik dan sama sekali tidak bergantung harap kepada wajah Malaysia secara keseluruhannya.

Penulis percaya bahawa ramai rakyat yang berasa sangat senang hati apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan medianya bertarikh 22 Februari 2012, berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia dan MIDA yang banyak membantu InvestPenang dalam mengenal pasti pelaburan berkualiti yang boleh dihalakan ke negeri itu. Sudah pasti, apa yang bermain dalam pemikiran pegawai tertinggi MITI, MIDA dan kerajaan seluruhnya; bukan soal siapa atau parti apa yang berada di Pulau Pinang. Kebiasaannya, asas membuat keputusan kepada pelabur-pelabur antarabangsa adalah ‘kerangka negara’ secara keseluruhannya dan bukannya asas kenegerian semata-mata. Ini belum lagi mengambil kira ‘iklim ekonomi’ nasional, tawaran insentif ekonomi jangka sederhana dan panjang, kewujudan sumber tenaga manusia bersesuaian dan banyak angkubah lain yang perlu diambil kira. Oleh demikian, mengambil perhitungan simplistik bahawa ini semua berlaku kerana polisi dan dasar yang baru dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah nilaian yang menyeluruh. Kita ambil sahaja contoh bagaimana Kedah Darul Aman yang mencatatkan jumlah pelaburan industri pembuatan agak baik. Apakah ini semua timbul dengan semberono dan begitu sahaja? Sudah pasti, semua ini hanya mampu berlaku apabila kesinambungan pembangunan lama dapat dirasai dan dinikmati oleh kerajaan negeri sedia ada.

Nilaian yang adil akan memberikan ‘merit politik’ yang wajar kepada kerajaan terdahulu yang mengusahakan kawasan perindustrian yang merata di Kedah. Kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech Park, Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman dan Kawasan Perindustrian MIEL Sungai Petani sudah pun dibangunkan jauh lebih awal daripada pertukaran kepimpinan yang hanya berlaku pada 2008. Elok dan amat wajar juga sekiranya kerajaan Pas di Kedah memberikan kenyataan hampir serupa seperti Pulau Pinang, menghargai pelan pembangunan industri di Kedah yang terbina lama oleh kerajaan BN selama ini. Tidak usah menafikan bahawa mereka pada hakikatnya bernasib baik untuk menerima sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan wibawa. Selain daripada infra, banyak strategi ekonomi yang ada hari ini hanyalah kesinambungan kepada apa yang sudah berjalan lama. Wujud ketika dan situasi, ahli politik mana sekalipun perlu mengurangkan ‘permainan dan kenyataan politik’ dan lebih menumpukan kepada impak dan kesan ekonomi secara keseluruhannya kepada rakyat. Jika minda ini dapat didahulukan, kita akan menerima angka, data dan statistik dengan lebih neutral dan tidak tertumpu kepada beberapa isu yang dirasakan memberikan kemenangan politik sementara. Merit wajar diberi di mana ia patut dan wajar diberikan.

Apa pun jua, apa yang penting kepada rakyat secara umumnya bukanlah data dan statistik semata-mata. Rakyat perlu disedarkan bahawa pelaburan ini juga membawa banyak keuntungan lain. Peluang pekerjaan, akses kepada peluang ekonomi yang lebih meluas dan keutuhan ekonomi negara secara total. Sebagai contoh, sepanjang 2007-2011 sahaja, berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, hampir 340,000 peluang pekerjaan diwujudkan di seluruh negara. Sebahagian besar daripada angka ini menjurus kepada tenaga kerja berkemahiran, teknikal dan pengurusan. Sudah tentu, peluang pekerjaan ini memberikan lebih banyak peluang kepada tenaga muda Malaysia menikmati ‘makna’ pertumbuhan ekonomi negara yang sebenar. Adalah menjadi harapan masyarakat, agar peluang pelaburan yang merata di seluruh negara turut membawa ruang dan akses ekonomi bersemangat sama kepada rakyat. Tidak perlu kita bersikap terlalu ‘kenegerian’ dalam menilai angka ini. Apa yang lebih penting, lebih ramai anak muda Malaysia mampu diserapkan dalam dunia pekerjaan, langsung menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Bayangkan, bagaimana kumpulan besar anak muda di Eropah merintih kerana tidak mempunyai peluang kerja – warga Malaysia menikmati peluang yang sangat luas dan terbuka. Pada tempoh yang sama (2007-2011), Greece misalnya, berdepan dengan isu pengangguran yang hampir mencecah 20.9 peratus setakat penghujung 2011. Ini belum lagi kita menganalisis beberapa negara lain yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat mencengkam dan kritikal. Rakyat juga perlu tahu, daripada lima pelaburan terbesar dalam pelaburan industri pembuatan, dua daripadanya adalah pelaburan domestik yang didokong oleh dua syarikat Malaysia sendiri. Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn Bhd (RM2.4b) dan Petronas Gas (RM1.3b). Bangga rasanya melihat syarikat tempatan mampu berada sebaris dengan pelabur luar seperti Panasonic, Intel dan Samsung. Ini juga seharusnya memberikan kita rasa senang hati kerana kalangan syarikat Malaysia juga boleh diurus dengan baik dan cemerlang, sekali gus mencipta ‘nilai pelaburan’ dalaman yang membantu pembangunan ekonomi domestik.

Dalam waktu sama, jangan kita terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Perlu juga kita menilai sebarang kelemahan yang mungkin ada sehingga kita terpaksa menangguhkan beberapa pelaburan sektor pembuatan kerana masalah sumber tenaga dan sebagainya. Jika tidak, pastilah Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan kepada syarikat-syarikat utama dunia. Pakej dan kerangka ekonomi Malaysia sudahpun berada di landasan yang terbaik, termasuk dengan kesungguhan pelaksanaan program transformasi ekonomi yang sedang dibawa oleh kerajaan pada ketika ini. Jangan sesekali kita memperkecilkan banyak negara yang semakin meningkat ‘magnet pelaburannya’. Negara seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina pastinya mengintai peluang besar untuk menarik jumlah pelaburan yang lebih besar. Berdasarkan trend dunia seperti yang dilaporkan oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pelaburan asing masih berada dalam keadaan tidak menentu. Apa yang dikemukakan oleh MITI secara jelas menunjukkan Malaysia masih berada di bawah radar dan carta zon pelaburan prolifik di peringkat dunia dan antarabangsa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: